BTC USD 86,051.5 Gold USD 4,345.18
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Tanda kiamat besar

stealthmovic

Active+ Member
Messages
3,239
Joined
Oct 16, 2011
Messages
3,239
Reaction score
99
Points
40
1635654537838.png


Kiamat tidak akan terjadi sebelum tanda-tanda besar muncul selepas semua tanda-tanda kecil diperlihatkan kepada manusia akhir zaman. Terdapat beberapa tanda besar kiamat yang dinyatakan oleh Baginda Nabi SAW sebagai peringatan kepada umat Baginda.

Nabi SAW bersabda maksudnya: "Nabi SAW melihat ke arah kami ketika kami sedang berbincang. Baginda bersabda: "Apa yang kamu semua bincangkan?" Mereka menjawab: "Kami sedang berbincang tentang Hari Kiamat. Baginda bersabda: "Sesungguhnya Hari Kiamat itu tidak akan terjadi sehingga kamu melihat 10 tanda. Kemudian Baginda menyebut; asap, dajjal, binatang melata, terbitnya matahari dari tempat tengelamnya, turunnya Isa binti Maryam, Yakjuj dan Makjuj, gempa bumi yang melanda tiga iaitu di timur, di barat dan di tanah Arab. Dan yang terakhir daripadanya adalah api keluar dari Yaman, mengiringi sekalian manusia menuju ke tempat berkumpul mereka di padang Mahsyar." (Hadis Riwayat Muslim)

Pada hadis ini Baginda Nabi SAW memulakan gambaran berlakunya kiamat menerusi asap, dajjal, binatang melata, terbitnya matahari dari tempat terbenamnya, turunnya Isa AS, keluarnya golongan Yakjuj dan Makjuj, gempa yang melanda di kawasan timur, barat dan tanah Arab serta api yang keluar dari Yaman.

Pada hadis berikutnya, Nabi SAW bersabda maksudnya: Nabi SAW sedang berada di bilik tidurnya sedangkan kami berada di tempat yang paling rendah daripada Baginda. Kemudian Baginda menghampiri kami kemudian bertanya, "Apa yang kamu sedang bincangkan? Kami menjawab, "Hari Kiamat." Baginda bersabda: "Sesungguhnya Hari Kiamat itu tidak akan terjadi sehingga muncul 10 tanda: Gempa bumi di timur, barat dan Jazirah Arab, asap, dajjal, binatang melata, Yakjuj dan Makjuj, terbitnya matahari dari tempat tenggelamnya (barat) dan api yang keluar dari Jurang Aden membawa manusia pergi." Syu'bah berkata: "Abdul Aziz bin Thufail, daripada Abu Sarihah, seperti itu, tanpa menyebut Nabi SAW. Salah satu daripada keduanya berkata tentang tanda yang kesepuluh: Turunnya Nabi Isa bin Maryam. Sedangkan yang lain berkata, Angin yang mencampakkan manusia ke lautan." (Hadis Riwayat Muslim)

Pada hadis ini pula, Baginda Nabi SAW memulakan dengan gempa bumi di timur, barat dan Jazirah Arab kemudian disusuli pula dengan asap, dajjal, binatang melata, Yakjuj dan Makjuj, terbitnya matahari dari tempat terbenamnya, dan api yang keluar dari Jurang Aden.


Pada hadis berikutnya, Nabi SAW bersabda maksudnya: "Kiamat tidak akan berlaku sehingga kamu melihat sepuluh tanda: terbitnya matahari dari tempat tenggelamnya (barat), Yakjuj dan Makjuj, binatang, tiga gempa bumi iaitu di timur, di barat dan di Jazirah Arab, api yang keluar dari jurang Aden yang mengiringi dan mengumpul manusia kemudian dia bermalam bersama mereka di mana mereka bermalam, tidur siang bersama mereka di mana sahaja mereka tidur siang…Dia menambah: Dajjal dan asap…yang kesepuluh angin yang akan melemparkan mereka ke lautan atau turunnya Isa bin Maryam." (Hadis Riwayat al-Tirmizi)


Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Tarmizi ini pula, Baginda Nabi menjelaskan 10 tanda tersebut bermula dengan terbitnya matahari dari barat, disusuli pula dengan Yakjuj dan Makjuj, binatang melata, tiga gempa bumi yang melanda di tiga tempat, api yang keluar dari jurang Aden, kemudian dajjal, asap dan turunnya Nabi Isa AS.

