ZONDA
Legendary Member

- Messages
- 14,904
- Joined
- Feb 8, 2011
- Messages
- 14,904
- Reaction score
- 46
- Points
- 120
ALOR SETAR, 7 Mei -- Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir (kanan) meneliti buku hasil karya Dr. Muddathir Abd Al-Rahim pada Majlis Forum dan Pelancaran Buku Hak Asasi Kemanusiaan (HAK) Dalam Tradisi Islam di Dewan Seri Mentaloon di sini, hari ini.Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Agama, Hal Ehwal Masyarakat India dan Siam, Sumber Tenaga Manusia dan Pelancongan negeri, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid (kiri).--fotoBERNAMA (2015) HAKCIPTA TERPELIHARA
ALOR SETAR 7 Mei – Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir menasihatkan masyarakat supaya tidak ‘menelan bulat-bulat’ berita oleh media-media asing tentang hak asasi kemanusiaan kerana mereka mempunyai agenda masing-masing.
Mukhriz menegaskan, sebagai contoh konflik di Asia Barat iaitu antara Israel dan Palestin di mana media antarabangsa memaparkan Israel sebagai pihak yang teraniaya dan bertindak mempertahankan diri daripada keganasan Palestin.
Katanya, ada kuasa monopoli dari segi maklumat yang disebarkan ke seluruh dunia yang membentuk pemikiran dan pendirian mengikut agenda serta nilai-nilai tertentu.
“Dunia disogok dengan maklumat-maklumat beragenda dan terancang. Kuasa mutlak media ini dapat menjadikan yang 'bersalah tidak bersalah' dan yang hitam menjadi putih.
"Yang bahayanya adalah orang ramai dapat diselewengkan pemikiran dan pandangan masyarakat dunia dikaburi dari melihat kebenaran," katanya ketika berucap merasmikan Forum Hak Asasi Kemanusiaan Dalam Tradisi Islam di Dewan Seri Mentaloon dekat sini hari ini.
Berucap lanjut kata Mukhriz, hak asasi kemanusiaan tidak seharusnya hanya dimonopoli dunia Barat kerana di dalam Islam perkara mengenainya telah lama wujud.
"Islam adalah agama yang memberi hak yang sama kepada semua manusia, yang merentasi bangsa, warna kulit, taraf sosial dan darjat. Hak asasi kemanusiaan dalam tradisi Islam memperjuangkan hak dan tanggungjawab," katanya.
Tambah beliau, hak asasi kemanusiaan adalah perjuangan jangka panjang yang perlu berdasarkan kepada nilai-nilai sesuatu kumpulan manusia.
“Manakala hak asasi kemanusiaan dalam konteks Islam perlu melihat kepada keseluruhan umat manusia dan bukan satu-satu
kelompok sahaja.
Menyentuh tentang forum tersebut, kata Mukhriz, ia diharapkan membuka dialog baharu dalam kalangan rakyat bahawa hak asasi kemanusiaan yang dijadikan ideologi Barat bukanlah satu monopoli mereka.
"Saya berharap forum ini dapat menimbulkan kesedaran dan tercetusnya perbincangan serta pemahaman apa itu hak asasi kemanusiaan. Lebih lagi, apa hak asasi kemanusiaan dalam tradisi Islam, " katanya.