BTC USD 84,487.4 Gold USD 4,134.71
Time now: Jun 1, 12:00 AM

~Bilik Bujang~

uishh..baru le aku tau ari neh wujud nikah misyar...dad diterima pakai pon kek saudi arabia samo mesir...ado pro kontra gak misyar ni...seswai utk traveller...cemane eh...hhmmm...topik menarek neh...kalu kat mesia, seswai tak rasernyer??? mcm a lil bit awkward la ehhh??? huhuhu...mcm2 laaa...
 
hah tak yah nak terang dah, sdr zolympus kita dah terangkan dgn panjang lebar tu... kalau nak maklumat lebih gi google, mesti macam2 maklumat kuar...
Memang tekejut r sebab baru je aku tahu pasal nikah misyar ni....rupanya ada gak!! Apa lagi... :badgrin:
 
ini ada satu pandangan yang bernas berkenaan misyar ini. Saya bersetuju penuh dengan pendapat di sini. harap dapat jd rujukan semua pihak, laki2 dan wanita. Dr Syed Ali Tawfik ialah Ketua Pengarah IKIM.

Sumber dari Mingguan Malaysia 28 Mei 2006. Artikel penuh di

http://www.utusan.com.my/utusan/arc...&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_02.htm


MINGGUAN: Apakah pandangan pertama Dr. mengenai cadangan itu?

DR. SYED ALI TAWFIK: Saya tertanya kenapa perkara ini dibesarkan sekarang, apa tujuan dan matlamatnya? Inilah yang mesti ditanya sebelum perkara sebegini dibawa ke persada masyarakat. Adakah isu ini patut dibahaskan sekarang? Ini hanya menunjukkan kekeliruan orang Muslim sekarang yang tidak tahu apakah perkara-perkara yang sewajarnya dibahaskan.

M : Cadangan ini dikatakan boleh mengatasi masalah wanita tidak berkahwin.

DR. SYED ALI TAWFIK: Kita harus bertanya adakah itu satu masalah atau sememangnya mereka memilih untuk tidak berkahwin? Hanya selepas kita tahu puncanya, barulah kita boleh cari penyelesaiannya. Wanita yang tidak berkahwin itu bukan hanya dalam lingkungan umur antara 18 hingga 35 tetapi juga kumpulan 35 tahun ke atas.

Secara amnya wanita 35 tahun ke atas itu sudah ada kerjaya sendiri, sudah mewah dan tidak memerlukan sebarang pertolongan. Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat barubaru ini ada membuat kajian tentang hal ini. Menurut faham saya daripada membaca laporan tersebut, mereka ini tidak dapat mencari lelaki yang sesuai. Mereka mencari lelaki yang boleh menjaga mereka dengan cara yang mereka mahu.

M: Ia juga dikatakan mampu mengurangkan perlakuan maksiat dalam masyarakat.

DR. SYED ALI TAWFIK: Ini seolah-olah mahu mengatakan bahawa hanya perkahwinan misyar mampu menyelesaikan masalah maksiat dalam masyarakat tetapi bukan perkahwinan biasa. Ini seolah-olah menunjukkan kita menghalalkan perbuatan keji hawa nafsu kita, dan menggunakan Islam untuk menghalalkannya. Adakah wajar kita mempermainkan Islam begitu? Ini hanya melibatkan soal seks, soal nafsu.

M : Kenapa Dr. kata begitu?

DR. SYED ALI TAWFIK: Sebagai manusia, kita ada dua sifat dalam diri, haiwaniah dan rohaniah. Sifat haiwan itu perlu dalam diri manusia untuk mengekalkan kehidupan kita, makan, tidur, membuang air dan sebagainya. Dari segi rohaniah pula, dalam diri manusia itu ada tiga tingkat nafsu. Tingkat yang terendah ialah nafsu amarah iaitu dorongan jasmani yang juga dimiliki oleh haiwan. Isu ini memberi faham bahawa nafsu amarah itu telah menguasai kita. Kita telah membiarkan aspek haiwaniah dan nafsu syahwat mengawal hidup kita.

