kupanglaut
Super Active Member
- Messages
- 9,808
- Joined
- Jun 13, 2025
- Messages
- 9,808
- Reaction score
- 98
- Points
- 80
AI Tidak Mampu Ganti Pengalaman Wartawan Di Lapangan - Pakar
Keupayaan menguasai teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam dunia bilik berita ketika ini bukan lagi dianggap sebagai satu pilihan sebaliknya menjadi keperluan kritikal dalam mendepani landskap media yang semakin mencabar dan kompetitif.
Seiring perubahan digital yang bergerak pantas, kegagalan organisasi media mengintegrasikan teknologi AI dalam operasi bukan sahaja boleh menjejaskan kecekapan dan produktiviti malah berisiko ketinggalan dalam persaingan untuk kekal relevan dengan keperluan audiens.
Walau bagaimanapun, di sebalik kelebihan teknologi itu yang mampu mempercepatkan penghasilan berita, timbul kebimbangan mengenai kebergantungan melampau terhadap AI dan sumber digital yang dikhuatiri boleh menghakis nilai asas kewartawanan, termasuk budaya turun padang yang menjadi tunjang kepada laporan berkualiti.
Kebimbangan itu berpunca daripada perdebatan berterusan mengenai kecenderungan sesetengah laporan yang terlalu bergantung kepada maklumat di media sosial atau sumber dalam talian, yang kemudiannya diproses menggunakan AI tanpa pengesahan terus di lokasi kejadian.
Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Syed Agil Shekh Alsagoff berkata AI sememangnya boleh menjadi alat berkesan untuk meningkatkan produktiviti di bilik berita, namun ia tidak mampu menggantikan pengalaman serta pertimbangan editorial wartawan di lapangan.
Beliau berkata kekuatan utama wartawan dalam menghasilkan laporan berimpak tinggi kekal bergantung kepada keupayaan mereka untuk melihat sendiri situasi sebenar, bertemu masyarakat serta mendapatkan pengesahan daripada pelbagai sumber sebelum sesuatu berita diterbitkan.
“Jika wartawan terlalu bergantung kepada AI dan sumber digital, budaya turun padang akan semakin berkurangan, sedangkan kehadiran wartawan di lapangan sangat penting untuk memahami konteks sebenar sesuatu isu dan mendapatkan gambaran yang lebih tepat,” katanya kepada Bernama.
Syed Agil berkata pendekatan turun padang bukan sahaja memberi pengalaman berharga kepada wartawan, malah membantu menghasilkan laporan yang lebih komprehensif dengan naratif lebih kuat berdasarkan pemerhatian langsung di lokasi kejadian.
Jelas beliau, keadaan itu berbeza dengan laporan yang terlalu bergantung kepada AI dan media sosial yang berisiko menjadikan sesuatu berita itu “hambar” kerana teknologi hanya mampu memproses data tanpa memahami emosi dan sensitiviti masyarakat.