Aminuddin Yahaya
3 min
Ulasan saya mengenai Belanjawan 2020.
Saya menonton dan meneliti secara langsung perbentangan Belanjawan 2020 petang semalam dan berikut adalah sedikit ulasan saya mengenainya.
1. Perbelanjaan mengurus agak tinggi iaitu RM 249 billion. Dalam keadaan ekonomi sekarang, kerajaan sepatutnya memperbanyakkan perbelanjaan pembangunan.
2. Tidak banyak projek dan idea baharu dalam belanjawan kali ini. Mungkin kerajaan lebih tumpukan pada Private Finance Initiative (PFI). Namun, untuk jangka masa panjang, penumpuan kepada PFI hanya akan ditanggung oleh rakyat kerana syarikat-syarikat akhirnya akan 'berikan kembali' kos-kos ini kepada rakyat.
3. Isu PTPTN yang menjadi beban kepada mahasiswa tidak langsung disebut dalam belanjawan ini. Sepatutnya mereka sekurang-kurangnya kemukakan penyelesaian untuk meringankan beban mereka walaupun Pakatan Harapan pernah berjanji untuk menghapuskannya terus.
4. Insentif kepada graduan yang menganggur hanya diberikan kepada yang menganggur lebih 12 bulan. Sepatutnya kerajaan merendahkan lagi tempoh ini kerana kerajaan perlu memikirkan pada mereka yang sudah mempunyai tanggungan pada seawal mereka tamat pengajian.
5. Sumber pendapatan kerajaan tidak dinyatakan dengan jelas untuk menampung segala perbelanjaan ini. Adakah kerajaan akan terus meminjam-minjam untuk mendapatkan wang? Walhal jumlah hutang semakin meningkat. Tindakan ini boleh mengakibatkan rating negara akan jatuh.
6. Terlalu banyak insentif diberikan kepada industri digital. Namun, industri ini bukanlah 'labour intensive'. Jadi, di manakah yang dikatakan kerajaan akan wujudkan puluhan ratusan ribu peluang pekerjaan baru?
7. Pembelian hartanah oleh warga asing diturun dan dilonggarkan kepada RM 600 ribu untuk menyelesaikan masalah rumah tidak terjual dengan mudah. Ini satu langkah yang bahaya dan boleh menyebabkan lambakan warga asing di negara kita kerana mata tukaran asing yang murah.
Itu sedikit sebanyak ulasan dari saya. Saya harap agar kerajaan dapat membermemberi perhatian pada kebimbangan yang saya lontarkan ini. Saya yakin rakyat juga mempunyai kebimbangan yang sama.
Aminuddin Yahaya
Presiden ISMA / Pengerusi UMMAH
12 Oktober 2019