TXT
CG Super Hardcore Club






- Messages
- 459,502
Paid Membership
- Joined
- Mar 15, 2010
- Messages
- 459,502
- Reaction score
- 38,197
- Points
- 2,836
“PAKEJ tidak lengkap.” Demikian reaksi ketua jurulatih perseorangan, Rashid Sidek ketika diminta mengulas mengenai prestasi pemain elit negara yang langsung tidak menampakkan peningkatan.
Selain jaguh perseorangan, Datuk Lee Chong Wei, tidak ada mana-mana pemain yang dilihat menyerlah apatah lagi mahu merangkul kejuaraan dalam mana-mana kejohanan.
Ironinya, Chong Wei telah berjaya merangkul kejuaraan buat kali kelapan pada Kejohanan Badminton Siri Super Terbuka Malaysia 2012 kelmarin, namun pemain-pemain perseorangan elit yang lain masih ditakuk lama.
Dua pemain perseorangan, Liew Daren dan Mohd. Arif Latiff yang turut beraksi pada kejohanan tersebut masih gagal menampakkan impak yang positif.
Prestasi Daren mungkin lebih baik sedikit kerana berjaya mara ke pusingan pertama, namun Arif terkandas di pusingan kelayakan.
Bagaimanapun, kejayaan mara ke pusingan pertama tidak membawa apa-apa makna buat Daren apabila ditunjukkan jalan keluar selepas tewas ditangan Chong Wei.
Bukan kekalahan di tangan Chong Wei yang mahu dipersoalkan kerana jurang memang terlalu besar buat Daren jika hendak dibandingkan dengan pemain No. 1 dunia.
Namun, apa yang ingin diperkatakan adalah aksi Daren yang dilihat langsung tidak melawan ketika berdepan Chong Wei.
Rashid yang diminta mengulas mengenai perkara tersebut mengakui bahawa beliau sendiri tidak tahu apa yang menjadi punca utamanya.
“Jika hendak kata dia (Daren) tidak pernah berdepan dengan Chong Wei, itu tidak boleh dijadikan alasan sama sekali. Ini kerana dia merupakan rakan sparring (rakan sepelatih) Chong Wei.
“Dia sepatutnya menjadikan perkara ini sebagai suatu kelebihan buat dirinya.
“Senang cerita, barisan pemain perseorangan elit yang ada ketika ini masih belum cukup pakej untuk menjadi pengganti kepada Chong Wei.
“Saya sendiri tidak tahu apa yang mereka fikirkan. Mereka langsung tidak menujukkan kesungguhan serta semangat juang yang tinggi untuk melakar kejayaan,” kata Rashid ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Justeru, Rashid berkata, pihaknya akan mengalihkan fokus kepada barisan pemain pelapis seperti Misbun Ramdan Misbun dan Goh Soon Huat yang berada di bawah kendalian Hendrawan.
“Kita tidak ada pilihan. Kita kena sediakan pemain-pemain ini daripada sekarang. Mereka 10 hingga 12 kejohanan setahun untuk disertai dan diharapkan akan mempamerkan peningkatan dari semasa ke semasa.
“Untuk terus beraksi pada kejohanan-kejohanan bertaraf Siri Super memang suatu yang sukar kerana kedudukan ranking yang terlalu jauh tetapi kita akan buat peringkat demi peringkat.
“Bermula dengan kejohanan satelite, GP (Grand Prix) Emas dan kejohanan antarabangsa. Jika kedudukan ranking sudah semakin baik nanti barulah boleh beraksi dalam kejohanan siri super,” jelas Rashid.