balqis07
CG Top Poster Club

- Messages
- 30,953
Paid Membership
- Joined
- Jan 27, 2010
- Messages
- 30,953
- Reaction score
- 294
- Points
- 136
Bahagian kiri muka dan telinga Me menerima beberapa jahitan. Dia kini tinggal sementara di rumah anak di Jerantut ditemani suami, Bain.
< 1 / 3 >
JENGKA - Meskipun hampir dua minggu berlalu, namun kejadian diserang seekor beruang matahari dewasa ketika keluar memancing di Hutan Simpan Tekam menyebabkan seorang nenek dalam trauma.
Insiden malang itu memberi kesan mendalam kepada mangsa, Me Enggar, 70, yang tinggal di Kampung Orang Asli Sematau sehingga tidak lena tidur apabila sering berasakan didatangi haiwan tersebut.
Mangsa parah di muka dengan telinga kiri hampir putus selain cedera di bahagian peha kiri apabila dicengkam kuku tajam beruang berkenaan ketika cuba memanjat pokok bagi menyelamatkan diri.
Nenek kepada 13 cucu itu menerima rawatan awal di Hospital Jengka sebelum dirujuk ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh selama dua minggu sebelum dibenarkan keluar, semalam.
Me berkata, kejadian bertembung dengan beruang matahari bersama seekor anak adalah yang pertama kali dilalui, namun tidak menjangka akan menjadi satu pengalaman ngeri.
“Sehingga sekarang, saya masih rasa takut dan sering terbayang beruang tersebut menyerang sehingga termimpi-mimpi setiap malam.
“Saya serik untuk pergi ke hutan termasuk memancing walaupun sudah biasa dengan kawasan hutan simpan itu.
“Biarlah ia menjadi kejadian pertama dan terakhir kerana ketika itu, saya hanya fikir mati,” katanya.
Direntap ketika memanjat pokok
Pada hari kejadian 27 Februari lalu, Me bersama suami ke hutan simpan tersebut bersama seorang anak berusia 12 tahun kira-kira jam 11 pagi dengan menunggang motosikal.
Me berkata, perjalanan ke destinasi untuk memancing memakan masa hampir satu jam menggunakan laluan balak di kawasan Sungai Paku.
“Selepas berhenti meletakkan motosikal di tepi jalan, kami bertiga berjalan kaki menghampiri sungai berkenaan sebelum mendengar bunyi dengus haiwan. Sebaik berpaling ke kiri, kami terkejut melihat seekor beruang bersama anak berada kira-kira 30 meter.
“Kami segera memanjat pokok paling dekat untuk menyelamatkan diri, namun beruang itu sempat memaut dan mencengkam peha kiri saya sebelum ditarik jatuh,” katanya.
Me berkata, dia cuba mempertahankan diri dengan menolak dan menendang beruang berkenaan yang turut mencakar bahagian kiri muka dan telinganya.
Menurutnya, beruang berkenaan beredar melarikan diri sebaik menyedari suami turun dari pokok untuk membantu, sementara anak bongsu yang berada di atas pokok menjerit ketakutan.
Satu jam menahan sakit
Suaminya, Bain Bura, 64, berkata dia cuba menghalau beruang itu agar pergi lebih jauh, namun berpatah balik ke arah isteri kerana bimbang keselamatan mereka tiga beranak bertambah teruk.
Katanya, Me terpaksa menahan kesakitan hampir satu jam di atas motosikal sepanjang perjalanan pulang ke rumah.
“Niat memang mahu halau beruang itu supaya jauh dari kami tetapi terfikir, jika saya pula yang diserang bagaimana mahu keluar dari hutan dalam keadaan sedemikian.
“Saya tiada pilihan dan terpaksa memangku isteri di depan motosikal melalui jalan balak yang berdebu bagi memastikan isteri segera dihantar ke hospital,” katanya.
Perhilitan terima laporan
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Khairiah Mohd berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian serangan beruang matahari di kawasan hutan simpan berkenaan membabitkan mangsa dari Kampung Orang Asli Sematau.
Menurutnya, susulan insiden tersebut, Perhilitan melakukan pemeriksaan untuk pemantauan di lokasi kejadian namun gagal mengesan haiwan berkenaan.
“Kawasan terbabit merupakan hutan simpan dan sememangnya menjadi habitat beruang matahari.
“Kami tidak menolak kemungkinan kejadian serangan ini berlaku kerana beruang tersebut terkejut atau rasa terancam apabila bertembung dengan mangsa selain cuba melindungi anaknya.
“Namun demikian, pemantauan akan terus dilakukan dan pada masa sama menasihati masyarakat Orang Asli yang masuk ke hutan untuk memancing atau mencari pokok herba supaya berwaspada,” katanya.
Khairiah turut meminta mereka yang terserempak atau menyedari kehadiran haiwan pemangsa di kawasan berdekatan penempatan agar melaporkan kepada Perhilitan untuk tindakan susulan.
INFO BERUANG MATAHARI
- Sejenis beruang yang terdapat di dalam hutan tropika Asia Tenggara.
- Juga dikenali sebagai beruang madu, yang merujuk kepada selera rakusnya untuk sarang lebah dan madu.
- Terdapat di dalam hutan hujan tropika di Asia Tenggara yang terdiri daripada utara-timur India, Bangladesh, Myanmar , Thailand, Semenanjung Malaysia, Laos, Kemboja, Vietnam untuk Wilayah Yunnan selatan di China, dan di kepulauan Sumatera serta Kalimantan.
- Dua ancaman utama kepada beruang ini adalah kehilangan habitat dan pemburuan secara komersial.