ZONDA
Legendary Member

- Messages
- 14,904
- Joined
- Feb 8, 2011
- Messages
- 14,904
- Reaction score
- 46
- Points
- 120
Rusli Karim (dua dari kiri) bersama anggota UPP menunjukkan sebahagian daripada tembakau yang dirampas dalam satu serbuan di Kampung Banggol Chicha, Pasir Mas, Kelantan, semalam. UTUSAN/Wahidin Salim
KOTA BHARU 24 Ogos - Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) hari ini berjaya merampas 8,720 kilogram (kg) tembakau yang dianggar bernilai kira-kira RM400,000 selepas menyerbu sebuah stor di Kampung Banggol Chicha, Pasir Mas.
Dalam serbuan pada kira-kira pukul 2 pagi itu, tiada sebarang tangkapan yang dibuat selepas tujuh anggota dari unit berkenaan menunggu selama setengah jam berhampiran stor berkenaan.
Komander UPP negeri, Rusli Karim berkata, rampasan terbesar dalam tempoh tiga tahun itu dipercayai telah berjaya melumpuhkan sindiket yang didalangi warga tempatan dan Thailand.
“Hasil risikan dan intipan selama seminggu telah membuahkan hasil apabila kita berjaya menemukan 436 bandela tembakau yang diseludup dari Thailand untuk di kilangkan di pantai barat.
“Walaupun tiada tangkapan dibuat namun kita telah mengenal pasti suspek yang terlibat dalam sindiket ini. Usaha memburu mereka sedang giat dilakukan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut Rusli, sindiket yang menjalankan kegiatan haram sejak awal tahun itu dipercayai telah menyeludup tembakau berkenaan menerusi pengkalan haram di sepanjang sungai di sempadan Malaysia-Thailand.
“Sindiket berkenaan menggunakan pengkalan haram di sekitar Pasir Mas bagi mengangkut bekalan tembakau dari negara jiran berikutan faktor harga yang lebih murah berbanding di Malaysia.
“Kita percaya, aktiviti penyeludupan ini juga giat dilakukan kerana mahu mengelak daripada dikenakan cukai oleh kerajaan,” ujarnya.
Tambahnya, kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 51 Akta Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) dan Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.
Source: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/tembakau-bernilai-rm400-000-dirampas-1.128195