Berdasarkan tiga hadis di atas, terdapat perbezaan kemunculan tanda kiamat besar. Tanda-tanda kiamat besar disebut secara menyeluruh dan bukan berdasar bukti urutan (kronologi). Buktinya adalah ada tanda yang didahulukan pada satu hadis dan diakhirkan pada hadis yang lain.

Berdasarkan tanda-tanda kiamat besar tersebut, Syeikh Muhammad Ahmad al-Mubayad menyatakan urutan tanda-tanda kiamat besar adalah seperti berikut:

1. Gempa bumi di timur

2. Gempa bumi di barat

3. Gempa bumi di Jazirah Arab yang terjadi menjelang kemunculan al-Mahdi

4. Dajjal

5. Turunnya Nabi Isa bin Maryam

6. Yakjuj dan Makjuj

7. Terbitnya matahari dari arah tenggelamnya.

8. Binatang yang melata berbicara kepada manusia

9. Api yang keluar dari Jurang Aden atau angin yang akan mencampakkan manusia ke lautan.

Urutan ini adalah berdasarkan pandangan yang diperoleh hasil penelitian dan pengkajian terhadap dalil yang berkaitan. Walaubagaimanapun, terdapat satu tanda yang tidak dipastikan kedudukannya iaitu asap (dhukan). Pandangan daripada Syeikh al-Mubayad menyatakan dhukan akan keluar lebih awal dan mungkin menjadi tanda pertama kiamat besar. Mungkin juga akan keluar asap selepas berlaku gempa di timur, barat dan Jazirah Arab.

Tanda-tanda besar kiamat ini akan muncul berturutan satu persatu seperti manik yang jatuh dari rantai yang putus, jika yang pertama muncul iaitu kemunculan Imam Mahdi yang lain akan menyusul satu persatu.

Nabi SAW bersabda maksudnya: "Keluarnya tanda-tanda Hari Kiamat itu adalah sebahagian demi sebahagian berturutan seperti rangkaian marjan yang dirangkai dengan tali." (Sahih al-Jami' Ash-Shaghir hadith)

Menurut pandangan Syeikh Yusuf al-Wabil urutan tanda kiamat besar ini akan bermula dengan setelah munculnya Al-Mahdi, kemudian dajjal. Isa bin Maryam akan turun bagi membunuh dajjal kemudian muncul pula Yakjuj dan Makjuj dan Nabi Isa berdoa kepada Allah SWT untuk membinasakan Yakjuj dan Makjuj. Nabi Isa berkata: "Maka Rabbku SWT berjanji kepadaku bahawa apabila keadaan sudah demikian, maka kiamat itu bagaikan wanita yang hamil tua yang telah sempurna kandungannya dan keluarganya tidak mengetahui bilakah mereka akan dikejutkan oleh kelahiran anaknya, pada waktu malam atau siang." (Hadis Riwayat Ahmad)

Perkara ini menunjukkan betapa dekatnya Hari Kiamat itu setelah keluarnya tanda-tanda tersebut. Antara wafatnya Nabi Isa dan datangnya Hari Kiamat itu terdapat beberapa tanda yang besar seperti terbitnya matahari dari barat, keluarnya binatang dari perut bumi, asap dan keluarnya api mengiringi manusia. Semua tanda ini akan terjadi dalam waktu yang singkat sebelum terjadinya kiamat.

Justeru, perkhabaran tanda kiamat berdasarkan tidak lari daripada fenomena besar yang akan berlaku kelak. Oleh itu, perkhabaran tersebut berupa peringatan besar buat umat akhir zaman agar tidak leka dengan kesenangan berupa pangkat, harta dan keseronokan yang berpanjangan.

