ZONDA
Legendary Member

- Messages
- 14,904
- Joined
- Feb 8, 2011
- Messages
- 14,904
- Reaction score
- 46
- Points
- 120
Api marak dan memusnahkan empat deret kedai awal pagi semalam.
BANTING - Pelanggan sebuah restoran makanan berhampiran sebuah bank di Pekan Banting telah dikejutkan dengan kebakaran empat buah kedai awal pagi semalam.
Kejadian berlaku kira-kira jam 3.15 pagi itu disedari pelanggan restoran berkenaan apabila melihat asap dari arah berhampiran.
Seorang pelanggan, Rashid Abdullah, 27, berkata, dia bersama tiga lagi rakannya baru selesai menonton perlawanan bola di kedai makan dan terkejut apabila mendapat maklumat deretan kedai di kawasan itu terbakar.
Menurutnya, ketika kejadian api sudah marak dan orang awam berhenti melihat kejadian itu sebelum bomba tiba.
Pengusaha kedai suratkhabar, Teh Yoke Eng, 71, berkata ketika kejadian dia tiada di kedai namun dimaklumkan oleh orang awam.
Katanya, dia sedih apabila kejadian kebakaran itu berlaku di kedainya yang sudah beroperasi sejak 40 tahun lalu.
"Kesemua barangan jualan musnah termasuk majalah dan suratkhabat lama yang hendak dipulangkan, televisyen dan perkakas dapur.
"Manakala wang tunai dan dokumen penting seperti kad pengenalan musnah tetapi mujur pasport selamat kerana disimpan di dalam peti besi," katanya.
Yoke Eng berkata, buat masa ini dia terpaksa berpindah di rumahnya di Taman Banting Jaya dan mengedar suratkhabar dan majalah dari rumah.
Katanya, buat masa ini dia tidak dapat menganggarkan kerugian kerana masih dalam siasatan.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Banting, Mohd Jaslizad Jalil berkata, anggotanya menerima panggilan kebakaran tersebut kira kira jam 3.15 pagi dan tiba di lokasi lima minit kemudian.
Menurutnya, seramai 13 anggota bomba dari Balai Bomba Banting dan KLIA dikerahkan ke lokasi bagi membantu memadamkan api yang melibatkan empat premis jenis papan.
"Empat buah kedai yang terbakar termasuklah sebuah kedai suratkhabar, dua buah kedai yang tidak beroperasi lagi iaitu kedai makan, kedai menjual telefon bimbit dan sebuah lagi kedai yang masih dalam pengubahsuaian.
"Ketika kejadian api sudah marak dan kami terpaksa melakukan pemadaman menggunakan satu aliran dua pancutan nozzle 300 kaki dari pam jentera bomba," katanya.
Jaslizad memaklumkan, manakala punca air daripada pili bomba yang berhampiran dan bantuan daripada jentera KLIA pula diperlukan untuk membuat pemadaman dengan menggunakan satu aliran dua pancutan nozzle dari pam jentera bomba sehingga kebakaran tersebut dapat dipadamkan sepenuhnya .
Katanya, ketika kejadian tiada mangsa di kawasan itu manakala punca dan kerugian masih dalam siasatan.