Tingkat nafsu yang lebih tinggi daripada itu ialah nafsu lawammah. Ia menunjukkan kita masih berusaha untuk mengawal aspek haiwaniah tetapi kita sudah boleh mengatasinya. Tingkat yang teratas ialah nafsu mutmainnah iaitu apabila kita sudah berjaya mengawal nafsu haiwaniah itu secara keseluruhan. Kita tiada lagi perasaan hendak berbuat maksiat. Inilah yang dikatakan jihad melawan nafsu. Dalam faham Islam, inilah kefahaman benar tentang jihad. Inilah jihad yang tertinggi, yang paling sukar untuk diatasi – lebih sukar daripada pergi berperang dan menuntut ilmu.

Jadi dalam hal ini, apakah yang telah kita lakukan? Kalau kita menggunakan alasan untuk membanteras maksiat, seolah-olahnya kita hanya mahu melepaskan nafsu. Orang akan berkahwin untuk menghalalkan perasaan mahu melepaskan nafsu. Apakah sebagai insan kita sudah lagi tidak boleh mengawal diri sendiri?

Kita boleh mengawal diri, dan itulah yang membezakan insan dengan haiwan. Martabat kita lebih tinggi daripada haiwan tetapi kita melakukan perkara-perkara yang dilakukan oleh haiwan tanpa rasa bersalah sebaliknya, dengan akal fikiran kononnya kita cuba menghalalkan perbuatanperbuatan yang kita tahu hanya untuk melepaskan nafsu. Lagi pula adakah dalam hukum-hukum hendak berkahwin yang mengatakan perkahwinan itu adalah untuk melepaskan nafsu? Tidak, ia bukan satu daripadanya. Itu tidak termasuk dalam matlamat perkahwinan.

M : Apakah tuntutan perkahwinan?

DR. SYED ALI TAWFIK: Islam menuntut keadilan. Kalau hendak berkahwin, seseorang itu harus ada tanggungjawab. Ada tanggungjawab, baru berkahwin. Perkahwinan misyar ini sebaliknya mahu melepaskan tanggungjawab. Apa gunanya? Sebagai contoh, kalau seseorang itu mahu membeli kereta dan memandu di jalan raya, dia mesti terlebih dahulu belajar memandu dan mendapatkan lesen; bukannya beli kereta dahulu, bawa kereta dan selepas itu ambil ujian memandu.

Ini samalah juga dengan soal kahwin; harus minta izin daripada wali yang akan memastikan sama ada lelaki itu beramanah, bertanggungjawab, mampu berlaku adil kepada isteri dan keluarga atau tidak.

M : Apakah matlamat perkahwinan?

DR. SYED ALI TAWFIK: Untuk melengkapkan kehidupan manusia. Ada hadis yang mengatakan bahawa wanita itu adalah kembar kepada lelaki. Kalau begitu, apabila wanita dan lelaki itu bersama mereka menjadi satu. Perkahwinan juga digalakkan untuk melengkapkan Islam seseorang itu. Ini bukan bermakna seseorang yang tidak berkahwin, Islamnya tidak lengkap. Perkahwinan bukan sesuatu yang diwajibkan tetapi hanya digalakkan.

Sebelum ini, orang membangkitkan soal poligami. Itu pun satu lagi. Kenapa kita membahaskannya sekarang? Adakah sampai majoriti daripada masyarakat kita berpoligami? Saya membaca dalam akhbar tentang seorang lelaki yang berkahwin tiga kerana katanya, nafsunya tinggi sangat dan dia mahu mengelak daripada zina. Adakah itu tujuan perkahwinan, untuk melepaskan hawa nafsu? Perkahwinan bukan hanya untuk seks.

