BTC USD 86,279.2 Gold USD 4,362.29
Time now: Jun 1, 12:00 AM

DeepSeek kena godam selepas malukan teknologi AS

Model AI DeepSeek R1 Dari China Menyebabkan Saham Syarikat Teknologi Seperti NVIDIA Terjejas Teruk

Saham syarikat teknologi yang terlibat dengan pembangunan kecerdasan buatan (AI) di seluruh dunia terjejas semalam selepas model AI sumber terbuka DeepSeek R1 dilancarkan oleh syarikat yang berpangkalan di China. DeepSeek R1 didapati mempunyai prestasi yang lebih baik berbanding beberapa model yang dibangunkan oleh OpenAI dan Meta.

Artificial-Intelligence-Kecerdasan-Buatan-950x534.jpg.webp


Yang menggegarkan industri ialah R1 dilatih hanya selama dua bulan dengan kos sekitar $6 juta dan menggunakan GPU NVIDIA H800 yang dikurangkan kuasa bagi membolehkan ia dijual ke China oleh NVIDIA. NVIDIA mencatatkan penurunan nilai saham -16.97% , Broadcom -17.04%, TSMC -13.3%, Alphabet -4.04% dan Microsoft -2.14%. Kejayaan China menghasilkan model AI yang berprestasi tinggi pada kos yang ribuan kali lebih rendah memberikan tamparan hebat kepada industri AI Amerika Syarikat yang menggunakan moto pemprosesan lebih berkuasa diperlukan bagi membangunkan model yang lebih baik.

Baru-baru ini sahaja OpenAI mengumumkan Stargate Projecte dengan pelaburan $500 bilion dalam masa 4 tahun untuk membangunkan pusat data AI di Amerika Syarikat. Dengan projek ini OpenAI ingin memastikan Amerika Syarikat terus menjadi peneraju teknologi AI dunia.​
 
DeepSeek Melancarkan Pula Model Janus-Pro-7B Yang Boleh Menjana Imej

DeepSeek ialah nama syarikat China yang kini menggegarkan dunia kecerdasan buatan (AI) kerana mereka mendakwa berjaya melatih model-model AI mereka dengan kos yang beribu kali ganda lebih rendah menggunakan perkakasan kurang berkuasa disebabkan oleh halangan teknologi Amerika Syarikat. Selepas DeepSeek R1 dilancarkan Disember lalu, hari ini mereka melancarkan pula model Janus-Pro-7B yang boleh menjana dan memahami imej yang dipandang.

DeepSeek-Logo-950x535.jpg.webp


Janus-Pro-7B juga turut dikatakan mempunyai kemampuan yang lebih tinggi berbanding DALL-E oleh OpenAI dan Stable Diffusion oleh Stable Diffusion. Kemampuan menjana imej ini dipadankan pula dengan kemampuan memahami apa yang dipandang membolehkan ia digunakan pada robot yang melakukan proses automasi di kilang. Model terkini Janus-Pro-7B boleh diakses menerusi laman GitHub DeepSeek hari ini.

Kekuatan industri pembuatan China terletak pada kos yang lebih rendah pada skala lebih besar sehingga sukar ditandingi negara lain. Kini kemampuan yang sama juga nampaknya digunapakai oleh China dalam pembangunan AI tempatan. Ini menjadi sebab utama Amerika Syarikat semakin menyekat akses kepada CPU dan GPU berkuasa tinggi kepada negara bukan sekutu rapat bagi memastikan ketuanan mereka dalam AI tidak diancam.​
 
Amerika Menyiasat Dakwaan DeepSeek Membeli Cip NVIDIA Secara Haram Menerusi Singapura

Pelancaran model kecerdasan buatan (AI) DeepSeek R1 secara sumber terbuka minggu lalu menyebabkan syarikat teknologi Amerika mengalami kerugian $1 trilion disebabkan oleh penurunan nilai saham. DeepSeek R1 yang didakwa dilatih menggunakan kos lebih rendah dan perkakasan lebih lemah berjaya mengalahkan model yang dibangunkan oleh OpenAI. Terkini Rumah Putih dan Biro Jenayah Persekutuan (FBI) dilaporkan akan memulakan siasatan yang mendakwa DeepSeek yang berpangkalan di Hangzhou, China menggunakan cip NVIDIA secara haram.

nvidia-hgx-h200-950x535.jpg.webp


DeepSeek dipercayai mengakses cip NVIDIA yang lebih berkuasa menerusi pihak ketiga yang berpangkalan di Singapura. Singapura menjadi hab 20% jualan NVIDIA tahun lalu tetapi dengan ia kemudiannya dijual semula kepada pelanggan luar negara. NVIDIA telahpun mengatakan cip mereka dijual kepada pelanggan yang mematuhi semua undang-undang sedia ada dan akan bertindak sewajarnya jika menerima laporan sebaliknya.

Amerika Syarikat mengenakan halangan jualan cip AI untuk penggunaan pusat data di China. Akibatnya NVIDIA menghasilkan cip khas untuk pasaran Chin dengan kemampuan memproses yang dikurangkan. Halangan diperketatkan lagi oleh Joe Biden dengan negara seperti Malaysia, Singapura dan Israel diberikan pula kuota untuk membeli cip AI.

