Link ke Bahagian 2 @ Post 7
Bahagian 3 (Akhir): Catur Bistari Bukan Monopoli
Sistem ini nyata sekali terlampau memihak kepada pembolotan harta kekayaan
oleh jutawan dan ”billionaire” serta korporat MNC yang banyak antaranya
pula membawa sikap ”keparat”. Majoriti mereka, khasnya organisasi korporat
MNC ini pula adalah milik Barat, iaitu pengasas dan pembina sistem ekonomi
yang sama. Lihat sahaja contoh-contoh kerakusan syarikat Enron, diikuti
oleh Bernard Madoff di Amerika Syarikat, yang berdekad berjaya menipu
dengan rakus, sehingga warga Amerika kehilangan lebih $140 bilion. Madoff
yang umurnya melebihi 70 tahun, akhirnya telah dihukum penjara selama 150
tahun!
Kerakusan usahawan seperti Madoff dan sikap tamak eksekutif tertinggi
syarikat bank dan insurans seperti yang disaksikan di Barat kebelakangan
ini pernah disifatkan sebagai antara punca utama berlakunya krisis ekonomi
global pada September, 2008. Krisis ini pula telah menjejas tahap ekonomi
dan memusnahkan kehidupan berpuluh juta manusia di seluruh dunia. Ia telah
jelas lahir dari sistem kapitalis ”Monopoly” liar dan buas, yang juga
rakus dan serakah sifatnya.
Sistem ini juga sangat rapat hubung kaitnya dengan sejarah dan ideologi
penjajahan yang Barat perkenalkan sejak beberapa abad sebelum ini.
Organisasi korporat dan syarikat ciptaan mereka yang hari ini menerajui
banyak bisnes global, pada asasnya digunakan sebagai alat utama untuk
mengeksploitasi bangsa dan negara yang dijajah.
Hari ini matlamat mereka ialah membina kelangsungan upaya bisnes supaya
mereka dapat terus perkasa dan berkesinambungan memiliki harta kekayaan
dunia generasi demi generasi. Lebih malang lagi apabila kekayaan yang
dimonopoli tersebut hanya digunakan untuk terus mengukuhkan empayar bisnes
dan kedudukan peribadi tanpa mengendahkan rintihan mereka yang
dikesampingkan.
Negara-negara dan masyarakat Islam amnya telah menerima pakai sistem ini
setelah mewarisinya sebagai peninggalan dari penjajahan Barat ke atas
mereka. Sebahagian negara Islam pernah cuba memilih jalan alternatif,
seperti sosialisme. Namun, setelah sistem komunisme tumbang dan jatuh
tersungkur, mereka seolah-olah tidak mempunyai pilihan selain menciplak
sistem kapitalis Barat termasuk dengan nilai monopolinya sekali.
Kesannya, kelihatan ketidakadilan dan kezaliman sistem kapitalis yang
memecah-belah penduduk Islam sesama sendiri, kerana di bawah sistem ini,
yang kaya akan mudah bertambah kaya, sedangkan yang miskin akan langsung
terpinggir dan tercicir jauh ke belakang. Situasi ini menjadi lebih buruk
di kalangan negara Islam yang kaya-raya hasil dari sumber minyak dan gas
yang dimilikinya.
Harta kekayaan dan aset negara sebahagian besarnya dikuasai oleh golongan
kecil elit di puncak hirarki sistem, yang jurangnya semakin hari semakin
melebar dengan bilangan terbesar mereka yang terpinggir. Gaya hidup
golongan kaya semakin menimbulkan budaya ”sub-culture” yang memisahkan
golongan elit ini dari golongan bawahan. Semua ini akan merosakkan sistem
sosial dan perpaduan masyarakat Islam di mana-mana.
