BTC USD 64,266.9 Gold USD 4,463.86
Time now: Jun 1, 12:00 AM

9 beranak hidup daif

ZONDA

Legendary Member
gem
Messages
14,904
Joined
Feb 8, 2011
Messages
14,904
Reaction score
46
Points
120
image.jpg

Badariah bersama tujuh anaknya bergambar di rumah uzur yang didiami mereka sejak sembilan tahun lalu.​

KUALA PILAH - Sebuah keluarga sembilan beranak di Kampung Bemban, Senaling, di sini, memerlukan kediaman lebih selesa berikutan rumah yang mereka tinggal kini semakin uzur dan sempit.

Badariah Ujang, 36, tinggal di rumah ibu saudaranya sejak sembilan tahun lalu bersama suaminya, Jalal Samsudin, 42, serta tujuh anak mereka berusia antara 12 tahun hingga 4 bulan.

Menurut Badariah, keadaan rumah mereka yang berusia lebih 40 tahun itu sangat daif dan uzur manakala bumbungnya pula sudah bocor.

"Bila angin ribut, kami sekeluarga mula bimbang, takut bumbung tercabut. Keadaan dinding kayu rumah pun sudah dimakan anai-anai dan bilik pun hanya ada sebuah sahaja," katanya.

Kata Badariah, suaminya hanya bekerja sebagai buruh dan pendapatan sebulan sekitar RM600 hingga RM700.

"Jika difikirkan, memang tidak mencukupi kerana perlu menyuap sembilan mulut. Anak-anak pula masih kecil dan memerlukan makanan yang berkhasiat.

"Di sekolah memang ada bantuan seperti Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM). Dapatlah tampung perbelanjaan persekolahan.

"Kami juga terima bantuan Baitulmal RM200 sebulan tetapi ia tidak mencukupi," katanya.

Kata Badariah, empat tahun lalu, dia dan suaminya pernah memohon rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan ianya telah diluluskan pada 2001.

"Namun ketika hendak menandatangani borang pengesahan di mana saya bersetuju untuk menerima bantuan rumah PPRT itu di Pejabat Menteri Besar, saya baharu sahaja melahirkan anak keempat.

"Ketika itu, kami tidak memiliki telefon, malah kenderaan juga tiada. Jadi kami tidak tahu bagaimana mahu beritahu kepada pihak sana keadaan sebenar kami. Akhirnya kami terpaksa biarkan begitu sahaja," katanya ditemui, kelmarin.

Tambahnya, masalah berkenaan telah diutarakan kepada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Bemban, Ibrahim Taeh dan Setiausaha JKKK, Norizan Nasir.

"Mereka sangat membantu dan sentiasa memaklumkan berita tentang rumah PPRT dari semasa ke semasa. Namun buat masa ini, kami sekeluarga belum menerima perkhabaran gembira dari pihak berkaitan tentang status permohonan tersebut.

"Kami faham, senarai menunggu PPRT ramai, termasuklah kami. Namun kami amat berharap, permohonan baharu kami dapat diberi perhatian.

Sementara itu, Norizan memberitahu, keutamaan JKKK sememangnya kepada keluarga Badariah.

"Mana yang kami boleh bantu, kami akan bantu. Keluarga ini juga telah dicalonkan sebagai pemohon PPRT Dun Senaling.

"Insya-ALLAH, jika ada rezeki, nasib mereka akan terbela dan kami juga berharap permohonan keluarga ini diberi perhatian oleh pihak terbabit," katanya.
 
Back
Top
Log in Register