afwan83
Active+ Member
- Messages
- 3,229
- Joined
- Aug 4, 2011
- Messages
- 3,229
- Reaction score
- 12
- Points
- 25
Aktivis seru pihak ke-3 pantau program pekerjaan pelarian
Bulan lalu, kerajaan umum mula melaksanakan program dokumen pendaftaran pelarian (DPP), bermula dengan tahanan di depot imigresen. (Gambar Bernama)
Pengarah Eksekutif Tenaganita, Glorene Das, berkata penting bagi kerajaan bekerjasama dengan organisasi masyarakat sivil demi memastikan pelarian mendapat perlindungan buruh sebagaimana pekerja lain.
Beliau berkata, perlindungan sedemikian merangkumi kontrak bertulis dalam bahasa difahami, upah adil, kebebasan memegang dokumen sendiri, akses perkhidmatan kesihatan dan sokongan sosial, mekanisme aduan, pemeriksaan buruh, serta perlindungan daripada tindakan balas apabila melaporkan salah guna kuasa atau penganiayaan.
“Banyak sektor dikenal pasti di bawah program DPP seperti pembinaan, pembuatan, pertanian, dan perladangan telah lama dikaitkan pelanggaran hak buruh,” katanya kepada FMT.
Das turut mencadangkan majikan yang mengambil bahagian dalam program itu menjalani proses usaha wajar dan membuktikan pematuhan terhadap undang-undang buruh, sebelum dipadankan dengan pekerja pelarian.
Beliau mengulas laporan bulan lalu menyebut Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail menyatakan bahawa seramai 25 pelarian kini layak bekerja di bawah program berkenaan dalam industri seperti pembuatan, perladangan, pertanian, dan pembinaan.
Adrian Pereira daripada North-South Initiative turut menyokong keperluan penglibatan masyarakat sivil, sambil menyatakan program DPP kurang telus, terutamanya dalam menjadikan undang-undang perlindungan buruhnya boleh diakses orang ramai.
“Pada masa lalu, arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) berfungsi untuk memberikan hak-hak tertentu kepada pelarian, termasuk hak untuk bekerja. Namun, keseluruhan proses tersebut kekal kabur, dan SOP mereka tidak pernah didedahkan kepada umum.
“Sekarang menerusi program DPP, maklumat ini mesti disediakan bukan sahaja kepada orang awam, malah kepada golongan pelarian itu sendiri. Maklumat yang boleh diakses secara terbuka mengenai perlindungan (buruh) adalah penting bagi mengelak majikan mengeksploitasi mereka,” katanya.
Beliau berkata, pekerja migran yang sudah mempunyai perlindungan di atas kertas kerap dieksploitasi majikan, dan ini akan menyebabkan pelarian ‘tiada arah’, sehinggalah kerajaan menjelaskan syarat khusus pengambilan kerja dalam kalangan mereka.
Aktivis Andy Hall turut pula berkata, perlu dijelaskan kriteria pemilihan mengenai bagaimana pelarian akan dipilih untuk bekerja di bawah program tersebut.
“Siapa yang mendapat pekerjaan itu? Berdasarkan pengalaman saya, sentiasa timbul kebimbangan mengenai pihak yang mengenakan bayaran dan memeras ugut pekerja sebagai balasan untuk mendapatkan peluang pekerjaan.
“Jadi, mengapa pekerja tertentu diluluskan, manakala sebahagian lain tidak? Apakah asas di sebalik pemilihan mereka? (Pemerasan) merupakan risiko yang sangat besar di pusat tahanan,” dakwanya.
Perlu kerangka undang-undang
Presiden Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM), Jacob Lee, berkata walaupun pelarian yang disahkan berpotensi menjadi sumber tenaga kerja sementara tambahan, satu kerangka undang-undang penggajian yang khusus mesti diwujudkan terlebih dahulu bagi melindungi majikan dan pekerja.
Lee berkata, FMM amat bimbang berkait sebarang pengaturan yang menghubungkan penggajian dengan penahanan, pelepasan, atau pengiktirafan status pelarian. Beliau turut menegaskan individu yang kini ditahan di depot imigresen tidak sepatutnya diagihkan secara peribadi kepada majikan swasta.
“Sekiranya dibentuk sewenangnya, (program ini) mampu mendedahkan pihak pekilang kepada kesalahan imigresen, risiko buruh paksa, dan pemerdagangan manusia, serta implikasi serius terhadap pelanggan dan pasaran eksport.
“Justeru, FMM mengesyorkan satu projek rintis terkawal dibangunkan secara bersama Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Sumber Manusia, Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), majikan, kesatuan tempatan, dan organisasi masyarakat sivil sebelum ia dilaksanakan secara meluas.”
Dilaksanakan di bawah Arahan MKN No. 23, sistem DPP menggantikan sistem pendaftaran pelarian kendalian UNHCR yang dianggap kerajaan sebagai ancaman keselamatan susulan kurang pembabitan kerajaan.
Bulan lalu, kerajaan mengumumkan ia akan mula melaksanakan inisiatif DPP, bermula dengan tahanan di depot imigresen menjadi sebahagian usaha mewujudkan pangkalan data pelarian kebangsaan yang diuruskan secara langsung oleh Malaysia.
Terdapat kira-kira 21,000 tahanan di seluruh negara, dengan sekitar 4,000 daripadanya memohon status pelarian.