Penulis Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

 
Isyarat besar hampir kiamat

BANYAKNYA pembunuhan dan peperangan antara perkara yang disebut oleh Rasulullah sebagai satu daripada tanda akhir zaman. FOTO AFP
BANYAKNYA pembunuhan dan peperangan antara perkara yang disebut oleh Rasulullah sebagai satu daripada tanda akhir zaman. FOTO AFP
Beberapa hari ini kita digemparkan dengan tragedi pembunuhan kejam berlaku di dua tempat berbeza. Kejadian menyayat hati ini rentetan daripada peristiwa pembunuhan manusia yang sentiasa berlaku di dunia dan Malaysia tidak terkecuali daripada berlakunya tragedi sedemikian.

Peristiwa pembunuhan ini antara isyarat besar yang dinyatakan oleh Nabi SAW sebagai tanda hampirnya dunia ini dengan kiamat. Menghampiri kepada saat itu, semakin banyak pembunuhan berlaku membabitkan banyak pihak. Perkara ini semakin hari menjadi parah dengan tragedi sedemikian menjadi kebiasaan dalam kalangan masyarakat.

Daripada Abdullah bin Mas'ud, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Menjelang kiamat nanti, hari banyak dipenuhi dengan al-Harj. Saat itu ilmu menjadi hilang dan kejahilan tersebar di mana-mana. Abu Musa berkata: 'al-Harj bermaksud pembunuhan menurut dialek orang Habsyi.'" Hadis Riwayat Al-Bukhari. Kitab al-Fitan, hadis no. 7067

Hadis ini menjelaskan maksud al-Harj yang merujuk kepada pembunuhan yang berlaku pada masa tertentu dan di antara sebabnya adalah tersebarnya kebodohan serta hilangnya ilmu.

Dalam riwayat lain, daripada Abdullah dan Abu Musa RA, mereka berkata, Nabi SAW bersabda maksudnya: "Apabila hampirnya berlaku kiamat, akan terjadi hari-hari berlakunya kejahilan, diangkat daripadanya ilmu dan berleluasanya al-Harj. Al-Harj adalah pembunuhan." Hadis Riwayat Al-Bukhari. Kitab al-Fitan, hadis no. 6538

Dalam hadis berikutnya, daripada Abu Hurairah RA, baginda Nabi SAW bersabda: "Tidak akan berlaku kiamat sehingga terzahirnya fitnah, banyaknya penipuan, pasar berdekatan, masa semakin singkat, banyaknya al-Harj. Telah berkata: Apa itu al-Harj? Baginda menjawab: Pembunuhan." Hadis Riwayat Al-Albani. Silsilati al-Shahih, hadis no. 2772

Gambaran pertama hadis ini merujuk kepada kejahilan yang jelas berlaku bermula pada penghujung pemerintahan kerajaan Uthmaniyah iaitu apabila hampir tiada yang mampu membaca dan menulis sehingga mencapai kemuncak kepada kejahilan manusia. Pada ketika itu hanya sedikit yang mendirikan solat dan hampir tiada yang boleh membaca al-Quran, sebelum umat Islam mula bangkit kembali serta ajaran Islam mula berkembang.

Gambaran pembunuhan pula merujuk kepada banyaknya pembunuhan sehingga seseorang itu akan membunuh seseorang yang lain tanpa mengetahui sebab dia membunuh dan bagi yang dibunuh juga tidak mengetahui kenapa dia dibunuh. Perkara ini merujuk kepada pembunuhan tanpa niat yang kukuh. Dalam situasi ini berkemungkinan pembunuh juga hanya berperanan sebagai tukang bunuh yang diupah dengan nilai tertentu. Situasi ini adalah berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Demi zat yang jiwaku berada dalam genggaman-Nya, dunia ini tidak akan musnah sehingga manusia saling berbunuhan antara satu sama lain tanpa mengetahui apa penyebabnya. Demikian juga orang yang dibunuh, dia tidak mengetahui apa penyebab dia dibunuh." Maka mereka bertanya kepada baginda: "Bagaimana perkara ini boleh terjadi? Baginda menjawab: "Itulah al-Hajr, yang membunuh dan yang dibunuh sama-sama di neraka." Hadis Riwayat Al-Albani. Silsilati al-Shahih, hadis no. 2772

Pembunuhan dijelaskan ini bukan bermaksud peperangan yang terjadi antara pembela kebenaran melawan pelaku kebatilan atau memerangi orang yang memberontak terhadap pemerintah yang sah. Pembunuhan yang berlaku itu adalah disebabkan urusan dunia sama ada membabitkan harta, takhta, wanita atau perkara lain yang tidak diketahui tujuannya.