Sudah tiba masanya masyarakat dan umat di negara-negara Islam membina
sistem ekonomi yang ”business-driven”, tetapi tidak liar, buas, rakus dan
tamak seperti yang dianjurkan oleh kapitalisme Barat. Sudah tiba masanya
bagi anak-anak remaja di dunia Islam diperkenalkan dengan suatu permainan
”board game” untuk menggantikan monopoli.
picture3
Inilah antara sebab utama Johor Corporation mencipta dan memperkenalkan
permainan bisnes bernama ”Catur Bistari” baru-baru ini, yang sedang
menanti untuk dipatenkan. Catur Bistari mengajak remaja Muslim (dan bukan
Muslim) membudayakan bisnes dan memburu kekayaan, tetapi bukan menerusi
cara yang rakus, tamak, monopoli dan mengaut semua.
Matlamat asasnya sama dengan Monopoly, iaitu untuk menjadi kaya-raya dan
mempelajari selok-belok bisnes. Namun jalannya berlainan. Pemain Catur
Bistari tidak digalakkan melanggar undang-undang, garisan etika dan
batasan nilai moral. Tidak ada konsep pemain yang keluar-masuk penjara
setelah melakukan kesalahan, kemudian kembali membolot harta kekayaan.
Tidak diajar setelah membayar sejumlah wang (memberi rasuah?) untuk keluar
dari penjara, kemudiannya meneruskan semula aktiviti bisnes dengan rakus
dan eksploitasi.
Semua pemain Catur Bistari akan melalui 3 jalan utama. Pertama, sama
seperti yang dilalui dalam kehidupan, pemain akan bermula dari Laluan
Makan Gaji. Setelah berjaya menabung dan melabur sampai ke satu tahap,
mereka akan memasuki Laluan Tijarah, iaitu laluan yang membuka peluang
untuk berbisnes dan menjadi kaya raya, di samping beramal jariah dan
membantu mereka yang memerlukan.
Mata yang dikutip melalui amal jariah di Laluan Tijarah dan Laluan Jihad
Bisnes, iaitu laluan terakhir, menjadi penentu kemenangan. Di Laluan Jihad
Bisnes inilah akhirnya, setelah menjadi jutawan berjaya, pemain dituntut
menyempurnakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) Islam supaya dapat
membawa impak besar terhadap keadilan dan membela kepentingan besar
masyarakat mengatasi kepentingan sempit individu.
Kesimpulannya, Catur Bistari mengajar remaja yang minat berbisnes supaya
tidak rakus, tamak dan ekstrem dalam bisnes sehingga menghalalkan segala
cara. Nilai murni Islam, semangat kasih-sayang, bantu-membantu dan
prihatin terhadap membela nasib yang terpinggir juga diutamakan. Paling
penting ialah sikap monopoli ekstrem, nafsu-nafsi dan cuma mementingkan
kepentingan individualistik perlu dibasmi.
Kenapa ”Catur” dan kenapa ”Bistari”? Kejayaan bisnes perlu diasah dan
ditajamkan kreativiti, keberanian dan keterampilan bersaing. Ia memerlukan
ketajaman akal, hikmah berbisnes dan keupayaan menyusun strategi bisnes
yang jitu. Ringkasnya, kehandalan bersaing memerlukan percaturan semua
gerak langkah yang boleh menjamin kejayaan.
Istilah ”Bistari” pula adalah cantuman daripada konsep ”Bisnes untuk
berdikari”, sekali gus membayangkan bisnes yang dikendalikan harus
diusahakan dengan penuh bestari dan bijaksana. Dalam konteks dunia hari
ini yang dipacu dan diterajui oleh bisnes, antara faktor paling kritikal
yang membezakan negara, bangsa dan umat yang mundur dengan yang maju ialah
sejauh mana mereka memiliki kebijaksanaan dan hikmah berbisnes. Ahli
bisnes yang tidak bestari sudah tentu rendah keupayaan bersaing dan lemah
daya mengatasi dugaan dan cabaran.
Catur Bistari adalah satu permainan untuk remaja Malaysia memupuk bakat
dan keterampilan menyusun gerak dan langkah berbisnes untuk menjadi
kaya-raya. Paling penting, ia mempunyai mesej serta mengutamakan nilai
etika dan moral seperti yang digariskan Islam, dan bukan berbisnes untuk
memonopoli dan berkorporat hingga menjadi keparat!