fadzli07
Fun Poster
- Messages
- 580
- Joined
- Oct 15, 2011
- Messages
- 580
- Reaction score
- 10
- Points
- 20
Secara umumnya, umat Islam diperintahkan agar makan dan minum hanya dari apa-apa yang dihalalkan dan menjauhi segala bentuk makanan yang haram. Ini merupakan adab makan dan minum yang paling utama perlu difahami dan dipatuhi. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman yg bermaksud:
“Wahai manusia, makanlah makanan yang halal lagi baik dari apa-apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah Syaitan, kerana sesungguhnya Syaitan itu adalah musuh yang jelas bagimu.” (Surah al-Baqarah, 2: 168)
1, Makan dengan tangan kanan, Jangan makan seperti Syaitan
“Jika seseorang di antara kamu makan, maka hendaklah dia makan dengan tangan kanannya. Jika minum, maka hendaklah minum dengan tangan kanannya, kerana syaitan makan dengan tangan kirinya dan minum dengan tangan kirinya.” (Shahih Muslim, no. 2020. Bab: Adab Makan dan Minum serta Hukum-hakamnya)
2, Tidak Sombong Untuk Makan Dengan Tangan Kanan
“Bahawasanya ada seorang lelaki makan dengan tangan kirinya di sisi Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Maka Rasulullah pun bersabda: “Makanlah dengan tangan kanan engkau.”
Lelaki itu pun berkata: “Aku tidak mampu.” Kata Rasulullah lagi: “Kamu tidak mampu?” (Hakikatnya) tidaklah dia menolaknya melainkan kerana sombong. (kata perawi): Maka setelah itu, dia pun benar-benar tidak mampu menyuap makanan (dengan tangan kanannya) sampai ke mulutnya.” (Shahih Muslim, no. 2021. Bab: Adab Makan dan Minum serta Hukum-hakamnya)
3, Rasulullah mengajarkan adab makan buat anak kecil
Daripada ‘Umar B. Abi Salamah, beliau berkata, “Ketika aku masih kecil berada di bawah jagaan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, tanganku ke sana ke mari di ketika makan. Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:“Wahai Ghulam (anak kecil), sebutlah nama Allah (bismillah), makanlah dengan tangan kananmu, dan makanlah makanan yang dekat denganmu.” Maka begitulah cara (adab) aku makan setelah itu.” (Shahih al-Bukhari, no. 5376. Muslim no. 2022)
4, Apabila Makan, Sebutlah Nama Allah
“Apabila salah seorang di antara kamu makan, maka sebutlah nama Allah Ta’ala. Jika dia terlupa untuk menyebut nama Allah Ta’ala di awalnya, hendaklah dia mengucapkan:“Bismillaahi awwalahu wa aakhirahu (dengan nama Allah di awal dan akhirnya).”.” (Sunan Abu Daud, no. 3767. Dinilai sahih oleh al-Albani)
5, Makan berjama’ah (bersama-sama)
“Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami makan tetapi tidak merasa puas?” Beliau bersabda: “Mungkin kerana kamu makan sendiri-sendiri.” Mereka menjawab, “Ya benar.” Beliau bersabda: “Hendaklah kamu bersama-sama (berjama’ah) ketika makan, dan sebutlah nama Allah atasnya, maka kamu akan mendapat barakah padanya.” (Sunan Abu Daud, no. 3764. Dinilai hasan oleh al-Albani)
6, Minum Dengan Tiga Kali Nafas
“Bahawasanya (Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam) biasa minum dengan tiga kali nafas (selang seli antara meneguk air dan menarik nafas). Jika bekas minuman menghampiri ke mulut beliau, beliau menyebut nama Allah Ta’ala. Dan jika selesai satu nafas, beliau memuji Allah Ta’ala (mengucapkan tahmid). Beliau lakukan perkara yang sama tiga kali.” (Ibnu Hajar, Fathul Bari, 10/94. Majma’ az-Zawa’id, no. 8259. Al-Albani, Silsilah al-Ahaadits ash-Shahihah, 3/272, no. 1277)
7, Bacaan (Dzikir) Setelah Makan
“Sesiapa yang makan makanan kemudian mengucapkan:“Alhamdulillaahilladzii ath-amanii haadzaa wa rozaqaniihi min ghairi haulinm minnii wa laa quwwatin” (Segala puji bagi Allah yang telah memberiku makanan ini, dan merezekikan kepadaku tanpa daya serta kekuatan dariku), maka diampuni dosanya yang telah lalu.” (Sunan at-Tirmidzi, no. 3458. Kata at-Tirmidzi, hadis ini hasan gharib. Manakala al-Albani menilainya hasan)
8, Menjilat Jari Sebelum Mengesat atau Membasuhnya
“Apabila seseorang di antara kamu makan, maka janganlah dia membersihkan (atau mengesat) tangannya sehinggalah dia menjilatnya atau ada orang lain yang menjilatkan untuknya.” (Shahih al-Bukhari, no. 5456. Bab: Menjilat dan Menghisap Jari Sebelum Dibersihkan Dengan Kain Pengelap)
Sumber : http://www.ilmusunnah.com
