ZONDA
Legendary Member

- Messages
- 14,904
- Joined
- Feb 8, 2011
- Messages
- 14,904
- Reaction score
- 46
- Points
- 120
Musa Aman (kanan) mendengar sesuatu daripada timbalannya, Datuk Raymond Tan Shu Kiah (tengah) sambil disaksikan oleh seorang lagi timbalannya, Datuk Seri Yahya Hussin (kiri) dalam Sidang Dewan Undangan Negeri Ke-14 di Kota Kinabalu, Sabah, semalam. UTUSAN/Azrul Edham Mohd. Aminuddin
KOTA KINABALU 13 April - Kerajaan negeri tidak akan teragak-agak mengambil tindakan ‘menukar’ serta-merta mana-mana ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri yang gagal mentadbir urus hingga mengakibatkan kerugian.
Malah tegas Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman, kerajaan negeri juga akan mengambil tindakan sama ke atas pengerusi atau ahli lembaga syarikat yang didapati tidak amanah dalam mengemudi syarikat terbabit.
“Kita sentiasa memantau pengurusan kewangan sesebuah GLC di negeri ini. Mana-mana syarikat yang didapati kurang memberangsangkan, kita akan siasat dan kaji punca perkara itu berlaku.
“Sekiranya didapati berlaku salah laku atau kegagalan mengurus tadbir dengan baik, kita tidak teragak-agak mengambil tindakan kepada CEO atau pengerusi mahupun pengarah urusan,” katanya di Dewan Undangan Negeri, di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Dr. Jeffrey Kitingan (Star-Bingkor) berhubung tindakan kerajaan kepada GLC yang gagal mencatat prestasi memberangsangkan.
Sementara itu, Pembantu Menteri Kewangan negeri, Datuk Ramlee Marahaban ketika memberi maklum balas terhadap soalan Datuk Syed Abas Syed Ali (BN-Balung) tentang jumlah GLC yang kurang memberangsangkan selain tindakan kerajaan membantu syarikat berkenaan berkata, secara keseluruhannya GLC negeri menunjukkan pencapaian memuaskan.
Ujarnya, beberapa syarikat juga telah mampu membayar pinjaman dan dividen kepada kerajaan negeri manakala sebanyak 12 buah syarikat mencatat keuntungan bagi tahun kewangan berakhir 2013.
Bagi GLC yang masih lemah dan mengalami kerugian beliau menjelaskan, kerajaan negeri menerusi Kementerian Kewangan mengambil beberapa strategi jangka panjang seperti menstruktur semula pinjaman syarikat, mengukuhkan kapasiti dan menyusun semula struktur perniagaan bagi meningkatkan keupayaan serta prestasi kewangan syarikat.
“Kementerian Kewangan negeri juga akan meningkatkan sistem pemantauan melalui menaik taraf dan integrasi Sistem Syarikat Maklumat Negeri (SCIS) dengan Sistem Pembiayaan Kerajaan Negeri (SLS) serta memperkasa peranan Jawatankuasa Audit dan Pemeriksaan (JAP),” katanya.
Mengulas tentang prestasi kewangan agensi kerajaan negeri, Ramlee memberitahu, bagi 2011 hingga 2013, daripada 19 buah agensi, terdapat tujuh buah yang mencatatkan prestasi A manakala tiga lagi agensi (prestasi B) dan selebihnya B- dan C.
Kata beliau, Sabah Development Bank Berhad (SDB) mencatatkan keuntungan bersih yang tertinggi dengan purata keuntungan sebanyak RM144.69 juta bagi tempoh tersebut.
“Ini diikuti oleh Sabah Energy Corporation Sdn. Bhd. (SEC) dengan purata keuntungan bersih sebanyak RM33.8 juta dan Kelompok Perindustrian Kelapa Sawit (POIC) Sdn. Bhd. (RM25.66 juta),” ujarnya.