Sumber asal https://www.bloomberg.com/news/arti...r-deepseek-got-nvidia-chips-through-singapore
 
Microsoft Akan Menyokong DeepSeek R1 Di Jalankan Terus Pada Copilot+ PC

Model kecerdasan buatan (AI) DeepSeek R1 menjadi bualan ramai minggu lalu kerana ia didakwa beroperasi dengan lebih baik berbanding model yang dilancarkan oleh OpenAI dan Meta tetapi dengan pelaburan yang ratusan kali lebih rendah. Dengan aplikasi DeepSeek kini menjadi yang paling banyak di muat turun di App Store, Microsoft mengumumkan pula sokongan untuk menjalankan DeepSeek R1 secara terus pada Copilot+ PC.

Versi yang disokong ini telah dioptimumkan untuk Copilot+ PC yang dilengkapi cip siri Snapdragon X dan Intel Lunar Lake yang terkini. Di peringkat awal sokongan akan diberikan untuk model DeepSeek-R1-Distill-Qwen-1.5B terlebih dahulu sebelum dikembangkan pula untuk model 7B dan 15B menerusi AI Tookit.​
 
Cip DeepSeek-Nvidia, MTI Gesa Syarikat Patuh Undang-Undang SG & Amerika

01.02.2025 - Singapura menyatakan pada Sabtu (1 Feb) bahawa ia menjangkakan syarikat-syarikat Amerika akan mematuhi undang-undang Amerika Syarikat dan Singapura sebagai respons kepada laporan bahawa sesetengah perantara di Singapura terlibat dalam penghantaran cip Nvidia ke China. Jabatan Perdagangan Amerika Syarikat dipercayai sedang menyiasat isu itu, berikutan laporan bahawa DeepSeek - syarikat dari China yang prestasi model kecerdasan buatan (AI) syarikat tersebut menggemparkan dunia teknologi - telah menggunakan cip canggih yang tidak dibenarkan dihantar ke China.

Penyata suku tahunan Nvidia baru-baru ini menunjukkan bahawa Singapura menyumbang kira-kira 22 peratus daripada pendapatannya. Syarikat itu turut mendedahkan bahawa "sebahagian besar penghantaran yang dikaitkan dengan pendapatan dari Singapura adalah ke lokasi-lokasi selain Singapura, dan penghantaran ke Singapura tidak signifikan". Nvidia memberitahu laman web Investing.com pada awal minggu ini bahawa pendapatan dari Singapura bukanlah petunjuk sebarang pelencongan ke China.

"Pemfailan awam kami melaporkan 'bil ke' bukan 'menghantar ke' lokasi pelanggan kami. Ramai pelanggan kami mempunyai entiti perniagaan di Singapura dan menggunakan entiti tersebut untuk produk yang ditujukan untuk Amerika Syarikat dan Barat," kata syarikat itu.


RESPONS SINGAPURA

Dalam satu kenyataan pada Sabtu (1 Feb), Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) mengulangi kenyataan Nvidia dan menegaskan kedudukan Singapura sebagai sebuah hab perniagaan antarabangsa.

"Syarikat-syarikat besar dari Amerika Syarikat dan Eropah mempunyai operasi penting di sini. Nvidia juga telah menyatakan bahawa tidak ada sebab untuk mempercayai bahawa DeepSeek memperoleh sebarang produk dari Singapura yang eksportnya dikawal." menurut MTI.

Menurut MTI, ia menjangkakan syarikat-syarikat Amerika akan mematuhi kawalan eksport Amerika Syarikat dan undang-undang Singapura, sambil menambah bahawa kastam dan agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang Singapura akan terus bekerjasama rapat dengan rakan-rakan sejawatan mereka dari Amerika Syarikat.

"Kami sentiasa menegakkan kedaulatan undang-undang, dan bertindak tegas erhadap mana-mana individu dan syarikat-syarikat yang melanggar peraturan," tegas MTI.
1738425680089.png
 
Taiwan Larang Pekerja Awam Guna DeepSeek Atas Kebimbangan Keselamatan

01.02.2025 - Taiwan melarang para pekerja dalam sektor awam dan di kemudahan prasarana utama daripada menggunakan DeepSeek. Menurut Taiwan, DeepSeek merupakan produk China dan mungkin mengancam keselamatan wilayah itu. Negara-negara termasuk Korea Selatan, Ireland, Perancis, Australia dan Itali telah menimbulkan persoalan tentang amalan data syarikat pemula kecerdasan buatan (AI) dari China itu. DeepSeek bahkan mencetuskan kekecohan di Wall Street minggu ini dengan chatbot baharunya, yang dianggap dapat menyaingi syarikat Amerika Syarikat dari segi keupayaan tetapi pada kos yang jauh lebih rendah.​

1738425755905.png

Ini sekalipun rejim Amerika yang ketat melarang firma China daripada mengakses jenis cip canggih yang diperlukan untuk menggerakkan model pembelajaran besar-besaran yang digunakan untuk membangunkan kecerdasan buatan (AI). Sekatan yang dikenakan Taiwan itu diumumkan sedang badan pemerhati data di Korea Selatan dan Ireland menyatakan mereka akan meminta DeepSeek menjelaskan cara ia menguruskan maklumat peribadi pengguna.

Berita asal https://berita.mediacorp.sg/dunia/t...-deepseek-atas-kebimbangan-keselamatan-911591
 
Back
Top
Log in Register