BTC USD 86,268.9 Gold USD 4,184.62
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Bukan penolakan mutlak

soybean

CG Hardcore Club
gemgem
Messages
63,243
Paid Membership
Joined
Feb 15, 2009
Messages
63,243
Reaction score
4,135
Points
661

Muhamad Khairi Asyraf Basri​

GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN



Golongan orientalis dan Syiah mentohmah kononnya kemunduran umat Islam bermula daripada zaman Imam al-Ghazali. Kenapa mereka membuat tohmahan begitu? Ini kerana mereka berminda binari. Bagi mereka ilmu falsafah itu membawa kemajuan manakala Imam al-Ghazali menolak ilmu falsafah. Maka Imam al-Ghazali adalah punca kemunduran kerana menolak ilmu falsafah.

Naratif ini diulang-ulang mereka sampaikan umat Islam Sunni sendiri pun terkadangnya percaya. Bahkan, sehingga tesis atau kertas kerja di universiti juga turut sering mengulangi naratif cliche ini apabila membicarakan akidah dan Falsafah Islam. Hakikatnya, perkara ini sangat jauh daripada kebenaran. Mereka terkeliru dalam menghurai perkara ini.

Pemikiran tokoh ulama Sunni yang membahaskan perkara aqliah kurang dipopularkan, tidak sepertimana nama tokoh falasifah Islam yang sering diulang-ulang. Jika bukan berkenaan tokoh Falasifah sekalipun, perbincangan falsafah dan pemikiran Islam di universiti juga hanyalah seputar isu harakisme. Penuntut universiti perlu memperbanyak kajian terhadap pemikiran ulama Sunni sebagai bekalan untuk menjawab syubhat pemikiran songsang zaman sekarang.

Tokoh ulama yang banyak menyumbang dalam ilmu berkenaan aqliah antaranya al-Asy'ari, al-Maturidi, al-Samarqandi, al-Bahili, al-Baqilani, Ibn Furak, al-Isfaraini, al-Qusyairi, al-Bayhaqi, al-Baghdadi, al-Juwayni, al-Ghazali, an-Nasafi, al-Syahrastani, Fakhruddin ar-Razi, al-Amidi, al-Abhari, al-Baydhawi, al-Iji, al-Taftazani, as-Subki, Ibn Asakir, al-Jurjani, ad-Dawwani, al-Kalanbawi, Khawaja Zadeh, Kemalpasazade, Mulla Ali Qari, Katip Celebi, al-Fenari, as-Sanusi, Ibn Nafis, al-Biruni dan al-Haythami.

Untuk membaca kitab ulama Sunni silam, apabila dikatakan 'ulama menolak pemikiran kaum falasifah', ini bukanlah bermakna ulama Sunni menolak keseluruhan perbahasan ilmu falsafah. Ulama Sunni ada membahagikan jenis ilmu falsafah antaranya, Mantik (Logics), Riyadhiah (Mathematics), Tabi'iyyah (Sciences), Siyasah (Politics), Khulqiyyah (Ethics) dan Ilahiyyah (Metaphysics).


Ulama Sunni tetap sahaja mengungguli perbahasan falsafah di atas. Apa yang menjadi titik pertikaian antara ulama Sunni dengan kaum falasifah adalah berkisar isu berkait Ilahiyyah (ketuhanan) sahaja. Hanya sekitar 20 perkara sahaja yang dipertikaikan. Daripada 20 itu, hanya tiga perkara dikategorikan sebagai kufur. Ini bermakna hanya sebahagian sahaja yang menjadi penolakan ulama Sunni terhadap ilmu falsafah yang pelbagai cabangnya itu.

Tiga perkara dikufurkan itu sememangnya membelakangi usul akidah Islam. Tiga perkara itu adalah, alam itu qadim sama seperti Allah (logic binary ilal-ma'lul), Allah tidak mengetahui perkara juz'iyyat atau terperinci (particular) dan mustahilnya kebangkitan semula setelah mati secara jasadi. Idea dikufurkan ini menjadi pegangan dalam beberapa golongan Falasifah. Antara golongan Falasifah yang sering menjadi topik perbicaraan adalah golongan Dahriyun (Materialist), Tabi'iyun (Naturalist) dan Ilahiyun (Theist).

Sering dimaksudkan dalam kitab klasik dengan golongan Theist di atas adalah golongan Masya'iyyun (Peripatetic) iaitu satu mazhab pemikiran yang diasaskan oleh Aristotle. Aristotle murid kepada Plato manakala Plato pula murid kepada Socrates. Mereka semua ahli falsafah Yunani yang agung. Falsafah Yunani tersebar ke serata dunia menerusi kebudayaan Hellenistik apabila Alexander The Great (Iskandar al-Maqduni) iaitu murid kepada Aristotle melebarkan empayar kerajaannya.

Falsafah Yunani masuk ke dunia Islam sehingga beberapa tokoh besar ilmuwan Islam turut mengagunginya. Golongan Syiah dan Falasifah memang menjadikan falsafah ini sebagai tulang belakang akidah mereka. Golongan Muktazilah juga cuba mengharmonikan antara falsafah dengan Islam melalui ilmu Kalam bagi menjawab perdebatan teologi dengan golongan Yahudi dan Kristian dalam usaha untuk cuba membela akidah Islam sehingga mereka disayangi oleh khalifah.

Perlu diingat, ilmu Kalam Muktazilah tidak sama dengan ilmu Kalam Sunni. Ilmu Kalam Sunni bersih daripada falsafah Yunani. Ini bagi menjawab tuduhan kononnya ulama Sunni (Asyairah-Maturidiah) membina ilmu akidah dengan falsafah Greek. Sedangkan ulama Sunni Asyairah-Maturidiah sendiri menulis kitab membersihkan pemikiran falsafah Yunani.

