balqis07
CG Top Poster Club

- Messages
- 30,953
Paid Membership
- Joined
- Jan 27, 2010
- Messages
- 30,953
- Reaction score
- 294
- Points
- 136
Penduduk kampung menunjukkan ular sawa yang berjaya ditangkap selepas membelit seekor kambing di Kampung Pudu
< 1 / 1 >
SEGAMAT - Misteri kehilangan beberapa ekor haiwan ternakan milik penduduk Kampung Pudu, di sini, sejak kebelakangan ini, akhirnya terjawab dengan tertangkapnya seekor ular sawa sepanjang enam meter, malam kelmarin.
Reptilia yang dianggarkan seberat 80 kilogram itu ditemui penduduk, Sharuddin Talib, 36, ketika dia sedang membersihkan semak samun di kebunnya kira-kira jam 6.30 petang.
Menurutnya, dia yang bersendirian di kebun ketika itu, tiba-tiba dikejutkan dengan bunyi kambing yang seolah-olah sedang bergelut dan mengerang kesakitan.
“Disebabkan perasaan ingin tahu, saya cuba cari arah bunyi tersebut sebelum melihat semak samun di kawasan berhampiran bergerak dan terkejut apabila melihat seekor ular sawa yang besar sedang membelit seekor kambing.
“Saya tergamam melihat kejadian itu sebelum cuba menangkap reptilia berkenaan, tetapi tidak berjaya kerana ular tersebut bertindak ganas dengan cuba menyerang saya pula,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Sharuddin berkata, dia kemudian menghubungi beberapa rakannya untuk membantu menangkap reptilia itu kerana bimbangkan keselamatan dirinya yang berseorangan ketika itu.
Katanya, ketika rakan-rakan tiba, reptilia terbabit sudah tiada di kawasan berkenaan dan hanya meninggalkan bangkai kambing yang dipercayai milik salah seorang penduduk kampung.
“Kami ketika itu kira-kira seramai 15 orang kemudian cuba mencari ular tersebut dengan menyelusuri jejak yang ditinggalkan di kawasan berhampiran dan kira-kira pukul 7.30 malam dan menemui ia sedang berehat berhampiran kawasan anak sungai.
“Sebelum ini, memang ramai penduduk kampung yang mengadu kehilangan binatang ternakan mereka secara misteri seperti ayam dan kambing. Sebelum ini juga kami pernah menangkap ular sawa yang besar, tetapi di kawasan yang lain,” katanya.
Dia berkata, kawasan kampung itu boleh dikatakan terdapat banyak binatang buas malah tidak menolak kemungkinan kewujudan reptilia yang sama kerana lokasinya berhampiran kawasan sungai dan hutan tebal.
Setelah melakukan perbincangan dengan penduduk kampung, ular terbabit tidak akan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
Sebaliknya mereka sepakat mengambil keputusan akan melepaskan ular terbabit kembali ke dalam hutan yang terletak tidak beberapa jauh dari kampung itu.
SUMBER:http://www.sinarharian.com.my/edisi/johor/ular-sawa-6-meter-baham-kambing-1.314785