ZONDA
Legendary Member

- Messages
- 14,904
- Joined
- Feb 8, 2011
- Messages
- 14,904
- Reaction score
- 46
- Points
- 120
Persatuan Seni Silat Cekak, UiTM Kelantan lawat Australia bagi mendapatkan pendedahan dan menimba ilmu baharu.
MACHANG - Persatuan Seni Silat Cekak Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan melebarkan sayap dengan menjayakan program pengantarabangsaan, Galactic Volunteer to Melbourne, Australia.
Program melibatkan 11 mahasiswa terdiri daripada ahli jawatankuasa dan seorang pegawai pengiring itu bertujuan memberi pendedahan dan membuka minda mahasiswa mencakupi pelbagai aspek.
Pengarah projeknya, Fatin Syafawani Cik Osman berkata, antara lokasi yang mereka lawati ialah Universiti Melbourne yang merupakan universiti tertua di wilayah Victoria dan kedua tertua di Australia.
Selain itu katanya, Universiti Melbourne juga berada di kedudukan pertama antara universiti dalam Australia dan ke-34 antara universiti di seluruh dunia.
"Kami juga berpeluang ke Universiti RMIT yang merupakan antara universiti terkemuka di Melbourne. Universiti RMIT adalah universiti bertaraf lima bintang berdasarkan penarafan QS Stars. Universiti ini berada di kedudukan 15 teratas dalam kalangan universiti di Australia dengan menawarkan lebih 800 program pengajian seperti sains komputer, pengurusan maklumat, pendidikan, undang-undang dan banyak lagi," katanya, semalam.
Kata Fatin Syafawani lagi, lawatan akademik seumpama itu pula merupakan antara cara untuk menjalinkan hubungan antara mahasiswa UiTM dengan mahasiswa dari universiti luar negara.
Sementara itu, pegawai pengiring yang juga Penolong Pendaftar Hal Ehwal Pelajar, Ruslinda Razak berkata, perkongsian ilmu dan pengalaman mampu membantu mahasiswa mencari idea baharu yang boleh diaplikasikan dalam pengurusan lebih efektif.
Katanya, pendedahan berterusan perlu bagi membentuk sifat kepimpinan mahasiswa supaya lebih berdaya saing.
"Program seperti ini dapat membuka peluang kepada peserta untuk menimba pengalaman dan ilmu baharu di luar negara, yang boleh dikongsi dengan penuntut lain bagi melahirkan mahasiswa yang berupaya menjadi pemangkin kecemerlangan negara.
"Selain itu, ia juga mampu menaikkan nama UiTM Kelantan sendiri," katanya.
Bagi Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UiTM Kelantan, Mohd Faisal Abdul Rahim pula, usaha itu adalah alternatif baharu yang perlu diteruskan bagi meningkat kesedaran mahasiswa dalam membentuk hala tuju lebih cemerlang.
Justeru, beliau harap penganjuran itu dapat diteruskan lagi pada masa akan datang.