ZONDA
Legendary Member

- Messages
- 14,904
- Joined
- Feb 8, 2011
- Messages
- 14,904
- Reaction score
- 46
- Points
- 120
Enam wanita warga Kemboja yang berjaya diselamatkan Jabatan Imigresen Kedah.
BUKIT KAYU HITAM - Tindakan seorang wanita disyaki cuba membawa masuk enam wanita warga Kemboja ke negara ini berjaya dipatahkan Jabatan Imigresen Kedah, di sini, petang kelmarin.
Wanita warga tempatan berusia 48 tahun itu, disyaki cuba memperdagangkan wanita warga Kemboja tersebut dengan menjanjikan pekerjaan tertentu.
Pengarah Imigresen Kedah, Mohamad Yusri Hashim berkata, tindakan pantas pihaknya berjaya menyelamatkan semua mangsa sekali gus menahan suspek.
Menurutnya, bertindak atas maklumat, semua mereka berjaya ditahan di Kompleks Imigresen dan Kastam (ICQS) Bukit Kayu Hitam kira-kira jam 4.30 petang.
"Siasatan mendapati enam wanita Kemboja berumur antara 23 hingga 29 tahun berasal dari beberapa tempat seperti di Battambang, Siem Reap, Kandal dan Kampong Cham di Kemboja.
"Semua warga asing itu dikatakan menaiki sebuah kenderaan dari Kemboja ke negara jiran, Thailand melalui jalan darat pada malam 1 Mei sebelum masuk ke negara ini," katanya.
Dalam pada itu, menurutnya, wanita warga tempatan itu ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah kerana kesalahan mengikut Akta Anti Pemerdagangan Manusia dan Penyeludupan Migran.
"Siasatan awal mendapati wanita terbabit menjanjikan pekerjaan di Kuala Lumpur kepada warga asing.
"Semua mereka (mangsa) memiliki dokumen perjalanan sah dan dihantar ke rumah perlindungan buat sementara waktu," katanya.