ZONDA
Legendary Member

- Messages
- 14,904
- Joined
- Feb 8, 2011
- Messages
- 14,904
- Reaction score
- 46
- Points
- 120
Pada 15 Januari lalu, Perusahaan Otomobil Kedua (Perodua) Sdn. Bhd. (Perodua) telah melancarkan model Myvi baharu yang merupakan kereta kegemaran rakyat Malaysia.
Penulis lebih suka menyebut Myvi yang dinaik taraf kerana reka bentuknya mengalami transformasi yang tidak terlalu ultra sedangkan saiznya pula tidak banyak berubah jika dibandingkan dengan model-model Myvi sebelumnya.
Transformasi paling jelas ialah pada model Myvi 1.5L Advance dengan bampar yang disolek untuk kelihatan garang, gril honeycomb hitam dan lampu utama ditajamkan serta ditambah dengan lampu nyalaan siang yang tidak berfungsi secara automatik.
Lampu nyalaan siang ini perlu dihidupkan sedangkan kebelakangan ini telah banyak kereta yang menggunakan lampu nyalaan siang secara automatik sebagai tarikan jualan.
Bahagian belakang juga mendapat suntikan baharu dengan kemasan gril hitam di bampar dan spoiler dibentuk untuk lebih aerodinamik.
Model ini dipasang dengan rim aloi 14 inci dengan lima bilah jejari yang unik dihiasi warna sedikit gelap untuk melengkapkan imej garang.
Penulis akui untuk Myvi ini, ia seperti mahu menampilkan imej garang dan sporty yang keluar daripada imej kereta keluarga seperti sebelum ini. Bagaimanapun, imej sisinya tidak banyak yang berubah.
Dari segi hiasan dalaman, model Myvi 1.5L Advanced yang dipandu penulis didatangkan dengan kerusi kulit gelap dengan calitan warna merah pada bahu. Paling unik ada pencangkuk pada sisi kerusi hadapan penumpang untuk menyangkut air teh tarik atau beg.
Ini membolehkan pemandu wanita khususnya menyangkut beg tangan mereka pada penyangkut tersebut dan seterusnya membantu mengurangkan jenayah ragut yang menyasarkan beg di dalam kereta.
Papan pemukanya juga tidak banyak berubah cuma terdapat pemegang cawan di bahagian kanan meter pada corong pendingin hawa yang di krom, sistem multimedia yang membolehkan cakera padat video (VCD) dimainkan.
Jika anda menggunakan navigasi, semua pusat jualan dan servis Perodua yang berhampiran jalan yang anda lalui akan disebut satu demi satu. Satu kelainan yang menarik.
Bagi menguji enjin Myvi 1.5L Advance ini, penulis memilih laluan ke Sepang untuk ke Seremban, kemudian ke Hulu Selangor dan seterusnya ke Tanjung Malim sebelum pulang ke Kuala Lumpur. Ia adalah kombinasi lebuh raya dan jalan kampung yang menarik.
Deruman enjinnya 3SZ-VE DOHC, 16 injap dengan enjin berjujukan injap dinamik (DVVT) tidak terlalu kuat, cuma ketika menekan pedal minyak dengan agresif, bunyi sedikit bising akan memasuki kabin. Tetapi bunyi itu tidaklah menjejaskan pemanduan.
Kuasanya iaitu 102 hp (136 Nm) 16V juga sepadan dengan saiz model itu. Penulis sempat memecut sehingga 170 kilometer sejam (km/j) dengan memuatkan tiga orang dewasa dan seorang kanak-kanak. Kuasa yang mengagumkan untuk model tersebut.
Cuma kedudukan gear transmisi pada sebelah bawah papan pemuka memberi sedikit ketidakselesaan untuk bermain gear ketika memecut dan mengambil selekoh.
Sebagai sebuah model hatchback, jarak roda yang pendek membantu mengharungi selekoh tajam dengan mudah pada kelajuan yang agak tinggi. Pada kelajuan 100 km/j, selekoh tajam bukanlah satu masalah kepada pemandu amatur yang cuba menjadi pemandu profesional.
Myvi Advance ini juga didatangkan dengan sensor hadapan sebagai panduan untuk meletak kereta. Sensor itu boleh dimatikan dengan satu butang bagi mengelak bunyi ketika memandu atau berada dalam kesesakan jalan raya.
Apa yang boleh disimpulkan untuk model Myvi 1.5L Advance ini, ia masih mengekalkan formula sebagai kereta pilihan rakyat Malaysia. Sebuah model yang `sedap’ dipandu dan boleh `dilanyak’ untuk perjalanan yang jauh atau mengharungi kesesakan di bandar.