ZONDA
Legendary Member

- Messages
- 14,904
- Joined
- Feb 8, 2011
- Messages
- 14,904
- Reaction score
- 46
- Points
- 120
Wan Yaacob (kanan) menunjukkan kubur Allahyarham Tok Mekong Wan Mat Hasan yang disemadikan di tanah perkuburan Islam Kampung Baroh Pial.
ASAL-USUL Kampung Baroh Pial bermula dengan sepohon sepial yang tumbuh di baroh, bermaksud bendang dalam dialek Kelantan.
Bekas Ketua Kampung, Wan Yaacob Wan Hamad, 75, berkata, kampung itu dipercayai diberi nama sekitar 1908 oleh ketua kampung ketika itu dikenali sebagai Tok Mekong.
Katanya, sesuai dengan gelaran Tok Mekong atau ketua dalam bahasa Thailand, Wan Mat Hasan Wan Yusoff banyak membantu penduduk dalam pelbagai masalah.
"Tok Mekong Wan Mat Hasan terkenal dengan ilmu kebatinan, malah pernah cabar kekuatan dengan harimau.
"Kampung ini ketika itu dikelilingi hutan belantara, maka penduduk mengamanahkan Tok Mekong untuk menjaga lembu dan kerbau mereka. Ini kerana binatang liar ketika itu seakan gerun untuk membaham mana-mana binatang ternakan Tok Mekong," katanya.
Menurut Wan Yaacob yang merupakan generasi keempat Tok Mekong, Allahyarham pernah mengejar seekor harimau sehingga ke Bukit Jarum dan Bukit Budu.
Katanya, penduduk pernah mendengar ngauman harimau selama beberapa hari, seolah-olah meminta maaf kerana membaham tiga lembu ternakan penduduk dan dalam masa sama cuba melarikan diri daripada lembing Tok Mekong.
Selain itu, katanya, antara peristiwa misteri yang berlaku di kampung itu selepas Tok Mekong meninggal dunia, penduduk mendakwa melihat banyak binatang meletakkan panji buluh di sekitar kubur.
"Tok Mekong adalah orang Islam pertama dikebumikan di tanah perkuburan di kampung ini, namun disebabkan ia dikelilingi hutan, tidak ramai penduduk berani menjejakkan kaki ke sana. Disebabkan itulah, penduduk percaya kubur Tok Mekong keramat kerana gajah dan binatang
lain meletakkan panji buluh dengan kibaran bendera putih.
"Penduduk tak mahu percaya kerana dikhuatiri khurafat, namun usikan ibu bapa untuk mandikan anak kecil yang menangis tanpa henti di kubur Tok Mekong, berjaya redakan tangisan mereka serta-merta," katanya.