ZONDA
Legendary Member

- Messages
- 14,904
- Joined
- Feb 8, 2011
- Messages
- 14,904
- Reaction score
- 46
- Points
- 120
Seramai 300 ahli daripada pelbagai NGO berkumpul di pintu masuk Bangunan Perak Darul Ridzuan untuk membantah tindakan wakil rakyat pembangkang yang berpakaian hitam semasa istiadat pembukaan rasmi sidang Dun, semalam.
IPOH - Lebih 300 ahli NGO berhimpun di pintu masuk Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, pagi ini untuk membantah tindakan wakil rakyat pembangkang yang berpakaian hitam semasa istiadat pembukaan rasmi Sidang Dun, semalam.
Jurucakap kumpulan itu, Datuk Nadzri Ismail berkata, tindakan wakil rakyat pembangkang itu jelas menunjukkan kebiadaban dan menghina institusi raja.
Menurutnya, mereka juga tidak menghormati Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang buat pertama kali mengenakan pakaian kebesaran sebagai sultan.
"Jelas perbuatan melampau ini adalah satu bentuk penderhakaan kepada Sultan Perak termasuk institusi beraja.
"Apa yang cuba mereka sampaikan dengan memakai baju hitam yang melambangkan kematian atau upacara berkabung, ia sangat biadab dan tidak boleh dimaafkan," katanya.
Mereka berkumpul di laluan pintu utama masuk ke pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri sambil melaungkan Daulat Tuanku termasuk memegang poster bertulis
pembangkang jangan biadab, kami membela tuanku, jangan hina institusi beraja selain sokongan terhadap Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.
Antara NGO yang hadir termasuk Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) Perak, Majlis Ayahanda-ayahanda Perak (MAAP), Pertubuhan Ayahanda Penasihat Insan Malaysia (Papim) dan Pemuda Umno Perak.
Nadzri berkata, pihaknya menyarankan supaya rakyat menilai dan menolak pemimpin yang mempunyai sikap biadab seperti wakil rakyat pembangkang kerana tidak menghormati institusi raja.
"Sikap biadab yang ditunjukkan oleh adun pembangkang semalam (kelmarin) berkenaan menggambarkan cara pemerintahan yang akan dilaksanakan jika mereka berkuasa.
"Saya fikir kelakuan yang ditunjukkan itu membuktikan mereka boleh menjadi lebih biadab selepas ini, apatah lagi jika institusi raja pun mereka tidak hormat," katanya.