Latihan di Russia mengubah persepsi dan cara kehidupan
SETAHUN di Russia ketika menjalani latihan untuk menjadi angkasawan adalah suatu pengalaman yang sungguh berharga dan tidak akan saya lupakan.
Negara terkemuka dalam teknologi angkasa lepas itu mengajar saya mengenal erti kehidupan serta bekerjasama antara satu sama lain tanpa mengira bangsa, agama dan negara serta berdikari apabila jauh dari negara tercinta.
Walaupun sudah biasa dengan kehidupan di luar negara ketika mengikuti pengajian perubatan di India selama tujuh tahun, Russia adalah negara yang unik, berbeza dan penuh misteri. Tidak banyak perkara yang kita ketahui mengenai negara ini yang pernah bergelar `Tembok Besi’ kerana pemerintahan ala Komunis.
Sebelum berlepas ke Russia pada 25 September 2006, saya cuba menimba seberapa banyak ilmu mengenai budaya dan sejarah negara itu.
Saya mempelajari bahasa Russia yang boleh dikatakan agak sukar dikuasai. Sebelum ini, saya mempelajari bahasa Arab dan Perancis. Kedua-dua bahasa ini lebih mudah berbanding bahasa Russia.
Kota terkenal Russia, Moscow adalah sebuah bandar raya yang indah dan cantik, bangunan lama seperti Kremlin yang kaya dengan sejarah, muzium, teater dan galeri lukisan yang menjadi kebanggaan rakyat Russia.
Saya yang sejak dulu amat meminati dunia seni mengambil kesempatan ini untuk memperluaskan minda dalam dunia seni.
Dari segi makanan, sudah tentu jauh berbeza berbanding Malaysia. Orang Russia gemar roti hitam, kentang dan sayur-sayuran seperti kobis. `Borsch ‘ sejenis sup menjadi kegemaran saya ketika berada di Russia, termasuk ikan salmon dan caviar.
Mereka tidak suka makanan pedas. Mujur saya ada membawa rempah-ratus dari Malaysia sebagai pengubat rindu walaupun saya tidak mengalami masalah untuk menyesuaikan diri dengan rasa makanan tempatan.
Saya mempunyai ramai kawan Russia yang begitu akrab dan sentiasa membantu untuk menyesuaikan diri. Memang pada mulanya, mereka sukar menerima bangsa asing, tetapi setelah berjaya menguasai bahasa Russia dan membuktikan kesungguhan menjadi kosmonaut yang berdedikasi, mereka mula menerima saya dalam kehidupan mereka.
Saya juga mempunyai keluarga angkat dan tinggal bersama mereka sekurang kurangnya sekali sebulan. Ini membolehkan saya bukan saja mengenali budaya Russia dengan lebih dekat, malah melakukan amalan harian mereka.
Sungguh seronok dapat hidup dan makan bersama serta berinteraksi dengan anak keluarga angkat yang seolah-olah menjadi pengganti kepada keluarga yang berada jauh untuk mengubat rindu.
Mereka memanggil saya Yuri Muszaphar sebagai nama timangan. Hingga kini, saya masih berinteraksi dengan mereka melalui emel dan surat.
Dari segi persediaan ke angkasa lepas, latihan di StarCity bukan hanya menitikberatkan aspek fizikal, tetapi pelbagai kelas teori dalam bidang astronomi dan sains angkasa. Kami didedahkan dengan pelbagai subjek membabitkan gugusan bintang, struktur roket Soyuz, Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) dan teknologi moden lagi canggih milik Russia.
Subjek fizik dan matematik amat ditekankan kerana hampir semua aspek pelancaran kapal Soyuz membabitkan pengiraan. Latar belakang kedoktoran dan ujian saintifik yang dipelajari menyebabkan ujian dan kelas yang diikuti boleh dikatakan agak mudah kerana telah dipelajari sebelum ini.
Latihan fizikal membabitkan larian, renang dan senaman di gimnasium. Setiap tiga bulan, kami menjalani ujian pemeriksaan kesihatan yang dilakukan dengan serius. Kadang-kadang saya berasa seperti tikus eksperimen kerana setiap anggota badan diperiksa dengan terperinci meliputi darah, tulang, jantung, paru-paru dan gigi.
Jika hanya mempunyai sakit tekak pun, latihan akan diberhentikan seketika untuk memastikan kesihatan pulih.
Sebagai sebuah negara di utara Eropah, cuaca ketika musim salji amat sejuk hingga mencecah - 20 darjah celcius.
Saya amat gemarkan musim salji dan sering dimarahi pelatih Russia dan pengajar, terutama guru bahasa Russia, Svetlana, yang menganggap saya seperti anaknya sendiri kerana tidak menutup kepala dan memakai pakaian sepatutnya.
Dalam kelas, beliau juga memarahi saya kerana membuka tingkap dengan begitu luas. Saya hanya mampu tersenyum dan mengangguk kepala. Umur sudah mencecah 35 tahun pun masih dimarahi guru.
Bergaul dengan astronaut dan kosmonaut dari seluruh negara mengubah persepsi dan cara kehidupan diri ini. Untuk menjadi angkasawan, kita mesti bekerjasama antara satu sama lain, daya fokus yang tinggi, keinginan yang kuat, kualiti kepemimpinan dan berkebolehan mengeluarkan pendapat.
Anda tidak harus mempunyai sebarang perasaan takut untuk bersuara dan berani dalam apa juga yang dihadapi. Sikap penyayang, sabar dan berwawasan tinggi juga harus wujud untuk meneruskan cabaran latihan yang sangat mencabar.
Setiap kali saya mengalami kesukaran ketika meneruskan sesuatu cabaran, saya akan memejamkan mata dan membayangkan bahawa ini adalah harapan dan impian setiap insan di Malaysia lalu membuatkan saya lebih gigih untuk meneruskan cabaran itu.
Alhamdulillah, setiap cabaran dapat dilalui dengan mudah dan sempurna. Yang penting mempunyai kekuatan minda yang tinggi. Pasti anda akan mencapai impian anda.
Saya tidak akan melupakan setiap pengalaman di Russia. Tiga bulan lalu, saya kembali ke Russia untuk menjalani pemeriksaan perubatan dan sempat berjumpa kawan-kawan lama. Sungguh seronok apabila dapat mengenang kembali memori manis bersama mereka dan tidak sabar-sabar kembali ke Russia dalam masa terdekat.
Moscow ibarat seperti kampung halaman sendiri. Terima kasih Russia kerana membantu diri dalam perjalanan ke angkasa lepas. Tidak dilupakan juga pelajar Malaysia di Moscow yang sentiasa memberi bantuan, termasuk staf kedutaan di Moscow seperti Duta Malaysia ke Russia, Datuk Mohamad Khalis Ali Hassan dan isteri, Mr Cheong, Saiful, Sufian, Rajiv dan ramai lagi. Jasa anda akan sentiasa dikenang.