Perkahwinan adalah untuk menyambung zuriat, menjadi bertanggungjawab dan menyambungkan ilmu kepada generasi yang akan datang. Saya tidak faham kenapa orang Islam sekarang membangkitkan perkara-perkara yang tiada kaitan langsung dengan hal-hal ini, yang remeh-temeh, yang mengundang kebimbangan dan kekeliruan kepada masyarakat. Ini sangat tidak baik.

Ini bukan peranan ulama. Ulama diangkat menjadi ulama kerana dia mampu membawa masyarakat kepada jalan atau faham yang bermakna. Jika masyarakat itu dibawa kepada kekeliruan, itu bukan ulama namanya. Tetapi dalam laporan itu Prof. Dr. Mahmud Zuhdi ada mengatakan jika perkahwinan misyar ini diamalkan hendaklah dibuat dengan jujur dan tidak disalahgunakan untuk menganiaya kaum wanita. Hal ini mesti ditekankan kerana saya khuatir ramai orang tidak membaca hal itu, hanya baca separuh saja.

M: Perlukah perkahwinan misyar ini dibenarkan?

DR. SYED ALI TAWFIK: Tidak perlu langsung. Apa yang mesti dititikberatkan ialah penyelesaian kepada isu sebenar yang kita hadapi. Mereka yang menyokong hujah itu mengatakan kaum wanita muda sukar mencari lelaki bujang yang berkualiti kerana banyak lelaki Melayu terlibat dalam penagihan dadah atau gejala sosial lain.

Kalau itu masalahnya, kita selesaikanlah masalah itu dahulu. Salah satu sebab lain kenapa wanita tidak mahu berkahwin ialah kerana tidak ada calon yang sesuai. Dalam perkahwinan mesti ada kufu (dari segi pendirian, pemahaman agama dan keturunan). Itulah sunnah Nabi. Tidak bolehlah kalau lelaki itu seorang jaga tetapi wanita itu puteri raja; tidak sekufu dan hanya akan mendatangkan masalah.

M : Tetapi orang kata cinta itu buta?

DR. SYED ALI TAWFIK: Bagaimana cinta boleh buta? Itu pemikiran Barat yang keliru antara cinta dengan nafsu dan berahi. Dalam Islam, apabila kita bercakap tentang cinta ia tidak semestinya bermaksud habb (cinta sesama manusia). Ada kalanya ia bermakna asyq (cinta kepada Allah). Itu tingkat cinta yang sangat tinggi, keasyikan. Kalau cinta itu buta, bagaimanakah kita merasakan cinta? Kalau asyq itu buta, adakah kita mahu mengatakan Tuhan itu buta? Bukankah sifat-sifat Allah itu Maha Melihat, Maha Mengetahui dan sebagainya?

m : Apakah yang Dr. rasa melihat perbahasan hal ini?

DR. SYED ALI TAWFIK: Saya sangat sedih dengan nasib orang Islam kerana inilah perkara yang suka mereka bahaskan. Ini isu yang tidak berbaloi untuk dibahaskan. Kalau cadangan ini benar-benar wujud, kita mesti lihat apakah keadaan zaman yang membenarkannya dan apakah ia boleh dipakai dalam keadaan sekarang? Hal ini tidak ada pada zaman Rasulullah, ia datang kemudian.

Sebagai contoh, pada akhir kurun ke-19 misalnya, mufti di Mesir mengharamkan kopi kerana remaja di Mesir suka membuang masa siang malam bermain backgammon, sambil merokok dan minum kopi sehingga mengabaikan solat. Pengabaian kepada solat itu yang membuatkan mufti mengharamkan kopi untuk menakutkan mereka, bukan kerana kopi itu sendiri.

Dalam hal ini, kalau kita tidak tahu keadaan yang menyebabkan perkahwinan misyar itu dibenarkan dahulu, kenapa kita harus membahaskannya? Adakah kita betul-betul memerlukannya? Saya tidak fikir begitu. Ia seolah-olah mahu mengatakan bahawa perkahwinan biasa tidak mencukupi dan kita memerlukan misyar kerana ia melepaskan tanggungjawab. Mufti Johor, Datuk Noh Gadot baru-baru ini ketika mengulas isu suami tidak bekerja juga menekankan tentang tanggungjawab suami sebagai penyara keluarga. Beliau bukannya mengatakan wanita dilarang keluar bekerja.

M : Adakah isu ini juga telah disalah tafsir?

DR. SYED ALI TAWFIK: Ini bukan soal salah tafsir. Isu ini tidak sepatutnya dibangkitkan pun. Ada banyak lagi isu lain menyentuh orang Islam. Kadar perceraian di kalangan orang Islam meningkat. Kes perceraian di mahkamah juga banyak yang belum diselesaikan; ada kes sampai 15 tahun tidak selesai-selesai. Remaja Muslim banyak yang ponteng sekolah dan di universiti, wanita lebih ramai daripada lelaki. Wanita lebih berminat mencari ilmu berbanding lelaki.

Inilah isu-isu yang sepatutnya kita lihat. Ini tidak, kita tidak cuba menyelesaikan masalah sebaliknya mencetuskan lebih banyak masalah.

M : Apakah yang ditunjukkan oleh isu ini tentang keadaan kita?

DR. SYED ALI TAWFIK: Ia menunjukkan kita sangat jahil. Laporan seperti ini hanya membesarkan ketandusan pemikiran kita. Kita terkebelakang, tidak tahu isu sebenar dalam masyarakat Islam pada hari ini. Kita ada krisis dalam hal ini. Kami di IKIM selalu menyuarakan bahawa masalah umat Islam pada hari ini ialah kekurangan ilmu. Isu perkahwinan misyar ini, kepada saya, perkara remeh-temeh.

Kalau kita selalu menyempitkan faham Islam hanya kepada hukum, halal dan haram, kita akan jadi seolah-olah macam orang Yahudi Talmud yang menginstitusikan hukum; semuanya hukum, hukum dan hukum sehingga tiada ijtihad. Ini yang orang Islam sudah buat sejak sekian lama iaitu menutup pintu ijmak dan ijtihad. Kita bukan saja tutup tetapi kita kunci.

M : Kalau orang melihat ini proses untuk ijtihad?

DR. SYED ALI TAWFIK: Ijtihad hanya untuk perkara-perkara yang ada keperluannya dan kalau ada matlamat yang jelas. Kalau tidak ada matlamat, bagaimana hendak berijtihad. Dalam hal ini, apa niatnya? Kalau niatnya mahu mengurangkan masalah wanita tidak berkahwin, kita cari dulu puncanya kenapa mereka tidak berkahwin. Bagi wanita yang berumur 18 hingga 35 tahun, hujahnya ialah banyak lelaki terlibat dengan penagihan dadah dan tidak sekufu kerana wanita lebih tinggi kedudukannya daripada lelaki. Jadi, ini masalah remaja lelaki, bukan wanita. Kenapa lelaki melepaskan tanggungjawabnya, tidak mahu meningkatkan diri sendiri? Ini menunjukkan ada kehampaan dalam diri mereka.

M : Apakah kita patut hentikan perbahasan ini?

DR. SYED ALI TAWFIK: Ya. Kita harus berbincang isu-isu yang sebenar. Isu ini langsung tidak membantu perkembangan ummah. Bahawa dengan membangkitkannya saja, akhbar saudara sudah menyebabkan orang keliru. Ada yang mengatakan perkahwinan misyar itu boleh dijadikan jalan keluar kepada masalah ibu tunggal. Apakah masalah mereka? Kalau tidak ada pendapatan dan tidak ada kerja, kita perlu bertanya apakah yang dilakukan oleh badan-badan kebajikan Islam untuk membantu ibu-ibu tunggal?

M : Maksud Dr. masalah yang menjadi punca kepada cadangan itu ada jalan penyelesaian lain, dan bukan perkahwinan misyar?

DR. SYED ALI TAWFIK: Ya, itu maksud saya. Apabila kita mengatakan sesuatu itu sebagai puncanya, kita mesti membahaskannya dengan hujah yang sah dan kukuh. Mereka mungkin ada hujah yang sah tetapi tidak kukuh. Hujah yang sah tetapi tidak kukuh tidak boleh dijadikan hujah. Apa-apa saja hujah boleh menjadi hujah yang sah tetapi ia tidak semestinya kukuh.

Itu sebabnya kalau isu ini mahu dibangkitkan, kita harus bertanya apakah kita memang ada masalah sehingga memerlukan kepada penyelesaian ini? Saya pun mahu tahu berapakah jumlah wanita yang tidak berkahwin, dan adakah mereka mahu kepada perkahwinan misyar? Adakah mereka meminta ia dibenarkan? Adakah mereka mahu berkahwin dengan lelaki yang tidak perlu ada tanggungjawab, yang tidak payah membayar nafkah? Nafkah itu wajib, bukan sesuatu yang harus. Bolehkah lelaki mengelak daripada bertanggungjawab?
 
betul aku setuju.... tahu masalah baru tahu nak selesaikan.... tapi kebanyakan orang sekarang, masalah diorang adalah tak tahu apa masalah diorang.... dah tu... sibok nak carik jalan penyelesaian... kekekeke
 
Itu benar. Malah aku boleh admit pada point "lelaki yang kurang berkualiti" tersebut.

Ada orang overlook pada anak perempuan, sehingga membenarkan anak lelaki lepas bebas. "Pandai-pandailah kau nak". Malah, kalau menyuruh anak lelaki berkahwin pun, galakan yang diberi ialah "Kau juga yang senang nanti. Ada orang nak menjaga makan minum pakai kau." Adakah ini silap mak bapak, yang mana hanya melihat perkahwinan anak lelaki mereka sebagai cara untuk melihat anak lelaki senang? Ada orang menjaga makan pakai sahaja dan bukan sebagai pembinaan sebuah keluarga .. ??

Bagaimanapun.

Ada satu perkara yang aku ingin sentuh, dan ia juga telah disentuh oleh Dr. Syed Ali Tawifk berkenaan ialah tingkatan nafsu. Kita ni, terdiri daripada pelbagai golongan. Kita tak boleh expect semua orang boleh mengawal nafsu setinggi beliau.

Siapa boleh resist melihat kelunakan suara Siti Nurhaliza? Bukankah suara itu aurat? Siapa boleh resist melihat lakonan comel Nora Danish? Adakah beliau menutup aurat? Tidak bukan. OK, anda bukan peminat mereka berdua ini tetapi bagaimana dgn pelakon/penyanyi yang lain?

Point aku ialah, tingkatan nafsu tersebut. Dan daripada nikah misyar ini, sekurang-kurangnya ia boleh menyediakan jalan halal untuk keluar dari apa yang disebut sebagai penzinaan. Bila kita mengelakkan penzinaan, bukankah kita sebenarnya takutkan Allah?

Dalam setiap perbuatan kita, gerak geri nafas kita, sepatutnya mestilah Lillahi Taala. Dan perkara mengelak dosa pun, sebenarnya adalah perbuatan orang lemah (nafsu tingkatan orang lemah). Orang yang beriman, berbuat amal kebajikan kerana betul kasih dan cintakah Allah. Orang yang kurang imannya, berbuat kebajikan dan mengelakkan dosa kerana takutkan azab Allah (azab neraka/azab kubur/etc).

