Salam,
Sebagai salah satu usaha menyebarkan maklumat bahawa apa yang selalu disebut UFO itu hanyalah pesawat-pesawat udara buatan manusia di bumi, pada kali ini saya paparkan untuk tatapan anda gambar piring terbang buatan China. Selamat membaca.
Sebuah perusahaan China telah mencipta piring terbang yang dikendalikan menggunakan kawalan jauh (remote control) dan ia mampu melayang di udara hingga ketinggian 3.200 kaki.
Menurut Ananova, Jumaat 27 Jun 2008, semasa diuji, piring terbang berdiameter empat kaki ini terbang dengan jayanya di atas Kota Harbin, daerah Heilongjiang, China.
Piring terbang ini direkabentuk bagi memantau kebakaran hutan dan keadaan gedung-gedung bertingkat dari atas. Piring terbang ini dapat terbang selama 40 minit dengan kecepatan hingga 50 batu sejam.
The Harbin Smart Special Aerocraft Company, perusahaan pencipta piring terbang ini menghabiskan dana lebih dari 2.000.000 Pound Sterling dan waktu selama 12 tahun untuk membangunkan prototaip piring terbang ini.
Piring terbang ini juga digunakan untuk pengambilan foto udara, kajian geologi, serta pencahayaan darurat. Sejumlah piring terbang akan mulai dipasarkan pada bulan September, namun belum diketahui berapakah harganya untuk setiap unit.
KESIMPULAN
Pada hemat saya, negara-negara seperti Malaysia dan Indonesia punya kemampuan untuk membangunkan atau mencipta berbagai perkara termasuklah piring terbang seperti ini. Kita tidak seharusnya sentiasa bergantung kepada negara-negara maju bagi menjualnya kepada kita sebab bila kita membeli alat-alat dari mereka, terutamanya yang ada kaitan dengan senjata pertahanan negara, ada kemungkinan alat-alat tersebut sudah dipasang gajet-gajet pengintip.
Sentiasa membeli senjata atau pesawat pertahanan dari negara-negara lain akan melibatkan kos yang terlalu mahal. Dalam jangka panjang, ianya tidak menguntungkan sebab pemindahan teknologi (kalau ada) amatlah sedikit. Mewujudkan unit-unit penyelidikan dan pembangunan pesawat dan senjata adalah sama malah lebih penting dari memberi biasiswa kepada pelajar-pelajar kita untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara. Tidak ada negara yang selamanya aman kerana setiap negara ada punya musuh yang sentiasa mengintai peluang.
Senjata-senjata seperti senapang pada hemat saya bukanlah suatu produk yang memerlukan teknologi yang amat tinggi atau kos yang amat mahal bagi menghasilkannya. Yang penting ialah pihak kerajaan sedar mengenai kepentingan memperuntukkan dana bagi pembangunannya. Kita boleh saja beli senjata-senjata seperti ini dari negara-negara maju untuk 'senang cerita' tapi sampai bila?
Pakar-pakar dari banyak universiti di sesebuah negara patut digunakan bagi membuat berbagai kajian bagi menghasilkan alat atau senjata bagi mempertahankan negara. Memang ia perlukan dana yang agak besar dan berterusan tapi ia sepatutnya dimasukkan sebagai item perlu dalam bajet negara. Kalau kita mahu menjadi sebuah negara yang disegani, kita patut punya sesuatu yang negara lain tidak ada.