ZONDA
Legendary Member

- Messages
- 14,904
- Joined
- Feb 8, 2011
- Messages
- 14,904
- Reaction score
- 46
- Points
- 120
ISMAIL MOHAMED (depan, tengah) bersama ahli jawatankuasa penganjuran Program Sepakat Komuniti 1Malaysia dan Sukan Rakyat Peringkat Daerah Ledang Sempena Kemahkotaan Sultan Johor di Ledang, Johor, semalam. Utusan/Ishak Rahmad
LEDANG 13 April - Kira-kira 60 kampung di Ledang dan Pagoh dikenal pasti berpotensi menyertai Program Inap Desa pada tahun ini berikutan permintaan yang semakin meningkat selain mampu menjadi pemangkin industri pelancongan di daerah ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang, Ismail Mohamed berkata, kampung yang terlibat termasuk perkampungan tradisional sama ada kampung induk atau kampung rangkaian selepas didapati menepati ciri-ciri inap desa.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri berkata, antaranya Kampung Durian Chondong, Felda Sri Jaya, Kampung Kurnia Sakti, Felda Sri Ledang, Parit Sawah, Parit Sempang, Kampung dan Felda Bukit Kepong, Kampung Tui serta Kampung Raja.
"Semua kampung terlibat akan didaftarkan dan diselaraskan di bawah Majlis Pembangunan Pelancongan Parlimen Pagoh (MPPPP). Pejabat MPPPP sedang dibina di pekan Bukit Kepong yang dijadualkan siap pada tahun ini.
"MPPPP akan mempromosikan program inap desa dan akan menyediakan pakej untuk pelancong. Orang kampung akan menjadi pemandu pelancong dan untuk program tertentu, urus setia MPPPP akan melantik pemandu pelancongnya sendiri," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Sepakat Komuniti 1Malaysia dan Sukan Rakyat Peringkat Daerah Ledang Sempena Kemahkotaan Sultan Johor di Sekolah Kebangsaan Kampung Durian Chondong, dekat sini hari ini.
Ismail berkata, dalam masa terdekat 60 peserta itu akan diberikan kursus dan bimbingan menguruskan inap desa serta pihaknya menyasarkan 10 hingga 20 rumah dari 37 kampung di DUN Bukit Serampang terlibat dalam program tersebut.
"Penduduk kampung mempunyai bilik yang tidak digunakan boleh menyertai program inap desa. Tidak perlu bina rumah baharu dan tidak memerlukan kos yang besar.
“Apa yang penting menepati syarat-syarat menjadi inap desa seperti selesa, bersih dan landskap rumah mempunyai kaitan pertanian," katanya.
Ismail berkata, apabila program itu mendapat sambutan pihaknya bercadang mengembangkan pakej sedia ada seperti menyediakan perkhidmatan sewa perahu untuk pelancong memancing atau menikmati keindahan Sungai Muar dan alam semula jadi.
"Kita juga akan sediakan pakej melawat dan merasai pangalaman makan durian, rambutan dan manggis dalam kebun buah-buahan. Mereka juga boleh menikmati hasil sungai seperti udang galah, ikan baung, toman dan tapah yang biasa terdapat di kawasan ini," katanya.
Jika kedatangan pelancong seperti dari Singapura dan China bertambah, pihaknya akan memilih peserta program mengikuti kursus Bahasa Inggeris untuk memudahkan komunikasi selain menarik lebih ramai pengunjung.