KENYATAAN MEDIA
YB DATO’ HAJI MOHD JAFNI BIN MD SHUKOR
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor
ISU PEMASANGAN JALUR GEMILANG TERBALIK: KERAJAAN NEGERI TIDAK AKAN BERKOMPROMI
Saya memandang amat serius kejadian pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik di sebuah premis perindustrian dalam kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Kulai Majlis Perbandaran Kulai (MPKU). Saya kesal dan kecewa dengan kecuaian serta tindakan tidak bertanggungjawab ini kerana Jalur Gemilang bukan sekadar sehelai bendera, tetapi lambang kedaulatan, maruah dan identiti negara.
Perkara seperti ini tidak boleh dianggap remeh, tidak boleh dinormalisasikan dan tidak boleh dibiarkan berlalu tanpa tindakan.
Sehubungan itu, MPKU telah mengambil tindakan menutup sementara premis berkenaan sehingga pihak syarikat tampil memberikan penjelasan serta melengkapkan perakuan Aku Janji. Jalur Gemilang yang dipasang secara terbalik itu juga telah diperbetulkan dengan serta-merta.
Pegawai Daerah Kulai Pejabat Daerah Kulai turut mengambil tindakan susulan dan menyelaras perkara ini bersama MPKU serta agensi berkaitan bagi memastikan tindakan yang sewajarnya dilaksanakan dengan segera dan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Pada masa sama, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan, manakala pengarah syarikat berkenaan akan dipanggil dengan kadar segera untuk memberikan penjelasan. Sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang atau syarat yang berkuat kuasa, tindakan selanjutnya mesti diambil tanpa pilih kasih.
Saya mahu memberikan peringatan tegas kepada semua pemilik premis, syarikat dan pihak industri di Negeri Johor: hormatilah Jalur Gemilang. Pastikan setiap pemasangan dibuat dengan betul dan penuh rasa tanggungjawab. Alasan kecuaian tidak boleh dijadikan alasan untuk memandang ringan penghormatan terhadap simbol kedaulatan negara.
Kerajaan Negeri Johor tidak akan berkompromi dalam soal penghormatan terhadap Jalur Gemilang. Kita akan menunggu hasil siasatan bagi menentukan punca dan tanggungjawab pihak terlibat, namun prinsip kita jelas — maruah negara mesti dipelihara, Jalur Gemilang mesti dihormati dan undang-undang mesti ditegakkan.
YB DATO’ HAJI MOHD JAFNI BIN MD SHUKOR
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor