GAJAH DI BATANG HIDUNG TIADA SEDAR
Pada 1511, ketika peperangan antara tentera Portugis dan Melaka sedang kemuncak, suara amukan seekor gajah bergema ke seluruh kota. Kita tahu daripada catatan sejarawan Portugis, Gaspar Correia, mereka cuba menikam telinga dan perut gajah itu, lalu dalam ketakutan ia mengamuk dan merempuh apa-apa sahaja di hadapannya.
Hebat betul orang Melaka berjuang! Tetapi gajah bukanlah binatang pertama yang kita akan terbayang apabila orang menyebut sejarah negeri Melaka. Kita sudah terbiasa dengan imej pelanduk putih menendang anjing perburuan Raja Iskandar Syah. Padahal di Melaka ada tempat bernama Alor Gajah, Batu Gajah, dan Gajah Berang.
Nak tahu sejarah gajah di Melaka kita kena kembali ke kitab Sejarah Melayu di mana gajah sangat penting dalam istiadat raja Melayu. Misalnya, apabila “raja bergajah, Temenggung di kepala, Laksamana atau Seri Aldiraja di buntut, memikul pedang kerajaan.”
Gajah juga menjadi simbol kedudukan seorang perutusan yang datang ke negeri Melaka. Lain kedudukan orang itu, lain binatang atau alat kebesaran yang akan digunakan: “Jikalau orang patut bergajah, dibawakan gajah, maka jika patut berkuda, dibawakan kuda; jikalau tiada patut berkuda, jalan saja dengan payung dan gendang dan serunai.”
Sekejap, bukankah gajah binatang liar dari hutan? Betul, sebab itu diceritakan dalam Sejarah Melayu mengenai pembesar-pembesar Melaka yang mahir menjinakkan gajah seperti Seriwa Raja dan Laksamana Khoja Husain. Ketika Melaka sedang berperang dengan Pahang, Sultan Mahmud pernah menghantar Laksamana Khoja Husain untuk mencuri gajah pihak musuh. Disebabkan Laksamana Khoja Husain pandai menjinakkan gajah, beliau bukan sahaja berjaya melarikan beberapa ekor gajah, tetapi juga gajah milik raja Pahang bernama Biman Cengkobat.
Kekuatan gajah sebagai alat perang betul-betul tergambar apabila Melaka menghadapi tentera Portugis. Sultan Melaka sendiri menunggang gajah perang dengan dua ekor lagi mengiringinya. Sejarawan Portugis Joao de Barros menceritakan bagaimana tentera Portugis diserang oleh gajah-gajah yang menarik “bangunan berbentuk istana di belakang badan, dan di dalamnya terdapat panglima-panglima yang memanah.” Ini sudah macam kereta kebal pada zaman sekarang !
Sayang sekali, selepas kejatuhan Melaka, gajah terus terpinggir di hutan dan menjadi buruan gading pihak kolonial. Munshi Abdullah menceritakan bagaimana pada zaman Inggeris seorang Pawang Gajah diupah memburu. Kemudian sebuah kandang besar turut dibina. Hampir kesemua gajah yang ditangkap akhirnya mati kelaparan dan sisa gading dihantar ke England.
Jadi apa sahaja gajah yang masih tinggal di Melaka ? Kalau menurut laporan akhbar The Star, Melaka ialah negeri dengan jumlah “gajah putih” yang terbesar. Adakah ini sesuatu yang boleh dibanggakan ? Rujuk pautan di bawah:
https://www.thestar.com.my/opinion/...MvMSIdIVriFad7F0thBzcOeMdx2UpsY6DXI2tnmLJCtSU
Sumber:
https://www.facebook.com/melakainfact/