DAPATKAN PELAN PERSARAAN DARI MAA TAKAFUL.
KES PERTAMA:
Siti Salmah adalah bekas kakitangan kerajaan yang bekerja di pejabat Menteri. Beliau kini sudah bersara. Setiap bulan beliau akan menunaikan baucar pencennya yang berjumlah RM800, suatu amaun yang kecil berbanding dengan pendapatannya semasa bekerja di Kementerian.
Walaupun Siti Salmah mempunyai dua orang anak, beliau tidak merungut. Suaminya adalah seorang peniaga kecil-kecilan yang berpendapatan cukup makan untuk sekeluarga.
Bagi Rokiah Mohamed pula, kesnya adalah berlainan. Beliau bekerja sebagai eksekutif teknikal di sebuah syarikat infomasi teknologi (IT) kecil sehingga persaraannya baru-baru ini.
Syarikatnya tidak menyediakan faedah persaraan kepada pekerja. Rokiah hanya bergantung kepada sumbangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang telah dicarum olehnya dan majikannya sepanjang tempoh penggajian beliau.
Ketika persaraannya, Rokiah Mohamed telah mengeluarkan kesemua simpanan KWSPnya sekaligus yang berjumlah kira-kira RM200,000. Beliau mempunyai dua orang anak dan suaminya tidak mempunyai pekerjaan tetap.
Bagi Siti Salmah, beliau tidak risau walaupun menerima pencen yang sedikit kerana bayaran pencennya adalah tetap dan sehingga beliau meninggal dunia. Cuma yang beliau tiada ialah bayaran berjumlah besar sekaligus ketika bersara. Bagi beliau, ini bukanlah satu masalah kerana dia akan menerima pencen setiap bulan selagi dia masih hidup.
Tetapi bagi Rokiah Mohamed pula, di sebalik penerimaan bayaran berjumlah besar sekaligus pada masa persaraannya, kini beliau terpaksa merancang perbelanjaannya dengan teliti untuk setiap bulan. Tidak ada orang lain yang akan berbuat demikian baginya, tidak seperti kes Siti Salmah di mana ia dirancangkan oleh pihak kerajaan.
Rokiah Mohamed juga menghadapi satu persoalan rumit; beliau tidak dapat menjangkakan bila dia akan meninggal dunia. Oleh itu, beliau tidak dapat membuat perancangan belanjawan yang tepat untuk sepanjang tempoh kehidupannya.
Sebagai contoh, jika beliau menjangkakan bahawa akan hidup sehingga 75 tahun, bermakna beliau akan hidup selama 20 tahun lagi selepas bersara pada umur 55 tahun. Maka daripada jumlah RM200,000, beliau hendaklah memperuntukkan sebanyak RM10,000 untuk perbelanjaan bagi setiap tahun.
Apa pula yang akan terjadi jika beliau terus hidup sehingga 80 atau 85 tahun. Peruntukan yang telah dibuat tentulah tidak tepat sama sekali. Jika beliau meninggal dunia pada umur 65 tahun, warisnya tentu akan memperolehi baki jumlah wang tersebut.
Ini adalah perbezaan yang paling nyata di antara kes Siti Salmah dan Rokiah Mohamed. Siti Salmah tidak perlu bimbang berapa lama dia akan hidup tetapi lain pula bagi Rokiah Mohamed. Ini adalah di atas andaian bahawa kedua-dua Siti Salmah dan Rokiah Mohamed mempunyai insurans rawatan untuk memastikan bahawa pendapatan mereka yang sekadar cukup makan itu tidak dipergunakan untuk perbelanjaan rawatan perubatan yang tidak dijangkakan.
Faedah persaraan merupakan masalah yang besar dalam sektor swasta.
Kebanyakan syarikat tidak menyediakan skim pencen dan skim persaraan untuk kakitangan mereka seperti skim pencen kerajaan. Jika adapun ia merupakan beban kewangan yang amat besar dan akan memudaratkan syarikat tersebut.
Akibatnya, kebanyakan pekerja sektor swasta tidak akan mempunyai sumber pendapatan tetap apabila mereka bersara kelak.
Mereka cuma mengharapkan simpanan KWSP sahaja dan bagi kebanyakan kes, jumlah yang ada tidak boleh dikatakan banyak terutama sekali apabila diambilkira kenaikan harga dan taraf hidup sekarang yang lebih tinggi berbanding dengan 30 tahun yang lalu - tempoh jangka masa pekerjaan seseorang sebelum dia bersara.
Perangkaan daripada KWSP menunjukkan betapa seriusnya masalah ini.
Statistik bagi tahun 1999 menunjukkan majoriti ahli yang menyumbang kepada KWSP menyimpan kurang daripada RM1,000 setiap tahun. Jumlah mereka ini adalah 2.055 juta berbanding dengan jumlah keseluruhan penyumbang iaitu 9.544 juta ataupun 21.53 peratus iaitu lebih daripada satu per lima daripada jumlah keseluruhan penyumbang pada tahun tersebut.
Menyumbangkan
Lebih mengejutkan lagi adalah jumlah 2.055 juta orang ini hanya menyumbangkan sebanyak RM860.86 juta berbanding dengan jumlah RM163.38 bilion yang diterima oleh KWSP pada tahun tersebut.
Statistik yang seterusnya memberikan gambaran yang lebih jelas. Sumbangan terbesar bagi tahun tersebut adalah daripada mereka yang berpendapatan di antara RM1,000 dan RM2,000. Kumpulan ini menyumbang sebanyak RM31,954 bilion iaitu 26.78 peratus daripada jumlah keseluruhan sumbangan yang diterima oleh KWSP pada tahun 1999.
Statistik-statistik ini menunjukkan betapa perlunya lindungan sosial disediakan terutamanya bagi mereka yang akan bersara dalam sektor swasta.
Hakikat bahawa pesara tidak dapat menjangka berapa lama lagi yang dia akan hidup membuatkan pengiraan peruntukan yang tepat bagi perbelanjaan setiap bulan daripada sejumlah wang yang sedia ada, sesuatu yang merumitkan.
Pelan persaraan atau anuiti demi menjaga kepentingan seseorang selepas bersara tidak boleh dianggap remeh. Seperti pengarang Jane Austen berkata dalam novelnya Sense and Sensibility "Anuiti adalah suatu perkara yang sangat serius...".
Rencana ini diterbitkan dengan kerjasama Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM)