dhiaperfumes
CG Top Poster Club

- Messages
- 41,571
- Joined
- Nov 12, 2009
- Messages
- 41,571
- Reaction score
- 63
- Points
- 120
ATAS sambutan hebat dan menggalakkan, Enfiniti Vision Media Sdn Bhd sekali lagi membawakan pementasan teater P.Ramlee The Musical... The Life, The Loves & The Inspiration kepada peminat setia legenda Allahyarham Tan Sri P.Ramlee.
Penerbit Eksekutif P.Ramlee The Musical, Datin Seri Tiara Jacquelina berkata, pementasan tersebut terus diadakan kerana rasa cintanya kepada legenda seni tanah air itu.
“Saya mempunyai impian dan matlamat besar melihat pementasan teater ini sampai kepada semua yang menyayangi Allahyarham.
"Kerana itu, musim ketiga ini menjanjikan sesuatu yang berbeza skrip, persembahan dan teknikalnya serta lebih mantap buat tatapan penonton," katanya pada majlis sidang media yang berlangsung di Glenmarie Golf & Country Club, Shah Alam.
Jika musim pertama Sean Ghazi memainkan watak P. Ramlee dan musim kedua menampilkan Musly Ramlee mendukung tanggungjawab yang sama, kali ini tugasan tersebut diberikan kepada pelakon Tony Eusof.
Jelas Tiara, sebagai penerbit dia teruja bereksperimen menerusi karakter yang wujud dalam pementasan ini.
"Saya yakin setiap penampilan pelakon-pelakon baru memberi impak besar kepada peranan yang dimainkan.
"Lagipun saya senang memberi peluang kepada bakat baru serta tenaga segar dalam memenuhi perkembangan industri kesenian kita.
"Watak yang diberikan kepada mereka juga ditapis terlebih dahulu, bukan secara rambang. Setiap pelakon terpilih perlu menjalani 'audition' terlebih dahulu," tegasnya setiap watak diberikan mengikut bakat masing-masing.
Selain Tony Eusoff sebagai P. Ramlee, pelakon Lisa Surihani telah diberi kepercayaan mendukung watak isteri pertama Allahyarham, Junaidah manakala Nadia Aqilah sebagai Saloma dan Tiara sendiri sebagai Norizan.
Mengulas mengenai watak Norizan, meskipun ia kali kedua Tiara melakonkan watak tersebut di pentas teater namun rasa terujanya tetap luar biasa.
"Sebenarnya kali ini lebih sukar. Selain berlakon, saya juga bertindak sebagai penerbit dan ini memerlukan saya memantau keseluruhan perjalanan produksi teater ini.
“Watak Norizan sudah lama saya idamkan kerana saya sendiri pernah berpeluang berlakon bersamanya suatu ketika dahulu.
"Ketika itu saya masih baharu dalam industri dan saya pelik kerana layanan produksi kepada seorang pelakon veteran ini (Norizan) sangat luar biasa," katanya naskhah kali ini cukup sempurna dengan sentuhan skrip Adlin Aman Ramli.
Pementasan teater ini turut mendapat kerjasama DRB-Hicom.
Bagi pengarah teater ini, Pat Ibrahim, pementasan kali ini akan lebih berbeza daripada aspek interpretasi dalam setiap watak.
“Gandingan baru ini bakal menjadikan pementasan musim ketiga ini lebih menarik.
"Kali ini saya menekankan pemahaman watak bagi semua pelakon supaya dapat mencipta dinamik dalam diri pelakon itu sendiri,” katanya.
Bicara Pat, selain kerjasama terbaik daripada pelakon, tenaga produksi sangat membantunya dalam menghasilkan idea segar dalam teater Muzikal P.Ramlee kali ini.
“Saya mahu pementasan ini menjadi yang terbaik berbanding musim pertama dan kedua. Lupakan hasil pengarah terdahulu kerana saya mahu naskhah ini dibawakan dengan cara saya sendiri," katanya telah menceburkan diri dalam bidang teater seawal tahun 2006.
Selain Tony Eusoff, Lisa Surihani, Nadia Aqilah dan Tiara Jacquelina, teater ini turut diserikan dengan kemunculan Datuk Aznil Hj Nawawi, pelawak Douglas Lim, Rueben Kang, JJ Fernandez serta Tengku Iedil Putra.
Sementara Tony berkata, ditawarkan menjadi seniman agung negara itu menerusi teater ini adalah bebanan besar kepadanya.
“P. Ramlee bukan sembarangan legenda kerana itu saya sentiasa rasa bimbang dan takut untuk melakonkan watak tersebut.
"Tetapi saya mencabar diri menggalas tanggungjawab ini demi menyampaikan sejarah kehidupan seorang P. Ramlee kepada peminat beliau," katanya tidak pernah membintangi sebarang persembahan bertemakan zaman 1960-an sebelum ini.
Selain itu, dilahirkan fizikal berbeza dengan P. Ramlee membuatkan dia berasa lebih sukar untuk menjiwai karakter tersebut.
"Kerana itu, saya harus menggali sedalamnya untuk menampilkan emosi dan elemen yang menggambarkan siapa itu P.Ramlee.
"Saya tidak mahu penonton hampa dengan lakonan saya, lagipun ini teater dan semuanya dipentaskan secara langsung. Kita tidak boleh menipu mata mereka," katanya lagi.
http://www.cari.gold/2014/09/bereksperimen-menerusi-karakter.html