Bonus Setengah Bulan: Bagaimana Berbelanja Mengikut Sunnah?
Bonus Setengah Bulan: Bagaimana Berbelanja Mengikut Sunnah?
Salam,
1- Jika ingin bersadaqah, maka banyakkan sadaqah di bulan Ramadhan, bukan menunggu pagi raya, atau bersampul duit raya.
2- Jika ingin berbelanja, belilah keperluan yang memang perlu, bukan hiasan atau kehendak yang bukan-bukan.
3- Jika berhutang, eloklah diutamakan membayar hutang yang ada.
4- Jika ingin dibuat belanja raya, nilaikan balik bagaimana Nabi dan para sahabat berbelanja untuk raya! Raya tetap raya walau tanpa anda berbelanja!
5- Bagi ayah, utamakan keperluan anak-anak. Semaklah pakaiannya, seluar dalamnya, baju sekolahnya, stokingnya, kasutnya, jika perlu, belilah. Jika selama ini alasan wang tidak mencukupi, maka inilah ruang yang Tuhan berikan.
6- Bagi suami, tidak salah membelikan sebentuk cincin emas untuk isteri. Isteri akan gembira. Cincin emas boleh digadai atau dijual jika perlu kelak. Jika selama ini alasan wang tidak mencukupi, maka inilah ruang yang Tuhan berikan.
7- Bagi ibu, utamakan pendidikan anak-anak. Belilah buku latihan atau rujukan bagi membantu pelajarannya. Jika selama ini alasan wang tidak mencukupi, maka inilah ruang yang Tuhan berikan.
8- Bagi anak, utamakanlah ibu bapa sebelum ajalnya. Berilah mereka sehelai kain batik atau kain pelekat, atau baju barang sehelai. Jika selama ini alasan wang tidak mencukupi, maka inilah ruang yang Tuhan berikan.
9- Setengah bulan gaji satu nilai yang sangat besar. Jangan bazirkan untuk perkara yang anda tidak mampu sebenarnya.
10- `Idu l-Fitri tetap datang dan berlalu, walau tanpa kuih beraneka jenis, walau tanpa baju raya fesyen terbaru, walau tanpa langsir dan perabot bertukar jenama.
11- `Idu l-Fitri tetap datang dan berlalu, walau hanya berkunjung ke rumah sebuah dua. Tidak perlu segenap negeri dijelajah sempena raya.
12- `Idu l-Fitri tetap datang dan berlalu, walau tiada duit raya dihulur kepada tetamu.
12- `Idu l-Fitri tetap datang dan berlalu, walau bonus ini tidak diberi, hanya gaji yang biasa sahaja.
13- Alangkah baiknya jika wang bonus ini menjadi sesuatu yang benar-benar bermanfa`at buat diri dan keluarga, bukan semata-mata memuaskan hati di hari raya.
14- Alangkah baiknya jika wang bonus ini diguna untuk hidup seterusnya, dan tidak hanya sehari di hari raya sahaja.
WaLlahu a`lam.
Ditulis oleh Mohd `Adlan Bin Mohd Shariffuddin
08/08/2011 19:49H
ad-diyari.com/