Skim cepat kaya: Lebih 3,000 orang terpedaya
14/12/2010 6:32pm
KUALA LUMPUR 14 Dis. — Kerana terpedaya dengan janji pendapatan yang lumayan dalam tempoh singkat melalui pelbagai skim pelaburan, lebih 3,000 orang kerugian berjuta-juta ringgit dalam masa enam bulan lepas.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T. Murugiah berkata, kes terbaru yang dilaporkan ialah RM40,000 untuk perniagaan rumpai laut menggunakan mesin serba guna, Mat Kiosk yang menjanjikan pulangan sebanyak RM2,000 setiap bulan.
“Syarikat terbabit telah membayar RM2,000 selama tiga bulan seperti yang dijanjikan dan selepas itu gulung tikar, hilangkan diri dan akhirnya mangsa-mangsa yang terlibat dalam pelaburan ini menderita dengan kerugian lebih RM100 juta,” katanya pada sidang media aduan Skim Cepat Kaya di Ibu Pejabat MIC di sini hari ini.
Katanya, syarikat tersebut telah mendapatkan pinjaman daripada pihak bank untuk mendapatkan mesin yang diimport dari luar negara dan selepas kejadian itu, mereka menghilangkan diri dengan mesin tersebut sekali.
Justeru, beliau meminta orang ramai menggunakan agensi-agensi kerajaan untuk mendapatkan nasihat melabur seperti Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Bank Negara dan Biro Pengaduan Awam, Jabatan Perdana Menteri. - Bernama