KUALA LUMPUR: Bir halal antara produk menarik yang dipamerkan di Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas) 2009 yang berlangsung di Pusat Pameran dan Konvensyen Matrade di sini, bermula kelmarin hingga Ahad ini.
Pengarah Eksekutif Malaysian Iranian Corporation (MIC) Sdn Bhd yang menjadi pembekal tunggal produk Istak di negara ini, Azizi Ahmad, berkata sungguhpun mempunyai rasa sama dengan bir lain, produk keluaran Iran berjenama berkenaan tidak memabukkan.
“Selain tidak mempunyai alkohol, Istak mempunyai pelbagai khasiat antaranya mencegah penyakit batu karang, mengurangkan tekanan, menjaga buah pinggang dan membakar lemak.
“Istak mampu memberi tenaga dan kesegaran selain mengurangkan kandungan lemak dalam badan,” katanya ketika ditemui, semalam.