combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,153
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,153
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
Gambar Fail Bernama
Penguatkuasaan Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872) yang berkuat kuasa secara rasmi hari ini bakal memberi manfaat kepada kira-kira 1.64 juta individu yang terlibat dalam sektor ekonomi gig di negara ini.
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan berkata pencapaian bersejarah itu meletakkan Malaysia sebagai antara negara di Asia yang mendahului usaha memperkenalkan perundangan perburuhan khusus bagi melindungi pekerja gig secara komprehensif.
"Akta ini hadir pada saat landskap pekerjaan sedang berubah sebagai tanda komitmen kita untuk membela nasib dan masa depan mereka yang selama ini menjadi tulang belakang ekonomi digital negara," katanya pada sidang media sempena pengumuman penguatkuasaan akta tersebut di Menara Perkeso, di sini, hari ini.
Beliau berkata ia mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan kemajuan ekonomi digital bergerak seiring dengan perlindungan pekerja, sekali gus menjadikan Malaysia model rujukan bagi pembangunan ekosistem ekonomi gig yang lebih adil dan mampan.
Melalui Akta 872 ini, katanya, pekerja gig kini mempunyai perlindungan perundangan yang lebih jelas termasuk ketelusan perjanjian perkhidmatan, kadar pendapatan yang dipersetujui, larangan diskriminasi, perlindungan keselamatan sosial melalui PERKESO, serta perlindungan keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
Ramanan berkata di bawah akta baharu itu, takrifan pekerja gig merujuk kepada warganegara atau pemastautin tetap Malaysia yang membuat perjanjian dengan entiti kontrak dan menerima bayaran bagi setiap perkhidmatan yang diberikan.
“Akta tersebut bukan sahaja merangkumi pekerja platform seperti pemandu e-hailing dan penghantar p-hailing, malah turut melindungi pekerja gig tanpa platform termasuk dalam sektor perfileman, muzik, terjemahan dan kewartawanan,” katanya.
Bagaimanapun beliau menyangkal dakwaan di media sosial yang mendakwa pekerja asing turut dilindungi di bawah akta berkenaan dengan menegaskan pekerja asing tidak termasuk di bawah akta tersebut.
Ramanan juga memberi jaminan bahawa selepas akta ini dikuatkuasakan, pekerja gig akan kekal bekerja secara fleksibel dan perundangan ini tidak akan mengganggu ekosistem gig itu sendiri.
Akta Pekerja Gig 2025 Jamin Perlindungan Lebih Menyeluruh Kepada 1.64 Juta Individu
Ramanan, Akta Pekerja Gig, Akta 872, pekerja, gig