berita hairan hari ini:
Parlimen tidak dibubar hari ini: PM
BANGI: "Tak jadi bubar esok (hari ini). Seronok khabar angin ini (tetapi) esok (hari ini) tak ada pembubaran Parlimen," kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berhubung desas desus kononnya Parlimen akan dibubarkan hari ini.
Perdana Menteri juga menafikan kononnya mesyuarat mingguan Kabinet hari ini adalah yang terakhir sebelum Parlimen dibubarkan bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-12 diadakan.
Sambil ketawa ketika diajukan soalan sama ada Parlimen akan dibubarkan hari ini, Perdana Menteri berkata, mesyuarat mingguan Kabinet akan tetap diadakan seperti biasa hari ini.
"Apa yang menyebabkan anda berfikir mesyuarat Kabinet itu adalah yang terakhir? Mesyuarat Kabinet ada lagi... ada lagi," katanya pada sidang media selepas melancarkan Institut Islam Hadhari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di kampus universiti itu di sini, semalam.
Mengenai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang membuat dua perubahan berhubung peraturan pengiraan semula perbezaan undi calon pada pilihan raya umum kali ini, Perdana Menteri berkata: "Saya akan ikut saja apa yang SPR putuskan."
Ditanya mengenai kenyataan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo bahawa sebahagian daripada calon Barisan Nasional (BN) negeri itu tidak melepasi tapisan Badan Pencegah Rasuah (BPR), Abdullah berkata, pemilihan calon akan dibuat berdasarkan laporan BPR.