16 Disember 2022 pada 6:55 PAGI ·
Surah al-Kahfi dan Ujian Dunia
=====
1. Di permulaan Surah al-Kahfi lagi, Allah mengingatkan kita bahawa dunia ini hanyalah perhiasan yang dijiadikan sebagai ujian buat para hambanya. Kata al-Imam Ibn Kathir:
ثم أخبر تعالى أنه جعل الدنيا دارا فانية مزينة بزينة زائلة
“Kemudian Allah memberitahu kita bahawa dia menjadikan dunia sebagai rumah yang akan binasa, yang dihiasi dengan perhiasan yang tidak kekal.” (Tafsir Ibn Kathir)
2. Perkataan perhiasan ini disebut berulang kali di dalam al-Quran, menunjukkan kepada kita bagaimana manusia itu perlu untuk sentiasa diingatkan mengenai hakikat dunia. Dunia dijadikan sebagai instrument yang menguji kekuatan jiwa manusia. Apakah mereka boleh dibeli dengan dunia, rasuah atau sebaliknya.
3. Manakala dalam hadis pula, Rasulullah menggambarkan dunia dengan dimensi yang berbeza. Dalam banyak hadis, Rasulullah mengingatkan bahawa terdapat amalan yang kecil, tetapi nilainya lebih berharga dari seluruh isi dunia.
4. Sebagai contoh Rasulullah menjelaskan bahawa solat dua rakaat sebelum subuh itu lebih baik dari seluruh isi dunia. Menurut Saidatina Aisyah, solat dua rakaat sebelum subuh ini adalah di antara amalan yang tidak pernah ditinggalkan oleh Rasulullah. Dalam menyatakan kelebihannya, Rasulullah bersabda:
رَكْعَتَا الْفَجْرِ خَيْرٌ مِنَ الدُّنْيَا وَمَا فِيهَا
“Dua rakaat fajar (sebelum subuh) adalah lebih baik dari dunia dan seluruh isinya.” (HR Muslim)
5. Manakala dalam hadis yang lain pula, Rasulullah menjelaskan bahawa membaca sepuluh ayat al-Quran pada malam hari adalah lebih baik dari seluruh isi dunia. Sabda Rasulullah:
مَنْ قَرَأَ عَشْرَ آيَاتٍ فِي لَيْلَةٍ كُتِبَ لَهُ قِنْطَارٌ، وَالْقِنْطَارُ خَيْرٌ مِنَ الدُّنْيَا وَمَا فِيهَا
“Barangsiapa membaca sepuluh ayat pada waktu malam, maka akan ditulis baginya pahala ganjaran satu qintar, dan satu qintar itu lebih baik dari dunia dan segala isinya.” (HR al-Tabrani)
6. Perhatikan bagaimana Allah ingin meleraikan ikatan jiwa manusia agar tidak terlalu berpaut dengan dunia. Setiap hari jumaat kita diingatkan mengenai perkara ini di dalam Surah al-Kahfi sedangkan Nabi pula mendatangkan kepada kita pelbagai alternatif, menegaskan bahawa mengabdikan diri kepada Allah itu lebih baik dari dunia dan segala isinya.
Semoga Allah membimbing kita.
Dr. Ahmad Sanusi Azmi
https://telegram.me/drahmadsanusiazmi