BTC USD 63,660.0 Gold USD 4,469.87
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Bukit Sapi diserang gajah liar

eboss

CG Hardcore
gemgem
Messages
85,650
Paid Membership
Joined
Nov 29, 2007
Messages
85,650
Reaction score
1,896
Points
591
BUKIT SAPI - Kawasan pertanian Bukit Sapi sekali lagi berhadapan dengan gangguan gajah liar yang menimbulkan keresahan petani-petani kecil di sini, apabila tanaman mereka usahakan habis dirosakkan haiwan berkenaan.

Hussin Mat Napi, 58, berkata, jagung yang ditanam seluas 1.2 hektar habis dirosakkan sekumpulan gajah liar yang memasuki kawasan kebunnya itu, Isnin lalu.

Menurutnya, turut sama dirosakkan adalah anak-anak pokok getah bantuan Risda yang baru ditanam pada Julai lalu.

“Sedih rasanya apabila melihat anak-anak pokok getah yang baru hendak membesar dirosakkan dan juga keseluruhan pokok jagung yang diusahakan sejak sekian lama dimusnahkan kumpulan gajah liar itu.

“Ini adalah kali pertama sekumpulan lima gajah masuk ke kawasan kebun saya untuk enam hari berturut-turut dan merosakkan hampir seluruh tanaman di sini,” katanya ketika ditemui di kebunnya yang terletak bersebelahan ladang Felcra, dekat sini, semalam.

Hussin berkata, sebelum ini kumpulan gajah itu hanya berkeliaran di kawasan luar tanah rancangan Felcra Bukit Sapi dan kini, dia terpaksa pasrah apabila haiwan itu mula mengganggu tanamannya pula.

“Selain tanaman, dangau yang saya gunakan sebagai tempat tidur untuk menjaga tanaman turut dirosakkan.

“Saya tidak dapat mentaksirkan sebanyak mana kerugian yang dialami daripada kerosakan tanaman dan dangau itu, namun apa yang meresahkan, punca pencarian saya kini terganggu,” katanya.

Menerima nasib yang sama, Halip Mahmood, 70, turut mengalami kerugian apabila anak-anak getah bantuan daripada Risda yang baru setahun ditanamnya dimusnahkan haiwan besar berkenaan.

“Anak-anak getah yang baru ditanam seluas 0.16 hektar dan baru hendak membesar habis dirosakkan gajah liar.

“Perkara ini sudah dimaklumkan kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan). Mengikut makluman yang baru saya terima dari rakan-rakan, mereka telah pun menghantar Unit Tindakan Gajah (UTG) ke mari,” katanya.

Sementara itu, Zainuddin Ghazali, 55, memberitahu bahawa dia telah beberapa kali berhadapan dengan gangguan gajah liar yang masuk dan berkeliaran di kawasan pertanian Bukit Sapi.

Katanya, dia tidak mengusahakan tanaman sepertimana dua rakannya, sebaliknya adalah seorang pengusaha ladang ternakan lembu secara kecil-kecilan di situ.

“Pernah lembu ternakan saya mati apabila ditikam dengan gading oleh seekor daripada kumpulan gajah itu.

“Perkara ini sudah dimajukan terus ke Perhilitan Ipoh dan mereka telah menghantar UTG ke sini, namun apa yang menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan petani ialah mereka tidak berpusat dan berada di tempat yang sepatutnya,” katanya.

Dia bersama rakan-rakan petani lain berharap agar Perhilitan dan UTG memandang serius masalah itu, selain berada di tempat yang sepatutnya bagi memudahkan usaha serta tindakan diambil untuk menanganinya.

“Saya merayu kepada Perhilitan dan UTG agar dapat mengambil tindakan yang sepatutnya dalam menangani masalah ini demi untuk kebaikan semua pihak terutama petani di sini.

“Kami juga sanggup dipanggil walaupun pada lewat malam dan pada bila-bila masa untuk turut membantu pihak UTG dalam usaha menangani masalah gangguan gajah liar ini,” katanya.

Zainuddin juga berharap agar pihak Perhilitan dapat melepaskan gajah-gajah yang berjaya ditangkap ke tempat sepatutnya bagi mengelakkan haiwan itu merayau dan akhirnya kembali semula ke kawasan pertanian atau penempatan penduduk.

“Kebiasaannya apabila ditanya, pihak Perhilitan dan UTG akan memaklumkan kami bahawa gajah yang ditangkap akan dilepaskan ke habitat baru di sekitar kawasan Hutan Belum.

“Saya harap gajah berkenaan benar-benar dilepaskan di kawasan itu sepertimana telah dimaklumkan kerana jika ia dilepaskan di sekitar kawasan yang masih berada di darat, maka tentunya ia akan dapat merayau dan kembali semula ke sini,” katanya.

Zainuddin juga menyatakan bahawa sehingga kini, lebih 10 kali dia berhadapan dengan masalah gangguan gajah liar itu, dan kali ini, dangaunya pula menjadi mangsa.

Menurutnya, dinding dangau tempat dia menunggu dan menjaga lembu peliharaannya dicabut gajah-gajah liar berkenaan dalam kejadian Isnin lalu.

“Saya amat harap agar pihak Perhilitan dapat mengambil tindakan sepatutnya kerana kasihan dengan nasib yang menimpa rakan-rakan petani di sini, sehingga mengganggu punca pendapatan mereka,” katanya.
 
Back
Top
Log in Register