ENAKMEN 12 TAHUN 1991
ENAKMEN KAWALAN DAN SEKATAN PENGEMBANGAN AGAMA-AGAMA BUKAN ISLAM 1991
BAHAGIAN II - KESALAHAN-KESALAHAN
Seksyen 4. Kesalahan memujuk, mempengaruhi, memaksa atau menghasut seorang Islam untuk menjadi seorang pengikut, atau anggota, dsb. suatu agama bukan Islam
(1) Seseorang melakukan suatu kesalahan jika ia-
(a) memujuk, mempengaruhi, memaksa atau menghasut; atau
(b) mengadakan atau mengendalikan apa-apa aktiviti, pertunjukan, hiburan, atau persembahan di mana isi kandungannya atau perutusannya adalah bertujuan untuk memujuk, mempengaruhi, atau menghasut,
seorang Islam-
(i) supaya menjadi seorang penganut atau anggota atau cenderung ke arah suatu agama bukan Islam, atau
(ii) supaya meninggalkan atau tidak suka kepada agama Islam.
(2) Mana-mana orang yang melakukan suatu kesalahan di bawah seksyenkecil (1) boleh, apabila disabitkan, dikenakan denda tidak lebih daripada sepuluh ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak lebih daripada empat tahun atau kedua-dua denda dan penjara itu.
(3) Adalah menjadi suatu pembelaan terhadap suatu pertuduhan di bawah seksyenkecil (1) bahwa tertuduh itu mempunyai sebab untuk mempercayai, dan sebenarnya mempercayai, bahawa orang lain itu bukan seorang Islam.
(4) Adalah tidak menjadi suatu pembelaan terhadap suatu pertuduhan di bawah seksyenkecil (1) bahawa orang lain itu telah tidak terpengaruh oleh apa-apa perkara yang diperkata atau dilakukan oleh tertuduh itu kepadanya.
Seksyen 5. Kesalahan mendedahkan seorang Islam di bawah umur lapan belas tahun kepada pengaruh-pengaruh suatu agama bukan Islam
(1) Seseorang melakukan kesalahan jika ia menyuruh, menyebabkan, memujuk, mempengaruhi, memaksa, menghasut, menggalakkan, atau membenarkan seorang Islam di bawah umur lapan belas tahun supaya menerima ajaran dalam suatu agama bukan Islam, atau supaya mengambil bahagian dalam apa-apa istiadat, perbuatan menyembah, atau aktiviti keagamaan suatu agama bukan Islam atau dalam apa-apa aktiviti yang dianjurkan atau dikelolakan oleh atau adalah untuk faedah suatu agama bukan Islam atau apa-apa badan atau institusi yang berkaitan dengan suatu agama bukan Islam.
(2) Mana-mana orang yang melakukan suatu kesalahan di bawah seksyenkecil (1) boleh, apabila disabitkan, dikenakan denda tidak lebih daripada sepuluh ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak lebih daripada empat tahun atau kedua-dua denda dan penjara itu.
(3) Adalah menjadi suatu pembelaan terhadap suatu pertuduhan di bawah seksyenkecil (1) bahawa tertuduh itu, sebelum kesalahan yang dikatakan itu, telah diberitahu oleh ibu bapa, atau penjaga orang yang berumur di bawah lapan belas tahun itu bahawa orang itu bukanlah seorang Islam.
(4) Adalah tidak menjadi suatu pembelaan terhadap suatu pertuduhan di bawah seksyenkecil (1) bahawa tertuduh itu, sebelum kesalahan yang dikatakan itu, tidak diberitahu oleh ibu bapa, atau penjaga orang yang berumur di bawah lapan belas tahun itu akan agama orang itu.
Seksyen 6. Kesalahan mendekati seorang Islam untuk mendedahkan kepada apa-apa ucapan, atau pertunjukan apa-apa perkara mengenai suatu agama bukan Islam
(1) Seseorang melakukan kesalahan jika ia mengunjungi, atau mengatur atau berusaha mengadakan suatu perjumpaan dengan, atau menghubungi dengan telefon atau dengan apa-apa cara lain, seorang Islam bagi maksud mendedahkan orang Islam itu kepada apa-apa ucapan, atau pertunjukan apa-apa perkara mengenai suatu agama bukan Islam.
(2) Mana-mana orang yang melakukan suatu kesalahan di bawah seksyenkecil (1) boleh, apabila disabitkan, dikenakan denda tidak lebih daripada lima ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak lebih daripada dua tahun atau kedua-dua denda dan penjara itu.
(3) Dalam suatu pendakwaan atas suatu kesalahan di bawah seksyenkecil (1), maksud tertuduh itu mengunjungi, atau mengatur atau berusaha mengadakan suatu perjumpaan dengan, atau menghubungi, orang lain itu hendaklah dianggap sebagai maksud mendedahkannya kepada apa-apa ucapan, atau pertunjukan apa-apa perkara, mengenai suatu agama bukan Islam jika, memandang pada keseluruhannya kepada semua yang telah berlaku dalam masa kunjungan, perjumpaan, percakapan telefon, atau dengan apa-apa cara lain itu, adalah didapati tanpa keraguan yang munasabah bahawa ianya adalah maksud sebenar atau satu daripada maksud-maksud sebenar tertuduh itu walaupun, dalam masa kunjungan, perjumpaan, atau percakapan telefon atau dengan apa-apa cara lain itu, perkara-perkara atau hal-hal selain dari yang berkaitan dengan maksud itu juga disebut atau dilakukan atau perkara-perkara atau hal-hal yang berkaitan dengan maksud itu tidak disebut atau dilakukan sebanyak perkara-perkara lain.