hari ni, kita lihat ye, betapa susah sebenarnya nak berpoligami ni.. Jangan ingat jatuh cinta, pastu boleh terus berangan nak bernikah. Ada undang-undang yang perlu dipatuhi.
Mengikut undang-undang Islam, lelaki dibenarkan berkahwin lebih daripada satu isteri dengan syarat dia boleh berlaku adil kepada mereka.
Dalil membenarkan poligami ini telah dinyatakan di dalam al-Quran di dalam surah
Al-Nisaa ayat 3 bermaksud:
``Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap anak yatim, maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan daripada perempuan-perempuan, dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil di antara isteri-isteri kamu, maka berkahwinlah dengan seorang saja atau hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat supaya kamu tidak melakukan kezaliman.''
Jadi, katalah kawan-kawan yang lelaki, ingin berpoligami. Apa yang harus dibuat? Hmm.. yang pertama sekali, bgtau isteri. Kemudian buat permohonan di mahkamah. Haha.. Macam apa je kan? Siap kena pegi mahkamah. Beli rumah pun tak seleceh tu. Takpe la.. Rumah benda mati. Isteri bernyawa, ada akal fikiran, hati perasaan. Kemudian akan dipanggil ke mahkamah, bersoal jawab, dengan kehadiran isteri [Seksyen 23(4) (a)]. Suami perlu menyatakan alasan-alasan berikut di Mahkamah Syariah :
- Mengapa perkahwinan yang dicadangkan adalah patut dan perlu
- Pendapatan pemohon
- Butir-butir komitmen, kewajipan, tanggungan kewangan
- Bilangan orang tanggungan termasuk mereka yang akan ditanggung
- Sama ada izin dan pandangan isteri sedia ada telah diperoleh
Perkara ini telah diperuntukan oleh Seksyen 23(3) Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan <-- sbg contoh rujukan umum, mungkin berbeza mengikut negeri tempat memohon.
Selepas itu, isteri yang sedia ada ini akan dipanggil untuk memberi keterangan. Kemudian mahkamah akan membuat keputusan berdasarkan keyakinan mahkamah bahawa :
a. Perkahwinan yang dicadangkan itu patut dan perlu. Mahkamah juga akan memandang kepada antara lainnya hal-hal mengenai kemandulan, uzur jasmani, tidak layak dari segi jasmani untuk persetubuhan, gila di pihak isteri dan sebagainya.
b. Suami berkemampuan untuk menanggung semua anggota keluarga dengan melihat jumlah tanggungan sedia ada dan yang bakal ditanggung.
c. Suami berupaya memberi layanan sama rata kepada semua isteri mengikut hukum syarak dan
d. Perkahwinan yang dicadangkan tidak menyebabkan darar syarie kepada isteri yang sedia ada. Darar syarie bermaksud bahaya yang boleh menyentuh isteri dari segi agama, nyawa, tubuh, akal fikiran atau harta benda.
Sekiranya mahkamah berpuas hati, maka mahkamah akan membenarkan permohonan berpoligami walaupun tanpa persetujuan isteri yang sedia ada. Bagaimanapun perlu diingat, bahawa mahkamah perlu mengikut Seksyen 23 dengan mematuhi kesemua syarat dan keperluan dalam seksyen tersebut tanpa mengabaikan salah satu daripadanya. Sekiranya mahkamah membenarkan poligami tersebut tanpa menilai atau berpuas hati dengan kesemua syarat-syarat dan keperluan yang diperuntukkan isteri boleh merayu terhadap keputusan mahkamah dalam tempoh 14 hari selepas keputusan dibuat.
Syarat-syarat berpoligami yang umum, mengikut konteks Islam ialah :
- Lelaki yang hendak berpoligami mestilah beriman dan taat kepada perintah Allah. Lelaki yang beragama akan menghayati konsep poligami yang sebenar dan mengamalkannya terhadap isteri-isterinya.
- Lelaki tersebut hendaklah berlaku adil terhadap isteri-isterinya, sama ada mengenai nafkah zahir atau nafkah batin.
- Lelaki tersebut mestilah mempunyai tubuh badan yang sihat supaya dapat menyempurnakan segala tanggungjawab terhadap isteri-isteri dan anak-anaknya.
- Hendaklah mempunyai sumber kewangan yang cukup dan teguh untuk menampung keperluan isteri-isteri dan anak-anaknya. Sumber kewangan yang tidak cukup akan membawa kesan yang tidak baik kepada sesebuah keluarga.
Sabda Rasulullah saw bermaksud :
Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Nabi S.A.W telah bersabda, sesiapa yang mempunyai dua orang isteri lalu cenderung kepada seorang daripada kedua-duanya, dia akan dibangkitkan di hari kiamat kelak dengan bahunya berat sebelah. (Riwayat Abu Daud dan at-Tarmizi )
Jadi, pada semua pihak yang nak berpoligami, silakan bersiap2. Baik suami atau bakal isteri yang bermadu, kena tilik diri dan hati, dan lengkapkan semua syarat. Suami jangan la seronok nak berbini baru, sebab macam yang dah tertulis ni, banyak syarat yang perlu dipatuhi. Isteri muda pulak, jangan la zalim.. Kita berkongsi kasih, maka perlu toleransi dan mengalah. Dah memang isteri pertama yang lebih dulu berkasih, maka cubalah faham hati dia yang terluka tu. Selidik jiwa sendiri, letakkan diri di tempat isteri pertama, insya Allah kita akan faham dan lebih ikhlas dalam perkongsian kasih ni.
