ZONDA
Legendary Member

- Messages
- 14,904
- Joined
- Feb 8, 2011
- Messages
- 14,904
- Reaction score
- 46
- Points
- 120
Ketua Polis Daerah, Superintendan Hamzah Alias (tengah) melawat Zulkefli yang kelihatan sebak sempena sambutan Hari Polis, semalam.
JEMPOL - Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-208 kali ini tidak seperti sebelumnya buat seorang anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol, di sini kerana terpaksa berehat selepas terlibat dalam kemalangan pada tahun lalu.
Akibat kemalangan itu, Koperal Zulkefli Zainudin, 56, koma hampir tiga minggu dan kini hanya terlantar di rumahnya dekat kuarters IPD Jempol.
Menurut isterinya, Salinah Mohd Rashid, 48, suaminya telah berkhidmat selama 32 tahun dengan pasukan beruniform itu dan ini adalah kali pertama dia tidak dapat bersama dengan rakan sekerja untuk menyambut hari berkenaan.
"Lebih sebak lagi apabila suami menangis selepas melihat kain pakaian seragam polis untuk dijahit berserta beret.
"Hari ini juga dia sering menangis. Mungkin kerana dia masih ingat hari ini Hari Polis. Biasanya dia akan bangun lebih awal dari biasa untuk menyambut Hari Polis ini," katanya.
Tambah Salinah, sebelum ini, segala kelengkapannya akan dilakukan sendiri seperti menggosok pakaian seragam dan mengilatkan kasut.
"Siapa yang tidak sedih dan sudah pasti dia berharap agar segera pulih sekali gus dapat bertugas seperti biasa. Namun saya tetap bersyukur kerana suami semakin sihat walaupun masih memerlukan bantuan ahli keluarga jika mahu duduk.
"Dia tidak boleh bercakap dan hanya menulis di atas kertas jika mahukan sesuatu. Rakan-rakan dari IPD Jempol juga sering melawat dan memberikan kata-kata semangat. Dia juga gembira setiap kali menerima kunjungan mereka," katanya ketika ditemui.
Dalam kejadian 17 November lalu, kira-kira jam 12.15 tengah malam, Zulkefli dan rakan setugasnya, Lans Koperal Abdullah Abd Karim, 25, terbabit kemalangan ketika membuat rondaan di Taman Meranti.
Kereta unit peronda dinaiki mereka dirempuh sebuah kenderaan yang melanggar lampu isyarat.