Sesungguhnya Allah Maha Adil. Dia sangat faham perangai manusia kerana Dia-lah yang menciptakan kita dan Dia menyedari kita sememangya terdiri dari berbagai-bagai jenis. Perbezaan pendapat pun sememangnya bagus tetapi adalah patut kita menyedari bahawa perbezaan pendapat akan membawa lebih kepada persepakatan dan bukannya perselisihan.

Utk mereka yang tidak menyokong nikah misyar, buatlah seperti yang anda percaya. Untuk mereka yang akan nikah secara misyar, semoga berbahagia.

Even so, nikah misyar is not for me.
 
viper21my said:
zolympus said:
Even so, nikah misyar is not for me.

unluckily.....it is not us to decide....
maksud bro zoly tu, tak seswai utk die...die takmo pakai...so, luckily, the decision is in his hand...huehuehue...
 
bono79 said:
viper21my said:
zolympus said:
Even so, nikah misyar is not for me.

unluckily.....it is not us to decide....
maksud bro zoly tu, tak seswai utk die...die takmo pakai...so, luckily, the decision is in his hand...huehuehue...
Ya betul. Walaupun aku setuju dengan idea nikah misyar, tapi bila aku kahwin nanti, aku mahu nikah seperti biasa (konvensional).

Tapi bila aku nak kahwin ni ya :roll:
 
Wah bilik bujang hangat membincangkan isu nikah misyar ni...
Betul la kata zolympus tu ttg tingkatan iman dan perbuatan mengelakkan dari berzina kerana Allah.
Apa2 pon kita perlu nak mencari punca permasaalahan sebenar dan jln penyelesaiaannya. Seperti doktor yg hanya menghilangkan simptom penyakit tetapi tidak mengubati root disease penyakit tersebut, akhirnya akan membuatkan penyakit itu kembali!
Bukankah mencegah lebih baik dari mengubati...or "An apple a day makes the doctor away"....
 
sebenarnya, pada imm sendiri, sebelum nikah misyar, elok la masyarakat dididik tentang poligami. poligami ni diamalkan oleh Rasulullah sendiri, where as misyar takde. Poligami pun sama je, mengelakkan maksiat zaman ni, lebih-lebih lagi majoriti perempuan lebih ramai dr lelaki.

Berkaitan misyar, isu yang timbul ialah tentang hak anak yg lahir dar pernikahan itu. Adakah pihak lelaki akan lepas tangan atau sama-sama memberi nafkah untuk zuriatnya? Juga andai suami atau isteri meninggal, harta si mati akan dibahagikan mengikut hukum faraid. Di sini, adakah isteri yang dinikahi secara misyar mendapat hak mengikut faraid? Kalau ada, adakah pihak isteri nikah konvensional, andai lelaki itu telah beristeri sebelum misyar, akan bersetuju, walhal sebelum ini, isteri kedua tu takde pun ditanggung suami. Jadi layak ke dia mendapat harta faraid?

Ini sekelumit isu yang timbul dr bab misyar ni. jadi lebih baik kita berpoligami konvensional, sebab di situ, hukum dan peraturannya dah jelas dan mudah diikuti. Cuma masyarakat perlu dididik aje la.cara mengamalkan poligami yang sebenarnya.

Lain-lain tu, bak kata pihak IKIM, lagi elok la mencari penyelesaian masalah yang dah memang ada, bukan ditambah. Bkn semua benda yang halal ni utk dibuat, ada yang Allah wujudkan untuk kita berfikir tentangnya. Baik buruk dan kesesuaian diamalkan. Macam rokok la jugak kan? Siapa je boleh buktikan rokok tu haram? Jadi merokok tu halal,cuma tak digalakkan,sbb membahayakan kesihatan kan? Misyar pun begitulah. Halal, tapi sesuai ke dipraktikkan dalam konteks masyarakat Malaysia ni?

Syukurlah thread bilik bujang ni makin aktif. Hidup orang bujang! kekekeke...
 
Back
Top
Log in Register