BizClub
Super Active Member
- Messages
- 7,033
- Joined
- Dec 26, 2005
- Messages
- 7,033
- Reaction score
- 157
- Points
- 78
KULIM 12 Mei - Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Itulah perumpamaan yang sentiasa bermain di dalam fikiran seorang usahawan orang kurang upaya (OKU), Ku Radzi Ku Chik, 41.
Bagi Ku Radzi, kekurangan pada dirinya bukanlah alasan mematahkan semangat untuk berusaha mengubah nasib.
Sebaliknya, dilahirkan dengan jari tangan tidak cukup 10, beliau berjaya membuktikan mampu bersaing dengan insan sempurna.
Ku Radzi kini pemilik kilang sarung tangan getah tempatan yang memiliki aset bernilai jutaan ringgit.
Menceritakan kisahnya, Pengarah Urusan Waja Daya Enterprise Rubber (M) Sdn. Bhd. (WDE) itu berkata, beliau mula berjinak-jinak dengan bidang pembuatan sarung tangan getah ketika bertugas sebagai pegawai pemasaran di sebuah kilang di Lunas dekat sini.
''Saya bekerja di kilang sarung tangan getah selama enam tahun. Dari situ, saya dapati bidang ini menjanjikan pendapatan lumayan.
''Pada 1998, saya mengambil keputusan berhenti,'' katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya di Taman Selasih di sini baru-baru ini.
Ku Radzi berkata, selepas setahun berhenti, beliau yang ketika itu berjaya mengumpul modal RM20,000 memulakan perniagaan membeli sarung tangan secara pukal sebelum membungkus semula dan menjual kepada para pelanggan.
''Saya mulakan secara kecil-kecilan di rumah iaitu di Taman Kemuning.
''Daripada pelanggan tempatan, perniagaan berkembang tembusi pasaran eksport seperti Amerika Syarikat, Asia Barat, Sepanyol, Perancis, Turki dan Cyprus,'' katanya.
Beliau berkata, berbekalkan maklumat dari Internet dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), perniagaannya berkembang dan mendapat tambahan pelanggan dari benua Eropah.
Katanya, selepas hampir 10 tahun menjalankan perniagaan tersebut, pada tahun 2007, beliau mengambil keputusan untuk membuat sendiri sarung tangan getah.
''Saya cuba mendapatkan pelbagai agensi kerajaan untuk membantu.
''Akhirnya, Lembaga Getah Malaysia (LGM) setuju sediakan bangunan kilang dengan penggunaan mesin memproses sarung tangan getah secara percuma di Sungai Buloh, Selangor,'' katanya.
Menurut Ku Radzi, berbekalkan 13 pekerja pada peringkat awal, kilang tersebut mampu menghasilkan kira-kira 6.5 juta unit sarung tangan getah setiap bulan.
''Produk sarung tangan getah yang dikeluarkan kilang saya itu kemudian dihantar ke Kulim untuk dibungkus sebelum dieksport ke luar negara,'' katanya.
Tambah beliau, perniagaannya kini menjadi semakin maju dan berjaya mengeksport 24 juta unit sarung tangan getah dengan nilai jualan kira-kira RM1.4 juta setiap bulan.
''Oleh kerana bidang ini menjanjikan pendapatan lumayan, saya merancang membuka sebuah sebuah kilang baru di tapak seluas 3.5 hektar bagi meningkatkan pengeluarannya,'' katanya.
Katanya, kilang yang dicadangkan tersebut berharga RM6.5 juta dan akan dibina di Kawasan Perindustrian Padang Meiha, Padang Serai dekat sini selewat-lewatnya tahun depan.
''Saya sedang tunggu kelulusan bantuan daripada Jabatan Tenaga Kerja. Saya ada memohon melalui Skim Bantuan Galakan Perniagaan Orang Kurang Upaya,'' jelasnya.
Ku Radzi yang mempunyai dua anak hasil perkongsian hidup dengan Azura Othman, 36, berharap, pembinaan kilang itu boleh menjadi perangsang kepada OKU lain supaya berdikari dan cekal menghadapi cabaran.
''Saya dilahirkan dengan hanya mempunyai tiga jari pada tangan kiri. Tak sangka pula, dengan tangan yang tak cukup jari ini, boleh jadi tauke kilang sarung tangan,'' katanya berseloroh.
Beliau juga menasihatkan golongan OKU supaya lebih bersemangat dan tidak merasa rendah diri dalam menghadapi kehidupan seharian.
''Setiap individu pastinya berjaya, asalkan tidak mudah putus asa dan berusaha gigih,'' katanya.