Bagaimanapun, apabila diteliti, terdapat maksud tertentu yang menyebabkan berlaku sesuatu pembunuhan. Antaranya membabitkan kepentingan daripada pihak tertentu. Situasi ini dapat dilihat dengan sejarah pembunuhan yang berlaku di seluruh dunia dengan bermotifkan perebutan harta, politik, dendam yang akhirnya nyawa menjadi pertaruhan.

Baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Ibadah pada saat terjadinya al-Harj (pembunuhan) adalah seperti orang yang hijrah kepadaku." Hadis Riwayat Muslim al-Fitan, hadis no. 2948

Hadis ini menunjukkan nilai ibadah pada zaman yang banyaknya berlaku pembunuhan dengan menyamakan dengan nilai hijrah kepada Rasulullah SAW. An-Nawawi menjelaskan, maksud al-Harj adalah merujuk kepada fitnah dan urusan manusia di dunia. Oleh itu, keutamaan ibadah padanya adalah penting kerana pada zaman itu ramai manusia akan lupa kepada perkara akhirat dan sibuk kepada perkara yang membawa kepada fitnah.

Dalam al-Quran Allah SWT menyatakan dengan jelas larangan terhadap pembunuhan sesama manusia. Allah SWT berfirman maksudnya: "Janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh syarak). Al An'am ayat 151

Pada ayat lain, Allah SWT berfirman maksudnya: "Wahai orang yang beriman! Diwajibkan kamu menjalankan hukuman 'qisas' (balasan yang seimbang) dalam perkara orang yang mati dibunuh iaitu orang merdeka dengan orang merdeka, hamba dengan hamba dan perempuan dengan perempuan. Maka sesiapa (pembunuh) yang dapat sebahagian keampunan daripada saudaranya (pihak yang terbunuh), maka hendaklah (orang yang mengampunkan itu) mengikut cara yang baik (dalam menuntut ganti nyawa), dan (si pembunuh pula hendaklah menunaikan bayaran ganti nyawa itu) dengan sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah suatu keringanan daripada Tuhan kamu dan suatu rahmat kemudahan. Sesudah itu sesiapa yang melampaui batas (untuk membalas dendam pula) maka baginya azab seksa yang tidak terperi sakitnya. Surah Al-Baqarah ayat 178

Dalam satu riwayat menjelaskan umat Islam adalah umat 'marhumah' iaitu umat yang diberi rahmat dan dikasihi. Mereka tidak akan diseksa dengan azab yang kekal di akhirat. Allah SWT hanya menyeksa mereka di dunia dengan pelbagai fitnah, gempa bumi dan pembunuhan.

Diriwayatkan daripada Shidqah bi Al-Muthanna: "Telah menceritakan kepada kami Rabbah bin al-Harith daripada Abu Burdah dia berkata: 'Ketika aku sedang berdiri di pasar pada masa pemerintahan Ziyad, tiba-tiba aku memukul sebelah tangan aku kerana berasa hairan, lalu salah seorang lelaki daripada kalangan Ansar yang bapanya mempunyai persahabatan dengan Rasulullah SAW bertanya, 'Apakah yang engkau hairankan wahai Abu Burdah? Aku menjawab, 'Aku hairan terhadap kaum yang agamanya satu, nabinya satu, dakwahnya satu, hujahnya satu, berperang kerana tujuan yang satu, tetapi mereka saling membunuh antara sebahagian yang lain.' Dia berkata: 'Janganlah engkau hairan kerana aku mendengar ayah aku memberitahu dia pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: 'Sesungguhnya umatku ini adalah umat yang dikasihi. Tidak ada hisab dan azab bagi mereka di akhirat, sesungguhnya azabnya berupa pembunuhan, gempa bumi dan pelbagai fitnah di dunia.'" Hadis Riwayat al-Hakim

Oleh itu marilah sama-sama kita memohon keselamatan kepada Allah SWT dan memohon perlindungan-Nya daripada pembunuhan dan semua fitnah sama ada yang jelas atau tersembunyi.

Penulis Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)
 
Back
Top
Log in Register