balqis07
CG Top Poster Club

- Messages
- 30,953
Paid Membership
- Joined
- Jan 27, 2010
- Messages
- 30,953
- Reaction score
- 294
- Points
- 136
Mohd Hafidz Rizal (kanan) menganggap pengasingan dispensari hanya akan membebankan rakyat terutama masyarakat di kawasan pedalaman.
< 1 / 1 >
TANAH MERAH - Kerajaan tidak wajar membebankan rakyat semata-mata kerana ingin menyamai negara lain dalam pelaksanaan sistem pengasingan fungsi klinik dan farmasi di klinik swasta.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kelantan, Dr Mohd Hafidz Rizal Amran berkata, belum tiba masanya untuk kerajaan melaksanakan sistem itu kerana banyak kesan negatif yang menjurus kepada membebankan rakyat.
Menurutnya, kesan paling nyata, amalan itu boleh meningkatkan kos ditanggung rakyat apabila pengamal perubatan swasta secara automatik akan menaikkan caj perkhidmatan bagi membiayai operasi klinik.
“Buat masa sekarang, caj perkhidmatan doktor swasta paling rendah yang saya tahu di negeri ini ialah RM7 kerana mereka sudah dapat sedikit keuntungan daripada penjualan ubat, di samping caj khidmat doktor.
“Apabila penjualan ubat diserahkan kepada farmasi luar, pengamal perubatan swasta perlu naikkan caj perkhidmatan mereka kerana sudah hilang keuntungan dari segi caj ubat,” katanya, semalam.
Beliau mengulas laporan akhbar mengenai pengasingan fungsi klinik dan farmasi dikatakan akan berlaku sekiranya pindaan Dasar Ubat Negara bagi tujuan itu yang dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada Mac ini, diluluskan.
Pengasingan itu akan menyebabkan pesakit yang mendapat rawatan di klinik swasta, tidak boleh lagi mendapatkan ubat di klinik terlibat, sebaliknya perlu membeli ubat disarankan doktor di farmasi luar.
Kerajaan bagaimanapun dilaporkan belum ada sebarang keputusan mengenai perkara itu kerana masih dalam perbincangan antara kumpulan doktor dan pihak berkepentingan.
Menurut Mohd Hafidz Rizal, kaji selidik yang beliau buat selaku pengamal perubatan swasta, menunjukkan ramai pesakit lebih yakin dan selesa sekiranya doktor yang memeriksa mereka memberikan ubat.
Katanya, kemungkinan ahli farmasi memberikan ubat yang tidak sesuai dengan keadaan kesihatan pesakit, juga ada sekiranya orang ramai mengambil keputusan untuk terus ke farmasi bagi mendapatkan ubat.
“Doktor lebih sesuai untuk memberi ubat kerana dia yang memeriksa pesakit. Bukan sahaja pemeriksaan fizikal, malahan dari segi mental kerana kadangkala ‘sentuhan’ doktor untuk pesakit itu penting.
“Faktor ‘sentuhan’ ini tidak ada jika orang ramai berurusan dengan farmasi kerana mereka hanya jual ubat, tidak ada soal jawab seperti jika pesakit berjumpa doktor,” katanya.
Bagi beliau sendiri yang mengusahakan klinik 24 jam di Taman Kota Harmoni, dekat sini, pengasingan itu pasti mendatangkan masalah kepada pesakit kerana ketiadaan farmasi berdekatan yang beroperasi 24 jam.
“Sanggup farmasi beroperasi 24 jam terutama di kawasan pedalaman yang ada klinik 24 jam? Apatah lagi pesakit datang ke klinik tidak kira masa.
“Pengasingan ini juga akan beri kesan secara langsung dari segi kewangan kepada rakyat di kawasan pedalaman kerana terpaksa tanggung kos tambahan untuk ke farmasi di bandar,” katanya.
Kata Mohd Hafidz Rizal lagi, masalah juga boleh berlaku jika pesakit yang membuat pemeriksaan di klinik swasta, perlu segera memakan ubat sedangkan pengamal perubatan terbabit tidak lagi menyediakan ubat.