ZONDA
Legendary Member

- Messages
- 14,904
- Joined
- Feb 8, 2011
- Messages
- 14,904
- Reaction score
- 46
- Points
- 120
Noor Azmi (tengah) bersama wakil Perhilitan menunjukkan bungkusan yang mengandungi tenggiling hidup yang cuba diseludup.
KUALA KURAU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Pengkalan Kuala Kurau semalam berjaya mematahkan satu sindiket penyeludupan haiwan eksotik apabila sebanyak 34 tenggiling dirampas dari sebuah bot nelayan.
Ketua Penguatkuasa Maritim Pengkalan Kuala Kurau, Leftenan Komander Maritim Noor Azmi Mohd Dahan berkata, dalam kejadian jam 4 pagi itu, sepasukan anggota Maritim yang melakukan rondaan rutin di perairan Sungai Trong, Larut Matang, dekat sini terserempak dengan sebuah bot nelayan yang dipandu laju dan mencurigakan.
Menurutnya, anggotanya segera mengejar bot terbabit dan mengarahkannya berhenti namun tidak diendahkan.
"Insiden kejar mengejar antara bot ronda Maritim dengan bot nelayan berlaku dan tidak lama kemudian, bot nelayan terbabit terkandas di kawasan perairan cetek.
"Bagaimanapun, seorang tekong dan awak-awak yang berada di atas bot terbabit segera melarikan diri menuju ke kawasan hutan bakau perairan itu," katanya dalam satu sidang media di pejabat Maritim Pengkalan Kuala Kurau semalam.
Noor Azmi berkata, nelayan tersebut meloloskan diri dengan terjun ke dalam laut dan bersembunyi di dalam hutan bakau.
Jelasnya, pemeriksaan awal dijalankan ke atas bot tidak nombor pendaftaran itu menemui satu timbunan jaring.
"Namun, setelah diperiksa lebih lanjut, kami menemui 34 bungkusan berwarna biru dan hitam yang bergerak-gerak di dalamnya.
"Setelah diperiksa, objek bergerak itu merupakan sejenis haiwan eksotik dilindungi sepenuhnya iaitu tenggiling yang masih hidup," katanya.
Noor Azmi berkata, pihaknya yakin tenggiling itu cuba diseludup di pasaran gelap tempatan dan menganggap tindakannya mematahkan cubaan seludup haiwan itu satu kejayaan besar pada tahun ini.
Katanya, Maritim yakin tenggiling itu cuba dipasarkan dengan tujuan dijadikan makanan eksotik selain sisiknya digunakan untuk membuat produk kecantikan.
"Harga pasaran bagi tenggiling jantan adalah sekitar RM205 manakala bagi tenggiling betina mampu mencecah sehingga RM500 sekilogram.
"Bagi harga sisiknya pula, harga pasaran semasa mampu mencecah sehingga RM300 sekilogram dan dipercayai digunakan untuk rawatan tradisional masyarakat Cina selain bahan asas produk kecantikan," katanya.
Noor Azmi berkata, anggaran nilai tangkapan kesemua tenggiling itu berjumlah RM50,000 termasuk bot dan enjin yang digunakan.
"Hasil maklumat dari nelayan tempatan mendedahkan tenggiling ini dibawa oleh satu kapal besar dari Indonesia dan diagihkan kepada sindiket ini untuk diseludup ke pasaran tempatan.
"Kesemua tenggiling yang dirampas ini akan diserahkan kepada jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan susulan," katanya.