ZONDA
Legendary Member

- Messages
- 14,904
- Joined
- Feb 8, 2011
- Messages
- 14,904
- Reaction score
- 46
- Points
- 120
Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Gerik, Asisten Superintendan Muhd. Zamzuri Mat Nawawi menunjukkan kereta pacuan empat roda jenis Isuzu D-Max (kiri) yang dikenal pasti menggunakan nombor pendaftaran palsu di Ibu Pejabat Polis Daerah Gerik, Perak, semalam.
GERIK 17 Ogos - Seorang pemilik kenderaan pacuan empat roda dari Pekan, Pahang terkejut apabila menerima 16 saman kesalahan memandu melebihi had laju yang dilakukan sekitar daerah ini meskipun tidak pernah ke kawasan tersebut.
Berikutan itu, dia bertindak nekad menempuh perjalanan hampir 600 kilometer semata-mata ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik, di sini membuat laporan meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan dan membatalkan samannya.
Kebimbangan lelaki berusia 41 tahun itu sememangnya berasas dan akhirnya terjawab apabila polis menemukan sebuah kereta serupa dengan nombor pendaftaran yang sama di Kampung Air Panas, di sini Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Manap Baharom berkata, mangsa datang membuat laporan Khamis lalu bertujuan meminta semua saman kenderaan Isuzu D-Max miliknya dibatalkan.
“Mangsa yang datang dari Pekan, Pahang mengakui amat pelik dengan saman yang diterimanya lebih-lebih lagi apabila dia tidak pernah sekali pun ke Gerik.
“Susulan daripada laporan mangsa, seorang lelaki berusia 43 tahun ditahan oleh empat pegawai trafik yang berjaya mengesan kenderaan itu di Kampung Air Panas. Turut dirampas ialah sebuah kenderaan Isuzu D-Max berwarna merah dengan nombor pendaftaran sama,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Abdul Manap, hasil siasatan mendapati kenderaan berkenaan dibeli oleh suspek kira-kira sembilan bulan lalu daripada seorang lelaki dengan harga RM36,000.
Tambah beliau, kenderaan berkenaan dipercayai sebuah kereta klon dari Singapura dan siasatan lanjut mendapati ia tidak mempunyai sebarang rekod dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ataupun disenaraikan sebagai kereta curi dalam rekod polis.
“Suspek bagaimanapun telah dibebaskan dengan jaminan polis dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan lelaki yang bertanggungjawab menjual kenderaan itu kepada suspek.
“Pembeli dan penjual akan didakwa. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan kesalahan memalsukan dokumen,” katanya.