Buktikan DSAI Ejen Amerika!
AMK bidas kenyataan ‘keterlaluan’ Rais Yatim
SHAH ALAM - Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) meminta kerajaan memberikan bukti bahawa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai hubungan dengan Amerika Syarikat.
Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin membidas kenyataan yang dianggap keterlaluan oleh Menteri Luar, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim yang cuba menimbulkan spekulasi mengenai hubung kait AS dengan Penasihat PKR itu.
Laporan sebuah akhbar tempatan semalam mengatakan Rais memperoleh maklumat daripada Wisma Putra bahawa ada pihak tertentu dari Amerika Syarikat menyebut bahawa Anwar memperkotak-katikkan dan menghuru-harakan Malaysia.
“Kenyataan itu adalah keterlaluan dan dipercayai usaha terdesak UMNO-BN melalui propaganda murah akhbar tersebut yang kelihatan mahu mengucar-ngacirkan sokongan rakyat di sebalik kemelut kepimpinan negara yang dihadapi oleh UMNO khususnya,” katanya.
Tambah Shamsul Iskandar, propaganda murahan mengenai ‘Anwar Agen Amerika’ ini telah disebar luas sebegitu lama dan paling hangat sewaktu kempen pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh pada Ogos lalu.
Selain itu, jelas Shamsul Iskandar, di bawah kerajaan UMNO-BN, berlaku Perjanjian Dagangan Bebas (FTA) antara Malaysia-Amerika Syarikat begitu hebat digerakkan dalam keadaan FTA ini ditentang oleh kebanyakan ahli ekonomi dan rakyat peringkat pertengahan.
“Kebergantungan ekonomi Malaysia ke atas AS juga memperlihatkan ia menyumbang hampir 53.2 peratus jumlah eksport Malaysia sehingga Jun 2008.
“Ini pastinya berlaku di bawah pentadbiran UMNO-BN tanpa sebarang campur tangan Anwar,” katanya melalui kenyataan media yang difakskan ke Sinar Harian.
“AMK yakin propaganda murah sebegini begitu terdesak direncanakan memandangkan mereka gagal menyekat kemaraan Pakatan Rakyat untuk menguasai Putrajaya dalam tempoh terdekat,” tegasnya.
Sehubungan itu, AMK mendesak agar Rais memberikan justifikasi jelas mengenai tuduhan palsu beliau dengan kadar segera.
AMK juga kesal dengan sikap akhbar tersebut kerana bertindak mengapi-apikan sentimen rakyat dengan nilai pemberitaan yang rendah dan jumud.
Apa bukti Rais Yatim ni ada? Adakah ni cara dia menonjolkan diri untuk raih sokongan sebagai calon naib presiden pemilihan UMNO Disember ni?