kupanglaut
Super Active Member
- Messages
- 9,716
- Joined
- Jun 13, 2025
- Messages
- 9,716
- Reaction score
- 97
- Points
- 80
Selaras usaha kerajaan memperkukuh kebajikan mahasiswa, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) melancarkan Dapur Siswa MADANI sebagai inisiatif bagi mengurangkan beban kos sara hidup kira-kira 76 peratus pelajarnya yang terdiri daripada kelompok B40.
Naib Canselor UMK Prof Datuk Dr Arham Abdullah berkata pelaksanaan inisiatif itu bertujuan memastikan pelajar mendapat akses kepada keperluan asas seperti makanan, sekali gus membantu mengurangkan perbelanjaan harian mereka.
Beliau berkata kemudahan yang disediakan merangkumi peralatan memasak serta bekalan makanan kering yang boleh digunakan pelajar untuk menyediakan makanan sendiri.
“Selain itu, UMK turut merancang penyediaan makanan siap dimasak antara dua hingga empat kali sebulan khusus kepada pelajar asnaf dan pelajar daripada kategori miskin, dengan sekurang-kurangnya sekali seminggu makanan siap dimasak disediakan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Arham berkata inisiatif berkenaan secara tidak langsung dapat membantu pelajar mengurus perbelanjaan dengan lebih berhemah, selain memastikan kebajikan mereka terus terpelihara.
Berikutan itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMK Prof Dr Mohammad Ismail berkata universiti itu merancang membuka lima Dapur Siswa MADANI di setiap kolej kediaman sepanjang tahun ini.
Beliau berkata lima lokasi berkenaan ialah di Pusat Islam UMK Bachok, Kolej Kediaman IBS UMK Bachok, Kolej Kediaman Atira UMK Bachok, Kolej Kediaman Taman Bendahara Kampus Kota Bharu serta Kolej Kediaman UMK Kampus Jeli.
Dalam perkembangan berkaitan, Arham memaklumkan UMK telah membelanjakan kira-kira RM1.5 juta pada tahun lalu bagi melaksanakan pelbagai program kebajikan dan kesejahteraan pelajar yang memberi manfaat kepada lebih 8,000 pelajar.
Dapur Siswa MADANI UMK Bantu Mahasiswa Tangani Kos Sara Hidup
MADANI, dapur siswa, Anwar, pelajar, UMK, kos sara