balqis07
CG Top Poster Club

- Messages
- 30,953
Paid Membership
- Joined
- Jan 27, 2010
- Messages
- 30,953
- Reaction score
- 294
- Points
- 136
BAYANGKAN ketika anda menelusuri lorong gelap tiba-tiba kelihatan sekelompok anak kecil sedang bermain-main dengan riangnya, baju yang dipakainya comot dan persekitaran diwarnai bermacam ragam manusia. Terfikirkah anda apakah yang dilalui anak itu, tertanyakah anda bagaimana pula kehidupan seharian mereka.
Langsung tidak terlintas di benak ini adanya pusat jagaan Baitul Amal di tengah kesibukan kota raya. Pusat Jagaan Baitul Amal ini terletak di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur bersebelahan Hotel Puteri Park terbahagi kepada dua bahagian iaitu Taska Baitul Amal dan Pusat Jagaan Baitul Amal Chow Kit.
Tiada bayaran
Kebanyakan anak-anak ditempatkan di sini terdiri daripada anak-anak Chow Kit yang ibu dan bapa mereka bekerja di sekitar kawasan terbabit. Menurut penyelianya, Roza Suranti Romli, 39, ada juga ibu bapa yang bukan warganegara Malaysia menghantar anak mereka berikutan mahu anak dijaga dan diasuh dengan sempurna semasa mereka mencari rezeki.
“Di sini terdapat lebih kurang 120 kanak-kanak dari bayi sehingga sembilan tahun. Kami menjaga anak-anak ini tanpa mengenakan sebarang bayaran, ibu bapa hanya perlu menyediakan baju untuk dipakai anak, yang lain kami sediakan termasuklah lampin pakai buang.
“Walaupun tidak menerima bayaran tetapi kami menyarankan ibu bapa supaya membuat kerja-kerja sukarelawan seperti membaiki barangan yang rosak seperti kipas sekurang-kurangnya minimum dua jam dalam sebulan. Dan ramai ibu bapa memberi reaksi positif terhadap kerja amal ini,” katanya dalam pertemuan bersama Rehal sempena kunjungan Yayasan Nur Karangkraf dan Unit Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dari Kumpulan Media Karangkraf Sdn Bhd pada 6 Mac lalu.
Menurutnya, jika ibu bapa menghantar anak kecil mereka ke pusat jagaan lain, banyak kos perlu dikeluarkan dan kebanyakan pusat sedemikian mahal harganya. Tambahan pula, kelengkapan di sini cukup dan tersedia untuk anak-anak.
Taska Baitul Amal Chow Kit ditubuhkan sejak Julai 2010 manakala pusat jagaan Baitul Amal Chow Kit mula beroperasi sejak Julai 2011. Kedua-dua pusat jagaan ini mempunyai lesen dan berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Pusat jagaan ini menekankan pengambilan anak-anak daripada ibu bapa yang berpendapatan di bawah paras kemiskinan (Sekarang terdapat lebih 200 senarai nama menunggu)
Pemeriksaan tubuh badan
Roza Suranti atau panggilan mesranya cikgu Roza menceritakan, di sini terdapat seorang pekerja sosial yang ditugaskan untuk meninjau bagaimana cara kehidupan anak-anak di rumah, selain menyelidiki karakter sebenar ibu bapa anak-anak di sini.
“Sebaik ibu bapa menghantar anak-anak mereka, kami akan memeriksa badan anak-anak di hadapan ibu bapa. Kami risau jika semasa di rumah mereka dipukul atau disepak terajang.
“Cara sebegitu adalah langkah terbaik memandangkan anak-anak tidak akan membuka mulut memberitahu apa yang dilakukan ibu bapa mereka. Jika kami tidak prihatin sudah tentu anak-anak ini tertekan,” jelasnya.
Beliau berkata, pernah terdapat kes di mana anak-anak datang ke pusat jagaan lalu mengaplikasikan perlakuan ibu bapa mereka di rumah kepada kawan-kawan. Apabila berlakunya situasi itu, pihak kami akan memanggil ibu bapa dan mengadakan sesi kaunseling bagi mengelakkan berlakunya perkara yang tidak dingini.
Dedahkan dunia baik
Sementara itu, Naib Presiden Komunikasi Korporat Al Rajhi Bank, Roseta Mohd Jaafar berkata, pihaknya menjalankan kajian terhadap golongan gelandangan sekitar Chow Kit dan mendapat tidak ada pusat jagaan khusus untuk kanak-kanak yang berusia dari 0 ke 5 tahun. Al Rajhi Bank adalah korporat pertama memulakan dan membiayai sepenuhnya pusat jagaan untuk komuniti di Malaysia
"Kami terpanggil dan berasakan inilah tanggungjawab sosial korporat yang perlu dipandang serius. Komuniti Chow Kit ini perlu dibantu, lihatlah ramainya anak-anak yang mengikut ibu bapa mereka bekerja ekoran tidak ada tempat bagi menempatkan anak-anak kecil ini.
“Sampai hatikah kita membiarkan anak-anak melihat setiap inci pekerjaan ibu bapa mereka dan mempraktikkan perbuatan itu dalam usia yang cukup muda,” katanya.
Benar Chow Kit sememangnya terkenal sebagai tempat yang mempunyai banyak unsur negatif sehingga ada sesetengah golongan profesional yang tidak mahu menjejakkan kaki ke tanah itu, tetapi menurut Roseta, jika berterusan dengan sikap sedemikian siapakah akan membantu anak-anak yang langsung tidak diminta lahir daripada rahim perempuan sedemikian.
Jangan terkejut jika adanya hierarki pelacur dengan moyang, nenek, ibu, anak, cucu dan cicit menggalas pekerjaan sebagai pekerja seks di lorong-lorong gelap Chow Kit.
1.2 Juta setahun untuk anak-anak Chow Kit
Setiap tahun Al Rajhi Bank memperuntukkan sebanyak RM1.2 Juta untuk tiga pusat penjagaan iaitu dua di Chow Kit dan satu di Petaling Jaya (menempatkan kanak-kanak yang dilindungi terlibat dengan aktiviti tidak bermoral).
“Jumlah itu besar, kerana itulah kami berkolaborasi dengan tenaga pengajar serta pengasuh untuk memberikan perkhidmatan terbaik. Kami menyediakan setiap apa yang diperlukan bagi tumbesaran anak-anak seperti persekitaran, buku-buku dan makanan terbaik.
“Kami mahu kanak-kanak ini tahu bahawa selain hidup bersama ibu bapa mereka, masih ada lagi kehidupan lain lagi indah dan sempurna lengkap dengan pelbagai kemudahan,” kata Roseta.
Runtun hati ini apabila diberitahu ada seorang ibu yang tidak berkemampuan tetapi mahu anaknya dijaga dengan penjagaan yang rapi datang merayu kepada pihak kami supaya dihulurkan sedikit bantuan. Alangkah murninya hati sang ibu, sanggup merayu untuk dunia baik anaknya.
sumber:http://www.sinarharian.com.my/rencana/warna-warni-dunia-anak-chow-kit-1.139851