ZONDA
Legendary Member

- Messages
- 14,904
- Joined
- Feb 8, 2011
- Messages
- 14,904
- Reaction score
- 46
- Points
- 120
Penduduk kesal kerana sebelum ini mereka dimaklumkan perancangan projek amat teratur.
SUNGAI UDANG - Lebih 3,000 penduduk melibatkan 800 kediaman di Taman Indah, di sini terpaksa menghidu bau busuk sejak pengoperasian tapak pelupusan sampah baharu, di sini bermula 1 April lalu.
Biarpun jarak antara tapak pelupusan dengan taman berkenaan kira-kira satu kilometer, namun mereka tetap menghidu bau busuk khususnya selepas hujan, di waktu pagi dan bertambah buruk apabila musim angin yang berlaku ketika ini.
Pengerusi taman, Raja Azhar Raja Majid berkata, akibat masalah itu, mereka yang menetap di taman terbabit hampir empat tahun lalu sudah mengurangkan aktiviti riadah di luar rumah.
"Keharmonian taman memang tergugat apabila masing-masing hanya duduk di dalam rumah dan jika berjumpa di surau, isu bau busuk ini sering menjadi perbualan.
"Kita berharap sangat Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron prihatin dengan penduduk sekitar yang mahu masalah ini diselesaikan segera.
"Kami tidak menolak pembangunan tetapi saya berharap pengoperasian pelupusan di sini bertambah baik daripada Krubong," katanya.
Penduduk, Zohari Abd Rahim, 50, berkata, dia amat kesal kerana sebelum ini penduduk diterangkan pihak bertanggungjawab bahawa perancangan projek amat teratur yang menggunakan teknologi insinerator.
"Kalau kami tahu inilah kesannya, sudah pasti penduduk akan membuat bantahan sebelum projek ini dilaksanakan," katanya.
Beliau turut meminta agensi bertanggungjawab termasuk kerajaan negeri sedia mengadakan dialog dalam masa terdekat bersama penduduk bagi mencari penyelesaian terbaik terutamanya mengatasi masalah bau busuk.
Belum disembur bahan enzim
Sementara itu, ketika tinjauan Sinar Harian di tapak pelupusan terbabit, difahamkan masih tiada penyemburan bahan enzim bagi mengurangkan kadar bau busuk selain pihak operator hanya bertindak menutupi sampah dengan tanah.
Aduan penduduk turut mendapat perhatian Pengarah Solid Waste Corporation (SW Corp) negeri, Ir Zainuddin Abdul Samad yang berkata, pihaknya mengarahkan langkah segera dilakukan antaranya penyemburan enzim berkenaan.
Menurutnya, pihaknya menyedari masalah itu yang sepatutnya tidak berlaku susulan tapak pelupusan terbabit dibina menerusi kaedah secara selamat dan mendapat kelulusan pelbagai agensi terutamanya Jabatan Alam Sekitar (JAS).
"Tapak ini dibina melibatkan hampir RM49 juta dan jarak zon penampan adalah satu kilometer di antara kediaman penduduk iaitu jarak diluluskan JAS yang diharapkan memang tidak berlaku pencemaran bau.
"Ruang perairan memerangkap air licik juga begitu baik sebelum dialirkan ke loji rawatan untuk diproses secara biologikal.
"Manakala, paip untuk pengaliran gas seperti gas metana juga dibina yang kemungkinan boleh menjana sumber tenaga baharu," katanya.
Beliau berkata, beberapa penambahbaikan baharu digunakan di tapak pelupusan itu antaranya menerusi mesin pengasingan sisa pepejal untuk dikitar semula (MRF).
Menurutnya, MRF yang bakal beroperasi penghujung bulan ini dijangka akan memproses sampah untuk dikitar semula sehingga 80 peratus, sekali gus dijangka mengurangkan kadar penggunaan tapak pelupusan.
"Sekurang-kurangnya 1,200 tan sampah diterima setiap hari dari sekitar bandaraya Melaka yang kebanyakannya boleh dikitar semula.
"Kita turut menggariskan beberapa cadangan baru bagi menambah baik sistem sedia ada menerusi teknologi lebih baik tanpa penggunaan insinerator selain berusaha mengurangkan kemasukan sampah ke tapak pelupusan," katanya.
Bagaimanapun, beliau amat berharap penduduk sekitar dapat memberi kerjasama baik dan bersabar dengan pengoperasian tapak baharu itu yang dijangka masalah pencemaran bau akan diselesaikan secara berperingkat.