Rasulullah sedia tiga panduan lengkap cara membina ummah
Oleh Hasliza Hassan
KELAHIRAN Rasulullah SAW membawa risalah berasaskan dasar yang utuh dan kehadirannya membawa rahmat untuk sekalian alam. Justeru, umat Islam perlu faham rahmat itu dengan mengkaji risalah Nabi Muhammad SAW serta mengamalkan dalam kehidupan seharian.
Mengingati Rasulullah SAW sekali setahun ketika 12 Rabiulawal (berdasarkan pendapat masyhur mengenai tarikh kelahiran Baginda SAW) atau 9 Rabiulawal (pendapat sahih) saja tidak memadai.
Pensyarah Jabatan al-Quran dan Hadis Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Fauzi Deraman, berkata risalah Nabi Muhammad SAW yang kekal hingga hari ini sebaliknya perlu menjadi panduan sepanjang masa.