combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,188
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,188
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
5,000 Pengunjung Disasar Ke Jualan Agro MADANI Mega@PTKM Palong
Kredit: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA)
Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan kehadiran kira-kira 5,000 pengunjung ke Program Jualan Agro MADANI Mega@PTKM Palong yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam hingga esok di Pasar Tani Kekal (PTKM) Palong, di sini.
FAMA dalam kenyataan hari ini memaklumkan program berskala besar itu berlangsung dari 8 pagi hingga 10 malam dengan menawarkan penjimatan antara 10 hingga 30 peratus menerusi konsep jualan terus daripada pengeluar kepada pengguna tanpa orang tengah.
Menurut kenyataan itu, enam kluster utama disediakan bagi edisi Mega@PTKM Palong kali ini membabitkan kluster makanan popular negeri, trak makanan, jualan segar, industri makanan dan asas tani, florikultur serta pameran agensi.
“Antara tarikan utama program ialah jualan kombo istimewa pada harga promosi dan happy hour yang menawarkan penjimatan besar kepada pengguna.
“FAMA berharap program ini dapat terus memperkukuhkan agenda keterjaminan makanan negara, membantu meringankan kos sara hidup rakyat serta menjadi platform terbaik dalam mempromosikan hasil pertanian dan produk agromakanan tempatan kepada masyarakat,” menurut kenyataan itu.
Antara jualan kombo segar ialah ayam, sayur-sayuran dan telur yang dijual serendah RM5 ketika sesi happy hour berbanding harga asal RM20, manakala kombo daging, kombo runcit dan produk Agromas turut ditawarkan pada harga subsidi khas sepanjang program berlangsung.
Pengunjung berdaftar juga layak menerima kupon pembelian bernilai RM5 bagi pembelian produk segar, tertakluk kepada syarat ditetapkan.
Menurut agensi itu, program berkenaan melibatkan penyertaan 42 usahawan dengan keseluruhan 52 lot jualan merangkumi segmen makanan, produk segar, florikultur, industri asas tani dan trak makanan.
Penganjuran program itu dijangka mampu meningkatkan pendapatan usahawan sehingga 10 peratus menerusi konsep jualan terus kepada pengguna, selain memperkukuhkan jaringan pemasaran produk agromakanan tempatan.