Adapun perkataan Imam Syafii yang mengkritik Mutakalimin (ahli kalam) itu hakikatnya merujuk kepada Ahli Kalam Muktazilah. Sedangkan Imam Syafie sendiri seorang yang sangat pakar dalam ilmu Kalam. Sudah tentu, ilmu Kalam yang dikuasai oleh Imam Syafie ini adalah ilmu Kalam Sunni iaitu yang bersih daripada mantik dan falsafah Yunani.

Umat Islam memiliki mantik tersendiri. Umat Islam juga memiliki apa yang disebut sebagai Falsafah Islam tersendiri. Antara contoh aspek Falsafah Islam adalah melalui perbahasan ilmu Usul al-Fiqh. Ini bukti ketajaman penguasaan umat Islam dalam hal ehwal pemikiran. Begitu juga dalam bab sains. Jika ada orang yang mengatakan Islam dan sains perlu diselarikan, kita perlu persoalkan semula dikotomi ini, sejak bila Islam dan sains itu terpisah?

Islam itu sendiri memang mementingkan aspek sains kerana dalam al-Quran banyak ayat yang menyuruh manusia berfikir dan memerhati keadaan alam ini seperti afala tatafakkarun, afala ta'qilun, afala tubsirun, afala yanzurun, afala yatadabbarun dan sebagainya. Islam itu tidak memisahkan sains, namun sains yang bagaimana yang Islam maksudkan?

Sains dimaksudkan dalam Islam adalah sains yang mengakui kewujudan, kebijaksanaan dan kekuasaan Allah Yang Maha Esa. Maka konsep terpenting untuk memahami sains menurut Islam adalah dengan mempelajari apa itu Hukum Adat dan Hukum Akal. Islam menyusun epistemologi secara seimbang bagi melahirkan sains secara tauhid iaitu wahyu, rasional dan empirikal. Inilah kunci utama perbezaan pemikiran ulama Sunni berbanding ulama Muktazilah, Falasifah dan Ateis.

Menolak falsafah, metafizik mahupun sains versi Aristotle tidak bermakna Islam menolak keseluruhan ilmu sains itu sendiri. Hakikatnya, bangsa Eropah sendiri mencapai kemajuan apabila meninggalkan sebahagian pemikiran Aristotle. Adalah satu lumrah dalam ilmu sains apabila kita menolak pegangan lama setelah kita menemui dapatan baharu.

Namun, tokoh terdahulu tetap berjasa walaupun idea mereka kini tidak lagi menjadi pegangan atau telah dimodifikasi sebagai penambahbaikan. Namun, tetap juga ada idea mereka yang masih lagi valid sehingga kini dan boleh diambil manfaatnya oleh manusia sejagat. Bukanlah suatu perkara yang pelik misalnya jika kita menolak pemikiran seseorang itu dalam bab teologi, tetapi menerima pula kepakarannya dalam bab perubatan.

Gereja Kristian yang dahulu berpegang pada falsafah Aristotle juga kemudian dicabar dengan pegangan Isaac Newton, Nicolaus Copernicus, Johannes Kepler, Galileo Galilei dan sebagainya. Antara contoh terkenal adalah seperti isu perdebatan Heliosentrik-Geosentrik. Ketika zaman kegelapan Eropah, gereja berpegang kepada pandangan Aristotle dengan mengatakan bumi adalah pusat alam dan matahari mengelilingi bumi manakala saintis pada zaman kemudian menemukan fakta bumi yang mengelilingi matahari.

Peralihan pemikiran dan perkembangan sains terus berlaku dari zaman ke zaman. Tokoh sains saling menginspirasi atau mengkritik tokoh sains yang lain pula. Antara tokoh sains yang berusaha mengkaji rahsia alam ini adalah seperti William Ockham, Francis Bacon, Rene Descartes, Robert Boyle, Baruch Spinoza, John Locke, Isaac Newton, Gottfried Leibniz, David Hume, Emmanuel Kant, Friedrich Hegel, Friedrich Nietzsche, Sigmund Freud, Max Planck, Albert Einstein, Edwin Hubble, Niels Bohr, Erwin Schrödinger dan Stephen Hawking.

Pelbagai penemuan mahupun teori yang dikemukan oleh saintis itu. Sebahagian pemikiran mereka adalah selari dengan apa yang dibahaskan oleh Mutakalimin Sunni silam. Adapun pandangan mereka yang bercanggah dengan usul akidah Islam, perlulah ditangkis oleh ulama kerana sains yang tidak berlandaskan tauhid bakal membawa umat kepada Neo-Atheisme.

Apa yang penting, ulama dan ilmuwan Islam perlu beralih daripada perbincangan picisan dan lapuk bagi menumpukan usaha melawan pelbagai ideologi songsang lain yang menggugat akidah zaman kini. Umat Islam pada zaman pascamoden sangat terkeliru dengan ideologi post-truth yang boleh diibaratkan sebagai Neo-Sufastaiyyah. Bahkan jangan pelik jika pemikiran Neo-Paganisme dihidupkan semula melalui budaya dan hiburan.

Mengatakan umat Islam menjadi mundur kerana 'menolak falsafah' adalah tidak benar secara kronologi sejarah. Hakikatnya, selepas zaman Imam al-Ghazali pun, umat Islam tetap rancak dalam pembangunan sains dan teknologi. Kemunduran umat Islam mula berlaku apabila wujudnya kekacauan politik dan pengabaian ilmu. Ada ahli politik sekadar berfalasi dan melakukan retorik. Bagi mereka, kebenaran itu bersifat relatif. Mereka tiada jati diri intelek kerana menganggap kebenaran mutlak tidak wujud.
 
Back
Top
Log in Register