combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,182
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,182
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
Bukit Bangkong Boleh Dibuka Semula Dengan Syarat Guna Laluan Utama - Exco
Kawasan rekreasi Bukit Bangkong, Chemor boleh dibuka semula kepada orang awam untuk aktiviti pendakian melalui laluan utama dengan syarat laluan alternatif ditutup sepenuhnya serta langkah keselamatan dipatuhi.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri Teh Kok Lim berkata perkara itu adalah hasil perbincangan yang diadakan pada 10 Jun lepas antara Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Tanah Hitam serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Beliau berkata mesyuarat turut bersetuju supaya papan tanda amaran kawasan hidupan liar dipasang di pintu masuk Bukit Bangkong selain menasihati pendaki memulakan aktiviti selepas 9 pagi dan pulang sebelum 5 petang.
"Perhilitan tidak mempunyai halangan untuk Bukit Bangkong dibuka semula bagi aktiviti pendakian sekiranya hanya laluan utama ke puncak dibuka manakala laluan alternatif ditutup sepenuhnya.
“Bagaimanapun, JPKK Kampung Tanah Hitam membantah cadangan pembukaan semula aktiviti pendakian kepada orang awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Teh berkata hasil pemantauan Perhilitan mendapati kawasan Bukit Bangkong masih merupakan kawasan rayauan harimau belang selepas kamera perangkap merakam kehadiran haiwan itu yang berbeza pada 13 Mac dan 20 April lepas.
"Pengesahan dibuat menerusi penelitian corak belang pada bahagian kiri dan kanan badan haiwan itu kerana setiap harimau mempunyai corak belang yang unik, dengan anggaran usia harimau sekitar tiga tahun dan saiz tapak kaki kira-kira 12 sentimeter.
“Rakaman diperoleh daripada dua kamera perangkap yang dipasang di dua lokasi berbeza iaitu di laluan alternatif ke puncak dan di kawasan puncak Bukit Bangkong,” katanya.
Beliau berkata Perhilitan turut menemukan kesan tapak kaki harimau, bangkai seekor lembu yang dipercayai dibaham harimau, kesan tapak kijang dan babi hutan serta kesan cakaran beruang pada pokok di kawasan berkenaan.